Subscribe to Our Newsletter

We know you love savings. Sign up for more!

16 Perkara PEMULIH Bantu Rakyat B40, M40, T20

BY Team Loanstreet

Updated 14 Jul 2021





Memandangkan penularan COVID-19 yang melanda negara semakin merisaukan, kerajaan  memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh pada awal bulan Jun 2021 demi kemaslahatan bersama. Sememangnya, situasi ini akan memberikan kesan langsung kepada sektor ekonomi, pendidikan, sosial, keluarga dan masyarakat, terutamanya bagi rakyat yang kurang berkemampuan. 

Pada masa yang sama, kerajaan juga telah mengeluarkan rangka Pelan Pemulihan Negara sebagai panduan atau roadmap peralihan keluar daripada PKP secara berfasa. Menurut Perdana Menteri, pelan ini diyakini, membolehkan rakyat membuat perancangan, sejajar dengan langkah-langkah kerajaan menangani COVID-19 dan memulihkan negara.


Sumber imej: Majlis Keselamatan Negara

Oleh itu, untuk membantu mengurangkan kesusahan yang dihadapi oleh rakyat di musim pandemik ini, kerajaan telah melancarkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) berjumlah RM150 bilion, yang melibatkan suntikan kewangan berjumlah RM10 bilion. Kerajaan juga berharap pelan PEMULIH dapat menyokong peralihan dari Fasa 1 fasa-fasa seterusnya.

Inisiatif ini berlandaskan kepada tiga matlamat utama:

  • Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat
  • Menyokong Perniagaan
  • Meningkatkan Vaksinasi


 

Apa yang di 'cover' dalam artikel ni?



Berikut ialah insentif di bawah PEMULIH yang boleh dinikmati oleh rakyat:

1. Penambahan bayaran Bantuan Prihatin Rakyat (BPR)

Sumber Imej: Kementerian Kewangan Malaysia (MOF)
 

Sewaktu kerajaan mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Plus), RM2.1 bilion telah diperuntukkan untuk program BPR. Inisiatif ini dijangka membantu mereka yang terjejas terutama golongan B40. 

  • Isi rumah bawah RM2500 akan menerima bantuan BPR tambahan sebanyak RM500.
  • Isi rumah di antara RM 2,501 sehingga RM5,000 pula akan menerima kadar sebanyak RM300.
  • Golongan bujang pula akan menerima bantuan BPR sebanyak RM100.

Melalui PEMULIH, kerajaan bersetuju untuk menambah bayaran sebanyak RM500 pada bulan Julai. Tambahan ini akan dibayar bermula hujung bulan Jun secara automatik.

Pada bulan September, bayaran BPR fasa ketiga dengan kadar bantuan sebanyak RM100 hingga RM1,400, akan dibayar sekali dengan bayaran melibatkan kes rayuan BPR yang sudah mendapat kelulusan. Secara keseluruhannya, nilai BPR tahun ini mencecah RM9.6 bilion.

Untuk membuat semakan kelayakan, sila layari bpr.hasil.gov.my

 

2. Memperkenal Bantuan Khas COVID-19 (BKC)

Sumber Imej: Kementerian Kewangan Malaysia (MOF)
 

Buat pertama kalinya, kerajaan memperkenal bantuan kewangan baharu iaitu Bantuan Khas COVID-19 (BKC). Bantuan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM4.6 bilion dan akan diberikan kepada lebih 11 juta isi rumah, individu warga emas dan bujang. 

Untuk pengetahuan anda, kadar bantuan BCK ini dibahagikan mengikut 3 kategori iaitu miskin tegar, golongan B40 dan M40 dalam tempoh 5 bulan:

  • Isi rumah kategori miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak RM1,300. Mereka akan mendapat RM500 pada bulan Ogos, RM500 pada bulan November dan RM300 lagi pada bulan Disember
  • Individu bujang kategori miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak RM500, di mana mereka akan mendapat RM200 pada bulan Ogos dan RM300 pada bulan November
  • Isi rumah kategori B40 akan mendapat kadar bantuan sebanyak RM800, dibahagikan kepada RM500 pada bulan Ogos dan RM300  pada bulan Disember
  • Individu bujang kategori B40 pula akan menerima bantuan secara one-off pada bulan Ogos sebanyak RM200.
  • Isi rumah kategori M40 turut menerima bantuan sebanyak RM250 pada bulan OgoIndividu bujang M40 pula akan diberikan RM100 pada bulan Ogos

Untuk bantuan BKC, anda tidak perlu menghantar atau mengemas kini sebarang permohonan. Ini kerana pihak kerajaan akan menggunakan data sedia ada seperti senarai penerima bantuan BPR dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam menentukan siapa yang akan mendapat bantuan.

NOTA: Jika anda salah seorang yang kehilangan pendapatan, pihak kerajaan akan menyalurkan bantuan sebanyak RM500 pada bulan Oktober. Bantuan ini dijangka diberikan kepada 1 juta pencarum Kumpulan Wang Saraan Pekerja (KWSP).

 

3. Menawarkan semula bantuan Moratorium secara automatik 

Sumber Imej: Kementerian Kewangan Malaysia (MOF)

 

Bermula dari 7 Julai 2021, semua peminjam individu boleh menghantar permohonan untuk mendapatkan bantuan moratorium selama 6 bulan. Setiap permohonan peminjam individu akan diluluskan secara automatik, tidak mengira status B40, M40 mahupun T20. Anda hanya perlu memohon dan menandatangani perjanjian pindaan syarat pinjaman yang perlu.

