1) Utamakan keperluan semasa membeli belah
Baju Raya! Kuih Raya! Perabot Raya! Langsir Raya! Bila menjelang musim demam Raya ini, ramai diantara kita semestinya inginkan segala barang serba baharu. Namun adakah itu satu keperluan atau kehendak? Tidak salah untuk berbelanja untuk musim perayaan, namun anda semua harus mengamalkan konsep ‘Ukur Baju Di Badan Sendiri’ semasa berbelanja. Anda perlu merancang keperluan barangan yang hendak dibeli semasa musim perayaan. Sentiasa utamakan keperluan sebelum kehendak anda.
Pastikan anda menetapkan bajet mengikut tahap kemampuan anda sebelum berbelanja. Sediakan senarai semak untuk memudahkan urusan pembelian ketika berbelanja. Ini bukan sahaja mampu menjimatkan wang anda, malah masa yang diluangkan turut tidak dibazirkan begitu sahaja. Selain membeli-belah, anda juga boleh utamakan masa untuk beribadat.
2) Elakkan pembaziran bagi juadah untuk berbuka
Bila tiba musim Ramadan, amalan berbelanja di Bazar Ramadan boleh dikatakan sebagai satu rutin di kalangan seluruh masyarakat di Malaysia. Tidak kira bangsa Melayu, Cina dan India, juadah yang disediakan boleh dikatakan menarik perhatian, terutamanya bagi golongan yang berpuasa. Namun demikian, anda perlu mengamalkan perbelanjaan dengan bijak dan elakkan pembaziran.
Pastikan anda menghadkan jumlah wang yang dibawa ke Bazar Ramadan. Tahukah segala juadah yang dibeli kebanyakannya dibuang kerana tidak habis dijamu semasa berbuka? Apabila berpuasa, nafsu lapar mudah mengusai akal dan fikiran. Sentiasa kuatkan hati dan elakkan pembaziran. Jika anda seorang yang bujang, hadkan wang yang dibawa diantara RM10 – RM20. Hanya membeli juadah yang hendak dimakan semasa berbuka sahaja. Anda ada 30 hari semasa bulan Ramadan, jangan khuatir akan jika anda tidak sempat untuk mencuba segala juadah yang dijual. Inilah adalah contoh penjimatan anda boleh lakukan:
- Nasi Tomato (RM6) + Sirap Selasih (RM3) + Kuih Muih (RM3) = RM 12
3) Periksa kenderaan sebelum balik kampung
Apabila perkara lain seperti membeli-belah sudah diambil kira, jangan lupa sama sekali untuk mengasingkan bajet anda untuk menyelenggara kenderaan anda. Adakah anda ingat bilakah kali terakhir kenderaan anda diselenggara? Pastikan kenderaan anda telah diselenggarakan sebulan lebih awal sebelum perjalanan pulang ke kampung halaman. Ini bukan sahaja dapat mengasingkan bajet anda semasa gaji bulan Syawal itu, malah ia dapat memastikan perjalanan pulang ke kampung halaman tidak terjejas.
Pastikan bateri kereta, minyak enjin, brek, tayar dan penghawa dingin diperiksa dengan betul. Perkara paling utama dalam perkara ini adalah mencari bengkel yang jujur supaya anda tidak tertipu dan terpaksa membayar jumlah wang yang terlampau banyak untuk menyelenggara kenderaan anda. Jangan lupa untuk mengasingkan juga bajet anda untuk petrol, tol dan sebagainya. Terakhir sekali, utamakan keselamatan anda dan keluarga. Pandu dengan berhemah supaya mencegah daripada berlakunya sebarang kemalangan.
4) Utamakan komitmen anda
Urus kewangan anda dengan bijak semasa musim perayaan. Di saat kita memikirkan mengenai “mana nak cari baju raya” atau “nak beli kuih raya bawa balik ke kampung”, kita sering lupa akan tanggungjawab bulanan yang kita perlu uruskan. Komitmen seperti pembayaran pinjaman rumah mahupun sewa rumah, kereta dan kad kredit sering ditangguhkan bila tiba sahaja musim perayaan. Amalan seperti ini tidak dinasihatkan kerana anda akan dikenakan faedah jika membuat pembayaran lewat.
Senario yang lain apabila ramai diantara kita mengambil pinjaman peribadi bagi tujuan perayaan. Amalan ini sangat tidak digalakkan kerana ia akan membebankan anda dan menambah komitmen kewangan pinjaman yang sedia ada. Terdapat pelbagai ansuran bulanan yang terpaksa ditanggung oleh anda. Oleh itu, sentiasa mengamalkan konsep berbelanja ‘Ukur Baju Di Badan Sendiri’.
5) Rancang kewangan dan senarai semak untuk sebelum dan selepas musim perayaan
Di dalam kotak fikiran kita semasa membuat perancangan kewangan tatkala tiba musim perayaan, ramai diantara kita tidak terlintas sama sekali untuk membuat rancangan kewangan selepas musim perayaan. Kebanyakan kita akan kering-kocek selepas musim perayaan. Jangan bimbang! Anda masih ada masa lagi untuk membuat rancangan kewangan anda dengan penuh teliti. Sediakan senarai semak antara barang-barang yang perlu dibeli, sediakan bajet dan agihkan sedikit wang untuk dibelanjakan selepas pulang dari kampung halaman anda.
Kesimpulan
Walaupun Hari Raya Aidilfitri hanya setahun sekali, ia tidak semestinya diraikan dengan berbelanja dengan mewah. Hayati keindahan perayaan Hari Raya Aidilfitri itu sendiri dengan meraikan perjuangan kita semasa di bulan Ramadan dimana perlu menahan lapar dan dahaga. Bersederhana ketika musim perayaan Aidilfitri adalah satu amalan yang mulia dan dituntut oleh seluruh golongan umat Islam. Elakkan berhutang untuk kesenangan sementara. Jika amalan berbelanja dengan mewah menjadi suatu kebiasaan, ini akan memberi impak negatif kepada generasi akan datang.
Bajet dan rancangan yang telah dibuat perlu diikut. Kami tahu ia bukan mudah terutamanya di musim perayaan dimana mata kita akan menjadi rambang, lagi – lagi ketika membeli belah. Jangan meniru gaya kehidupan orang lain. Sentiasa menghayati musim perayaan itu sendiri dimana ia adalah bertujuan untuk merapatkan silaturahim dikalangan keluarga, jiran, sahabat dan seluruh masyarakat.