Jenis scam pelaburan yang femes kat Malaysia
Menurut PDRM, selain emas, antara skim penipuan yang hangat kat Malaysia termasuklah pelaburan matawang digital. Selain tu, forex dan skim cepat kaya pun masih lagi wujud kat Malaysia.
1. Pelaburan matawang digital
Bitcoin atau mata wang digital ni adalah sebuah digital currency di mana ianya boleh dijadikan sebagai aset dan jugak bentuk pembayaran di dunia sebenar. Berbeza dengan wang Ringgit di mana pengeluarannya dikawal sepenuhnya dan diselia (centralised) oleh Bank Negara Malaysia (BNM), bitcoin ni bersifat decentralised di mana pengeluarannya tak dikawal oleh mana-mana financial regulator.
Disebabkan bitcoin ni boleh digunakan untuk transaksi di dunia sebenar, ramai lah yang mula menjadikannya sebagai aset pelaburan. Kat sini lah golongan tamak mula muncul dengan tipu muslihat diorang.
Antara cara paling senang diorang nak kelentong adalah dengan menggunakan taktik skim ponzi bitcoin. Modal penipuan selalunya pakai sistem afiliasi downline di mana pelabur kena bawak member join sekali kalau nak gandakan keuntungan.
Bukan tu je, taktik jenis ni jugak selalunya menjanjikan penambahan jumlah bitcoin tanpa perlu keluarkan duit pun. Aik, macam nak dapat pulangan kalau tak melabur? Formula matematik apa yang diorang ni pakai?
Tak cukup dengan tu, bagi menampakkan syarikat pelaburan diorang ni real, scammers ni selalunya akan membayar selebriti untuk jadi duta dan menaja event diorang lagi.
*Eh eh?
Contohnya, pada bulan September 2019, ada satu kes yang melibatkan 10 artis tanah air yang ditipu hidup-hidup.
Kebanyakan artis ni diminta untuk bawak geng masuk melabur sekali kalau nak terima komisyen yang lagi tinggi. Lepas je semua duit berjaya dikumpul, scammer tersebut terus lepas menghilangkan diri. End up artis dan member diorang semua dapat habuk je.
2. Scam pelaburan emas
Sebab utama skim pelaburan emas menjadi pilihan utama rakyat Malaysia adalah dengan alasan emas adalah aset pelaburan yang paling stabil dan tak akan rugi walaupun negara kita berhadapan dengan krisis mata wang. Ye ke?
Macam mana nak tahu yang kita dah ditipu dengan pelaburan jenis ni? Kaedah paling senang adalah dengan menawarkan penjualan emas palsu. Contohnya skim ZenithGold (ZG) yang tak mempunyai certified metal assayer signature pun.
3. Forex
Forex ni adalah singkatan kepada ‘foreign exchange’ dimana pelabur biasanya dapat untung melalui forex trading iaitu aktiviti membeli matawang.
Contohnya macam ni, katakan korang ke money changer untuk tukar duit dari Ringgit ke USD dan kadar currency pada waktu tu adalah RM4.00 bagi USD1.00. Jadinya, korang perlukan RM400 kalau nak tukar kepada USD100.
Beberapa bulan lepas tu pulak nilai Ringgit kita adalah RM4.20 bagi USD1.00, jadi kalau korang pegi tukar USD100 korang tu tadi, dapatlah RM420 balik. Untung RM20. Macam tu lah kaedahnya.
Senang, bukan? Selalunya, aktiviti membeli matawang ni dijalankan secara online je melalui platform trading macam Meta Trader. Dan disebabkan pasaran forex ni aktif 24 jam sehari, kita perlukan broker forex iaitu syarikat pelaburan untuk kendalikan aktiviti trading (beli atau jual duit) kita. Broker forex ni jugak selalunya akan bagi nasihat bila waktu yang sesuai untuk buat pelaburan. Tapi, kat sini penipuan mula berlaku.
Cara dia senang je, katakanlah ada 10 orang pelabur guna khidmat broker ni dan setiap pelabur perlu bayar RM100 seminggu. Pelabur ni bahagikan kepada 2 kumpulan (Kumpulan A dan B).
Sumber Imej: Wiratrader
Pastu broker ni cakap kat Kumpulan A, berdasarkan market analysis dia, pasaran forex akan meningkat (bull market) jadi kena beli. Kat Kumpulan B pulak dia cakap pasaran forex akan menurun (bear market) jadi kena jual.
Tup tup pasaran menurun, jadinya Kumpulan B lah untung, Kumpulan A pulak mengalami kerugian dan dah tak nak guna servis broker ni. Tapi scammer ni tak rugi apa sebab dah dapat bayaran servis RM1,000 dari dua-dua kumpulan ni.
