Namun, dengan keadaan ekonomi Malaysia yang perlahan ni, buku mungkin menjadi pilihan terakhir untuk dimiliki bagi sebahagian rakyat Malaysia. Ada banyak benda penting yang nak difikir. Belanja barang dapur, bil-bil, sewa rumah dan kereta, hutang PTPTN lagi.
Bagi ibu bapa yang ada anak-anak masih bersekolah, mereka perlu mengeluarkan belanja lebih banyak lagi untuk menyediakan keperluan sekolah. Dianggarkan ibu bapa perlu berbelanja kira-kira RM200 – RM600 untuk persedian sekolah seorang anak termasuk persedian kelas agama pada sesi persekolahan 2019 nanti. Untuk yang ada anak-anak pula, kerajaan akan bagi Bantuan Sara Hidup (BHS) sebanyak RM120 untuk setiap anak. Tapi ia terhad sampai 4 orang anak ajelah. Jadi, celah mananya nak asingkan duit beli buku ni?
Ada sebab kitorang bercerita pasal buku, sebab baru-baru ni Kuala Lumpur telah berjaya dinobatkan sebagai Kota Buku 2020 dengan slogan ‘KL Baca - Caring Through Reading’ oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Hah, macam tak percaya kan KL dipilih sebab purata rakyat Malaysia membaca sebanyak 15-20 buah buku setahun saja. Kota yang dipilih sebagai kota buku ni pula perlulah mempromosi buku dan menggalakkan rakyatnya membaca buku.
Kata menteri, rakyat Malaysia ni terlalu banyak sangat menonton dan main permainan video. Jadi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bercadang nak hidupkan semula Kempen Membaca dalam kalangan rakyat Malaysia sendiri. KPM pun berkobar-kobar nak jadikan rakyat Malaysia ni sebagai rakyat yang paling banyak membaca menjelang 2030 nanti. Bunyi macam lambat lagi tapi kerajaan dah pun giatkan usaha dari sekarang.
Jadi, korang dah bersedia ke untuk sahut cabaran? Mungkin niat nak membaca tu dah ada dan membuak-buak, tapi duit pula tak berapa nak cukup untuk beli buku.
Ha... sebab itulah kami sediakan artikel ni untuk korang.Dekat sini kami senaraikan beberapa tempat untuk korang dapatkan dan beli buku-buku berkualiti dengan harga yang murah gila.
1. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL)
Ini merupakan pesta buku terbesar di Malaysia. Ia mula diadakan pada 1972 di Kuala Lumpur. PBAKL ni memang syurga bagi peminat-peminat buku terutama peminat buku tempatan kerana ada lebih daripada 250 pempamer (penerbit) buku. Banyak, kan! Jadi korang boleh membeli-belah buku-buku dalam satu bangunan yang besar aje. Tak payah pergi banyak tempat.
Bukan saja ada penerbit tempatan, tapi beberapa penerbit antarabangsa seperti McGraw-Hill dan HarperCollins Publishers pun ada juga.
Masa inilah korang nak borong buku banyak-banyak sebab hampir semua penerbit akan buat jualan murah-murah sehingga 80%. Buku-buku yang dijual pula merangkumi fiksyen seperti novel dan buku cerita kanak-kanak, non-fiksyen, buku ilmiah dan buku teks.
PBAKL ini selalu diadakan antara bulan April hingga Mei selama 11 hari.
2. Big Bad Wolf (BBW)
Mesti korang pernah dengar tentang ‘serigala jahat’ ni kan. Kalau korang penggemar buku-buku luar negara berbahasa Inggeris tapi berkira-kira nak keluarkan duit sebab harga buku mahal, inilah tempatnya untuk korang berbelanja sakan. Bukan buku-buku biasa yang korang boleh jumpa kat sini tau. Ada yang bestseller, kanak-kanak, young adult, novel, sastera dan non-fiksyen. Selain pilihan buku Bahasa Inggeris, BBW pun ada banyak jual buku-buku daripada bahasa Cina dan bahasa Melayu daripada penerbit tempatan.Diskaun buku yang dijual sangat tinggi iaitu antara 75%-95% dan untuk pengetahuan, diorang tak jual buku terpakai, ya. Semuanya buku baharu. Apa yang lebih menarik, pesta buku BBW ni dibuka selama 24 jam tanpa henti sepanjang ia berlangsung. Jadi, kalau sesiapa yang tak ada masa untuk pergi pada waktu-waktu biasa, bolehlah pergi lepas subuh ke atau tengah-tengah malam. No hal!
Acara BBW ni tak ada tarikh tetap diadakan. Tapi selalunya diorang akan buat pada pertengahan Februari, Mei dan November. Jadi korang kenalah rajin check dekat Facebook BBW.
3. Book Excess
Kalau bercakap pasal Big Bad Wolf, mesti tak boleh tinggalkan Book Excess. Dua-duanya ada kaitan sebab penganjur untuk BBW ni ialah Book Excess. Kalau korang tak sempat nak ‘terjah’ pesta BBW, jangan risau, jangan sedih. Korang masih boleh lagi dapatkan buku-buku dengan pelbagai genre dengan harga yang murah di Book Excess.Buku-buku yang diorang jual juga murah sampai 80% daripada harga asal dan semuanya buku baharu! Contohnya, ada buku yang harga asalnya hampir RM90 dijual dengan harga kurang daripada RM20! Ni buktinya:
Tapi kalau korang tak ada masa nak pergi ke kedai, boleh aje beli secara online.
Baru-baru ni Book Excess dah cipta satu sejarah apabila diorang buka kedai buku 24 jam pertama di Malaysia. Bukan saja 24 jam, tapi cawangan diorang di Cyberjaya itu merupakan kedai buku terbesar di Malaysia. Memang sesuai sangatlah untuk korang yang sukakan keselesaan.
4. Carousell
Kalau sesiapa yang tak familiar dengan Carousell, ini adalah tempat yang korang boleh berjual beli barang sesama ahli. Tak kiralah barangan baharu atau terpakai, semua ada dijual. Dekat sini juga tempat best untuk beli buku-buku murah – selalunya buku-buku terpakailah.
Carousell memang sediakan seksyen khas untuk pelbagai bahan bacaan seperti buku, buku kanak-kanak, majalah, komik dan lain-lain lagi. Dekat sinilah korang boleh juga cari buku-buku teks terpakai macam kat sini dengan harga murah. Selain tu, ada buku tentang kewangan, ilmiah dan fiksyen. Memang ralit tengok senarai buku yang dijual.
Korang boleh sertai Carousell ni dengan pergi ke laman sesawangnya atau muat turun saja aplikasi Carousell.
5. Kolektor Buku2 Semalaysia
Ini sebenarnya grup buku di Facebook. Mereka di dalam grup ni akan berjual beli buku-buku sesama mereka. Ada buku terpakai dan ada buku baharu. Apa yang menariknya, dekat sinilah korang boleh dapatkan buku-buku langka terbitan tempatan (rare, susah nak jumpa) yang dah tak terbit lagi. Ada yang jual dengan harga yang sangat murah serendah RM1!
Jadi, kalau korang berminat dengan buku-buku lama dengan harga yang berpatutan, bolehlah join grup ni di Facebook.