Subscribe to Our Newsletter

We know you love savings. Sign up for more!

9 Soalan Simpanan Tetap Yang Perlu Ditanya Sebelum Melabur

BY Nisya Aziz

Updated 21 Nov 2019




*Artikel ini telah diterjemah dari “9 Questions About Fixed Deposit to Ask Before Investing” oleh Hakimie Amrie.

Bagi yang berminat untuk membuat pelaburan simpanan tetap, korang tentunya ada banyak soalan yang nak ditanya - relaks lah, tak de apa pun yang nak dimalukan. Bak kata pepatah, malu bertanya, sesat jalan, kan? Berikut adalah antara soalan penting mengenai simpanan tetap yang selalu ditanya beserta jawapannya sekali. 
 

Apa yang di 'cover' dalam artikel ni?


1. Boleh buat duit ke dengan simpanan tetap ni?

Simpanan tetap ni berbeza dari stok dan amanah saham. Pulangan yang korang dapat taklah masyuk sangat sebab kadar faedah yang dikenakan selalunya rendah - antara 3% hingga 4% p.a. (ataupun tinggi sedikit dari kadar purata). Tapi, kalau korang mahukan pelaburan yang kurang risiko, simpanan tetap lah jawapannya. 

Ia  tak perlukan korang untuk melibatkan diri sepanjang masa. Apa yang korang kena buat adalah tunggu akaun simpanan tetap korang matang. Contohnya, korang depositkan RM6,000 untuk tempoh 6 bulan dengar kadar faedah 3.7 p.a. - korang boleh dapat pulangan sebanyak RM111, still untung kot. 


2. Simpanan tetap ni lagi bagus ke dari akaun simpanan?

Jawapan dia boleh jadi YA dan TIDAK. Meh sini admin terangkan lebih lanjut. 

Ya, sebab simpanan tetap tawarkan kadar faedah yang lagi bagus dari akaun simpanan. Kalau korang nak tahu lah kan, purata kadar faedah bagi akaun simpanan adalah 1.2 p.a. (berdasarkan perbandingan di antara 30+ akaun simpanan bank utama di Malaysia pada bulan Jun 2019). Maksudnya kat sini, kalau korang ada RM6,000 dalam akaun simpanan, kadar faedah yang korang akan dapat hanyalah sebanyak RM72 setahun. Berbeza dengan simpanan tetap, korang boleh dapat sehingga RM222 setahun (berdasarkan contoh point 1)

Tidak, sebab korang tak boleh akses akaun simpanan tetap ni sesuka hati macam akaun simpanan. Kalau korang takde duit simpanan kecemasan yang berasingan, korang kena lebih berhati-hati dalam membuat pelaburan simpanan tetap. Sebabnya, wang dalam akaun simpanan tetap lebih susah untuk dikeluarkan berbanding wang dalam akaun simpanan ataupun pelaburan bon. Katakanlah kecemasan berlaku dan korang keluarkan wang dalam akaun simpanan tetap sebelum capai tempoh matang, pelaburan tersebut akan menjadi rugi. 


3. Warga asing boleh mohon ke?

Boleh je. Sebenarnya banyak je simpanan tetap kat Malaysia ditawarkan kepada warganegara, penduduk tetap dan permohonan warga asing. Contohnya, tawaran simpanan tetap CIMB Bank. 

Warga asing yang berminat boleh jugak memohon Deposit Tetap Matawang Asing. Simpanan tetap jenis ni selalunya ditawarkan sehingga tempoh 12 bulan. Melabur dalam simpanan tetap jenis ni boleh mengelakkan korang dari terkesan dengan inflasi dengan nilai matawang yang tetap sehingga wujudnya kadar pertukaran yang lebih sesuai.


4. Sesuai ke untuk pelan persaraan?



Tak dinafikan lagi simpanan tetap ni bagus untuk portfolio pelaburan korang. Tambahan lagi, pelaburan jenis  ni lebih selamat dan mempunyai pulangan yang dijanjikan. Tapi, korang tak boleh lah harapkan kat simpanan tetap je untuk pelan persaraan korang. Memang takkan cukup sebab pulangan yang diberikan tak sebanyak skim persaraan yang lain. 

Ada banyak je sebenarnya skim persaraan yang korang boleh pilih dan mana yang berminat untuk wujudkan simpanan persaraan tu bolehlah dapatkan maklumat lanjut melalui penasihat kewangan ataupun penasihat pelaburan. Selain tu, syarikat insurans pun ada tawarkan pelan persaraan yang mampu bantu korang mengumpul simpanan yang mencukupi untuk persaraan. 

BACA: 3 perkara untuk diketahui sebagai perancangan persaraan pada usia 30-an


5. Pelaburan simpanan tetap ni ada manfaat lebih ke?

Of course lah ada. Selain dari berisiko rendah, simpanan tetap boleh bantu dalam mempelbagaikan portfolio dan mengurangkan impak terhadap sebarang aset yang kurang perform tu. 