Penipuan dia tak henti kat situ je, disebabkan Kumpulan B dapat buat untung dan makin percaya kat broker ni, dia suruh lah ahli kumpulan tersebut untuk tarik lagi ramai member guna servis scammer ni. Ahli-ahli terbaru tersebut digunakan untuk ganti ahli Kumpulan A yang dah blah tu. Macam tu lah kitarannya.
Sebenarnya, dah banyak kes di mana broker forex menipu duit pelabur dengan bagi nasihat yang tak boleh pakai atau menjanjikan pulangan berkali ganda tapi bila pelabur dah deposit duit dan mengalami kerugian, terus broker tersebut menghilangkan diri.
Contohnya, pada bulan Mei 2018, seorang scammer bergelar Datuk yang memiliki syarikat forex GWGFX berjaya dicekup setelah menipu sebanyak RM13.9 juta yang melibatkan 23 laporan polis dari trader.
4. Skim cepat kaya
Skim ni selalunya lebih mencari golongan kelas bawahan untuk dijadikan mangsa, termasuklah warga emas dan selalunya scammers jenis ni memang mulut manis.
Cara penipuan dia adalah menggunakan kaedah Multi-level Marketing (MLM) yang berkonsepkan skim piramid. Taktik penipuan yang dijalankan masih lagi sama iaitu kadar pulangan yang tinggi dengan pelaburan yang kecik.
Pulangan yang dijanjikan tu ekceli duit pelabur baru dan bukannya keuntungan dari pelaburan sebab tak wujud pun sebenarnya aktiviti pelaburan tersebut. Pastu bila tipu muslihat scammers ni dah nak kantoi atau skim piramid tersebut dah nak runtuh sebab ramai ahli berhenti atas alasan takde duit atau tak dapat untung, penipu ni akan kaut semua duit yang ada dan terus larikan diri.
Buktinya, sejak Mac 2021, seorang bekas pengarah syarikat rugi RM381,890 sebab kena tipu dengan sindiket pelaburan melalui WhatsApp. Mangsa mula kenal seorang wanita yang mengaku sebagai pentadbir kumpulan skim cepat kaya tu melalui WhatsApp pada 2 Mac 2021. Yang paling tak masuk akal, mangsa tak pernah jumpa pun wanita ni, diorang berhubung guna WhatsApp je. Memang power betul scammers skim cepat kaya ni menipu orang.
Macam mana nak kenalpasti scam-scam ni?
Jadi, bagi mengelakkan diri korang dari terjebak dengan skim penipuan yang boleh beri kesan besar kepada kewangan, kat sini admin senaraikan 5 cara untuk korang kenal pasti scammers yang wujud kat Malaysia. Senang lah korang nak cabut lari sebelum sempat dikelentong.
1. Takde lesen dari (BNM)
Korang tak di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA), adalah menjadi suatu kesalahan tau bagi mana-mana individu untuk menerima deposit tanpa lesen.
Jangan salah faham ye, walaupun pengeluaran wang bitcoin tak dikawal oleh BNM, syarikat pelaburan wang digital ni masih memerlukan lesen untuk menjalankan aktiviti perniagaannya.
Sekiranya korang tak pasti syarikat yang korang nak laburkan tu berdaftar dan mempunyai lesen ke tak, senang je. Korang boleh laporkan terus sebarang aktiviti kewangan yang nampak meragukan ke BNM:
BNMTELELINK (Pusat Perhubungan Bank Negara Malaysia)
1-300-88-5465 atau
Emel: bnmtelelink@bnm.gov.my
2. Pelaburan yang tak berisiko langsung
Tak kisah cara apa sekalipun scammers ni semua guna (seminar, panggilan telefon, Whatsapp ataupun secara bersemuka), semuanya akan menjanjikan pulangan yang tinggi.
Mana-mana pelaburan pun kena guna konsep High Risk dan High Return, kalau nak pulangan tinggi kena ambik risiko tinggi, kalau tak, ambik lah pelaburan kecik. Sebab tu lah orang cakap kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.
3. Takde pemegang amanah akaun pelaburan
Tak kisah apa bentuk pelaburan sekali pun (contohnya hartanah, emas, amanah saham), semuanya memerlukan trustee ataupun pemegang amanah duit pelaburan tersebut.
Bagi yang kurang faham, trustee ni adalah wakil yang menjaga kepentingan pemegang unit atau pelabur (korang lah). Sebarang pelaburan yang diterima atau bayaran yang dikenakan akan dikendalikan oleh trustee ni. Jadinya, pemilik syarikat pelaburan tersebut takde lah boleh sesuka hati guna duit yang kita dah laburkan.
