Mengapa orang memilih Takaful?
Takaful telah lama wujud di Malaysia, akan tetapi peranannya sebagai satu alternatif kepada insurans konvensional baru disedari sejak beberapa tahun lepas.
Sejak ia dilancarkan, Takaful telah menarik minat segolongan pelanggan yang lain daripada yang lain, di mana mereka biasanya mempunyai rasa tanggungjawab terhadap masyarakat. Golongan pelanggan Takaful telah berkembang pesat dan merangkumi pelbagai jenis individu tidak mengira jantina, tidak mengira pendapatan tinggi atau rendah, dan yang paling penting ia tidak memihak atau menyebelahi mana-mana kaum sekalipun. Apa yang pasti, kebanyakan mereka mempunyai nilai moral dan sosial yang tinggi.
Ini bukanlah sesuatu yang ganjil. Perkara yang sama pernah berlaku dalam industri lain.
Sebagai contoh, The Body Shop telah menggunakan prinsip yang sama dalam industri kecantikan. Jika sebelum ini kebanyakan jenama kecantikan mengenengahkan betapa bagus/cantik/berkesannya produk mereka, The Body Shop membuat kelainan dengan memperkasakan peniaga kecil dan pekerja-pekerja buruh di dalam mesej pemasaran mereka. Kaedah ini bukan sahaja memberikan imej yang baik buat The Body Shop, malah pengguna tidak kisah untuk membayar lebih untuk menyokong para peniaga dan pekerja yang dimaksudkan tadi.
Satu contoh lain adalah golongan vegan yang cuba menanamkan rasa tanggungjawab kepada individu akan tabiat pemakanan mereka dan kesannya terhadap alam sekitar. Bayangkan bagaimana susahnya untuk mengamalkan gaya hidup vegan, tak lupa harga yang lebih tinggi untuk membeli pemakanan sampingan. Tapi mereka sanggup menempuhi semua ini kerana mereka percaya dengan apa yang mereka perjuangkan.
Berbalik kepada industri kewangan peribadi. Dalam banyak-banyak produk, apa yang menyebabkan golongan seperti ini cenderung untuk memilih Takaful?
Beretika, tapi juga praktikal
Prinsip Islam yang diamalkan menjadikan Takaful sebagai produk pilihan, bukan sahaja kerana faktor agama, tapi kerana ianya memang praktikal dan sesuai digunakan dalam sistem insurans masa kini. Secara dasarnya, prinsip ta'awun membolehkan para pemegang polisi untuk saling berkerjasama untuk membantu antara satu sama lain, dan bukannya untuk mencari keuntungan.
Sebagai contoh, premium tidak dibayar dalam bentuk faedah, tetapi dalam bentuk sumbangan supaya pemegang polisi boleh menunaikan tanggungjawab untuk saling bantu-membantu. Tambahan lagi, jika mana-mana dana Takaful mengalami defisit, para pemegang saham akan memberi pinjaman tanpa faedah kepada dana tersebut, memastikan ia terus bertahan. Apabila defisit tersebut dilunaskan, jumlah yang dipinjam kemudiannya ditolak, dan keadaan kembali seperti biasa. Satu lagi perkara yang harus diingatkan adalah operator Takaful membayar zakat bagi pihak pemegang saham, suatu perkara yang tidak wujud dalam insurans konvensional.
Takaful juga mengandungi pelbagai unsur bagi membantu mereka yang memerlukan. Sebab itulah semakin ramai individu – Muslim ataupun tidak – mula memilih Takaful meskipun jumlah premiumnya sedikit lebih tinggi daripada insurans konvensional. Tambahan lagi, keuntungan dan wang yang tidak dituntut akan dikembalikan kepada komuniti dan para pelanggan.
Jika anda lebih berminat dengan insurans kenderaan, lawati halaman insurans kereta dan insurans motorsikal kami dan dapatkan sebut harga dengan serta-merta, tanpa sebarang kos! Anda juga boleh terus membuat pembelian secara onlien sekiranya anda benar-benar berminat dengan pelan polisi yang ditawarkan. Selamat mencuba!