Simpanan tetap bukan je mampu stabilkan pelaburan korang, ia jugak boleh dijadikan sebagai instrumen kredit jugak. Bank konfirm akan tawarkan pelbagai kredit peribadi, fasiliti overdraft dan kad kredit sekiranya korang meletakkan amaun simpanan tetap sebagai cagaran. 


6. Berapa banyak wang deposit yang diperlukan?



Simpanan tetap memerlukan minimum deposit tapi selalunya ia bergantung pada tempoh pelaburan yang korang pilih. Tempoh 1 bulan mempunyai jumlah deposit yang lagi tinggi berbanding tempoh 2 bulan yang lebih berpatutan. 

Contohnya, Akaun Simpanan Tetap Maybank menetapkan minimum deposit sebanyak RM5,000 sekiranya korang pilih tempoh pelaburan 1 bulan. Tapi, bagi tempoh pelaburan 2 bulan ke atas, minimum deposit jatuh kepada RM1,000. 

Selain dari apa yang korang mampu, korang jugak patut tengok jumlah yang boleh diketepikan. Takde gunanya letak semua duit korang dalam akaun simpanan tetap dan buatkan diri korang terdedah kepada situasi yang tak dijangka. Korang kena ada simpanan wang yang senang keluar masuk untuk kegunaan harian. 

BACA: Nak Melabur? Jangan Lepaskan Promo Simpanan Tetap Terbaik di Malaysia 2019


7. Selamat ke simpanan tetap ni?



Selamat sangat, jangan lah risau. Macam yang kita tahu, wang deposit kita dilindungi oleh PIDM sehingga RM250,000 sekiranya bank gagal melindungi wang tersebut. Tapi apa yang menariknya adalah korang boleh dilindungi RM250,000 bagi setiap akaun untuk setiap bank yang korang buat deposit. 

Sekiranya korang buat deposit kat bank yang sama, korang masih boleh dilindungi sehingga RM250,00 bagi akaun jenis ni: simpanan tetap konvensional, deposit berjangka Islamik, akaun bersama, akaun amanah saham dan akaun milikan tunggal. Perlindungan PIDM ni jugak ditawarkan kepada warganegara dan bukan warganegara Malaysia. 


8. Apa yang akan terjadi bila simpanan tetap matang?

Bergantung kepada jenis akaun simpanan tetap yang dipilih, korang boleh kreditkan  deposit dan faedah tu ataupun perbaharui akaun tersebut secara automatik. Contohnya, Maybank dan CIMB ada tawarkan eFixed Deposit yang mempunyai pembaharuan secara automatik.

Ada sesetengah akaun simpanan tetap bagi korang pilihan sama ada perbaharui jumlah deposit asal secara automatik dan keluarkan jumlah faedah yang diperolehi, ataupun korang boleh pilih untuk perbaharui deposit serta faedah yang diperolehi. 

Walaubagaimanapun, korang mungkin tak dapat nikmati kadar faedah yang sama sekiranya korang pilih pembaharuan automatik. Jadinya, lebih baik korang bandingkan dulu akaun simpanan tetap yang tawarkan kadar yang paling best sebelum buat pilihan pembaharuan. 


9. Boleh keluarkan tak wang simpanan tetap ni? 



Mungkin korang terpaksa keluarkan wang simpanan tetap korang untuk kegunaan masa kecemasan. Sesetengah simpanan tetap membolehkan korang untuk membuat pengeluaran pramatang ataupun pengeluaran separa seperti yang ditawarkan oleh Maybank dan Alliance Bank. Bergantung kepada berapa lama pelaburan tersebut dibuat, ada kemungkinan untuk korang dapat nikmati sebahagian faedah atau tak langsung. 


Dah bersedia ke untuk mulakan pelaburan?

Simpanan tetap adalah medium pelaburan yang bagus untuk korang yang baru nak mula melabur ataupun untuk pelabur veteran. Apa yang korang kena buat hanyalah letakkan sejumlah wang deposit dan tunggu sehingga tempoh matang. Dengan memilih jumlah dan tempoh pelaburan yang tepat, membuat research yang menyeluruh serta memilih akaun yang menawarkan kadar faedah yang tertinggi, korang pasti akan mendapat pulangan terbaik dari pelaburan tersebut.

Selamat melabur!
 
Teruskan Pembacaan...

Tentang Penulis

Nisya Aziz



LIHAT SEMUA ARTIKEL

Artikel Disarankan Untuk Anda

Pelaburan Untuk Persaraan: Unit Amanah

Pelaburan Untuk Persaraan: Unit Amanah

beli-rumah-atau-kereta

Rumah atau kereta? Mana satu korang patut beli dulu?

6 Langkah Penting Sebelum Korang Buka Bisnes

6 Langkah Penting Sebelum Korang Buka Bisnes