Cara yang paling senang nak tahu sama ada trustee tersebut sah atau tak, selalunya diorang ada Surat Ikatan Amanah. So, sebelum buat apa-apa pelaburan, mintak trustee ni tunjukkan dokumen amanah diorang dulu. Tapi kalau korang still curiga, takut dokumen tersebut palsu ke apa, call je terus Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) untuk dapat kepastian.
4. Boleh dapat untung besar
Mengikut BNM, cara paling senang nak spot sebarang jenis skim penipuan adalah dengan menjanjikan pulangan yang jauh lebih tinggi dari apa yang ditawarkan oleh institusi kewangan berlesen. Bukan tu je, para pelabur jugak mungkin tak diberikan sebarang salinan dokumen urus niaga, temasuklah dokumen perjanjian dengan syarikat pelaburan tersebut.
Senang kata macam ni lah, even dengan pelaburan yang kukuh macam ASB pun takkan dapat kadar dividen melebihi 10% setahun, takkan lah pelaburan entah apa-apa tu mampu nak bagi pulangan berkali ganda dalam masa sebulan. Logik apa macam tu.
5. Susah nak kemukakan dokumen pelaburan
Terutamanya dalam scam pelaburan emas. Jadinya, sebelum buat pelaburan korang mintak dulu beberapa dokumen ni:
- Lesen kebenaran untuk melombong dari Kementerian Alam Sekitar Malaysia kalau lombong emas tersebut kat sini. Kalau lombong emas tersebut kat luar negara, suruh syarikat pelaburan tunjukkan dokumen kebenaran melombong dari Department of Environment (DOE) negara tersebut.
- Surat perjanjian antara kilang dengan lombong bagi tujuan supply dan pemperosesan emas. Kalau tak wujud, memang sah penipu.
- Dokumen perlombongan yang menunjukkan lokasi lombong, kedalaman yang dibenarkan untuk melombong serta kedalaman yang dah digali.
- Dokumen percukaian syarikat pelaburan.
- Certified metal assayer signature. Tapi kenapa penting sangat signature tu? Well, bagi mendapatkan kelulusan assayer, syarikat pelaburan emas kena penuhi beberapa kriteria macam:
- Kemukakan surat beranak emas tersebut, dari lombong mana emas tersebut diambik, dan siapa pengimportnya.
- Kalau emas tersebut adalah jenis emas lebur semula, tunjukkan sijil emas asal, kot-kot lah emas tersebut hasil rompakan ke.
- Telah dilihat proses peleburan untuk menjadikan emas tersebut jongkong, syiling dan sebagainya.
- Telah diuji ketulenannya.
- Kilang emas tersebut pun dah dilawati oleh assayer dan disahkan wujud.
Sebabnya, kalau emas korang takde signature, kebanyakan kedai pajak gadai emas akan beli dengan harga 50% lagi murah dari nilai pasaran. Itu pun dah cukup baik, kalau Ar-rahnu, diorang reject terus.
Dan yang paling senang sekali, suruh scammers ni tunjukkan pengiraan harga emas dunia mengikut kadar semasa. Kalau itupun tak lepas, korang angkat kaki jelah.
Dari dok sibuk tercari pelaburan yang entah datang dari mana tu, baik lah korang melabur je kat institusi kewangan yang dah terang-terang sah.
Bagi yang berminat sangat nak melabur tu, admin sarankan korang try pelaburan macam ASB ataupun simpanan tetap. Bukan apa, pelaburan ni paling senang dan tidak berisiko.
Baca artikel ni kalau nak faham pasal simpanan tetap dan berapa banyak pulangan yang korang boleh dapat dari pelaburan jenis ni: 9 Soalan Simpanan Tetap Yang Perlu Ditanya Sebelum Melabur
Once korang dah faham dan berminat, admin jugak ada listkan promo bagi simpanan tetap yang ditawarkan oleh bank-bank kat Malaysia. Klik sini kalau nak tahu.
Selamat melabur dan jangan tertipu!
*Artikel di atas bertujuan untuk memberi maklumat sahaja. Loanstreet tidak bertanggungjawab atas kerugian yang mungkin timbul jika ada sebarang kebergantungan anda dengan maklumat yang terdapat dalam artikel.
BACA JUGAK:
- Money Market Fund: Ingat 6 Perkara Ni Sebelum Melabur
- Terbongkar! 5 Mitos Pelaburan Korang Patut Stop Percaya
- Labur Sekarang atau Tunggu Masa yang Lebih Sesuai?