Selain itu, usahawan mikro juga layak memohon. Jika sebelum ini, hanya perusahaan mikro yang mempunyai kemudahan dengan jumlah kurang daripada RM150,000 diluluskan - kini tiada lagi

Bagi peminjam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pula, bantuan moratorium ini hanya untuk mereka yang terjejas

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), bank bersetuju untuk memberi pengesahan dalam tempoh 5 hari untuk peminjam individu dan 14 hari bagi peminjam PKS

Untuk maklumat terperinci, rujuk maklumat dari BNM atau bank pilihan anda.





Sementara itu, kerajaan juga bersetuju melaksanakan penangguhan bayaran balik pinjaman pelajaran yang  dianggarkan berjumlah RM40 juta. Antara bantuan yang diberikan ialah:

  • Memberikan moratorium bersasar selama 3 bulan kepada peminjam-peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)
  • Menangguhkan bayaran balik Pinjaman Pelajaran Persekutuan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam dan bayaran tuntutan ganti rugi penerima Biasiswa Persekutuan sehingga 6 bulan
  • Menangguhkan bayaran balik Pinjaman Pelajaran MARA untuk tempoh 3 bulan atau penjadualan semula bayaran balik pinjaman dengan ansuran bulanan serendah RM100 selama 12 bulan
  • Menangguhkan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) selama 3 bulan

Tidak dilupakan juga ialah pemegang polisi insurans dan takaful yang terjejas. Sehingga 31 Disember 2021, anda boleh memohon penangguhan pembayaran premium insurans dan sumbangan takaful (secara opt-in).

 

4. Bantuan Tambahan Program i-Citra KWSP

Sumber Imej: Kumpulan Wang Sara Pekerja (KWSP)

 

Menerusi pelan PEMULIH, kerajaan memperkenal kemudahan kewangan tambahan i-Citra. Ini adalah susulan daripada kemudahan kewangan KWSP i-Lestari dan i-Sinar. 

Walaupun anda pernah memohon i-Lestari dan i-Sinar, anda masih boleh memohon i-Citra. i-Citra dapat membantu ahli berumur 55 tahun ke bawah yang terkesan akibat PKP bagi memenuhi keperluan asas untuk kelangsungan hidup mereka

Berikut merupakan amaun pengeluaran yang boleh dikeluarkan melalui i-Citra:

  • Jumlah kelayakan pengeluaran adalah sehingga maksimum RM5,000.
  • Bayaran bulanan akan dibuat sehingga 5 bulan.
  • Bayaran yang ditetapkan ialah RM1,000 sebulan atau tertakluk kepada jumlah baki.
  • Bayaran minimum ialah RM50
  • Meninggalkan baki sekurang-kurangnya RM100 dalam Akaun 1
  • Amaun kelayakan pengeluaran adalah berdasarkan jumlah simpanan ahli pada tarikh permohonan diproses setelah ditolak bayaran i-Sinar yang akan datang (jika ada)

Bayaran akan disalurkan sebulan selepas permohonan dibuat - dijangka bermula dari Ogos 2021. Permohonan i-Citra boleh dibuat mulai 15 Julai hingga 30 September 2021.di http://icitra.kwsp.gov.my

 

5. Harga minyak masak & minyak petrol dikawal.

Dalam usaha kerajaan membantu meringankan beban rakyat, terutama berkaitan kos sara hidup, kerajaan telah melaksanakan dasar pengawalan harga barang perlu. 

Oleh itu, kerajaan akan mengekalkan harga runcit petrol RON95, diesel dan gas asli cecair (LPG) yang dijangka melibatkan subsidi melebihi RM6 bilion tahun ini.

Pada masa yang sama, kerajaan memperuntukkan RM1 bilion untuk melaksanakan program Harga Kawalan bagi menangani isu kenaikan harga minyak masak botol 1 kilogram (kg) hingga 5 kg:

  • Harga minyak masak 5 kg tidak melebihi daripada RM30 sebotol
  • Harga minyak masak pek polibeg 1 kg kekal pada harga bersubsidi RM2.50
 

6. Memperluaskan Elaun Mencari Pekerjaan 

Sumber Imej: Kementerian Kewangan Malaysia (MOF)


Buat pertama kalinya, kerajaan dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan memberi elaun mencari pekerjaan sebanyak RM300 selama 3 hingga 6 bulan khas kepada bukan pencarum terutamanya:

  • Graduan baharu,
  • Lepasan sekolah dan
  • Pekerja sektor tidak formal

Untuk mendapatkan bantuan ini, anda hanya perlu mendaftar di bawah platform MYFutureJobs.

Tambahan lagi, kerajaan bersetuju memberikan bantuan kewangan RM500 seorang untuk tempoh 3 bulan bagi golongan kurang upaya. Ini adalah untuk mereka yang kehilangan pekerjaan atau ketiadaan kerja, dan bukan penerima bantuan Elaun Pekerja Cacat sedia ada

 

7. Inisiatif Diskaun Bil Elektrik & Internet 1GB Percuma

Pada awal tahun 2021, pakej PERMAI serta PEMERKASA mengumumkan inisiatif diskaun bil elektrik dengan peruntukan RM135 juta setiap pakej kepada 6 sektor terjejas melibatkan pengendali hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, premis dan kompleks membeli belah, pusat-pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan.

 

Sumber Imej: Kementerian Kewangan Malaysia (MOF)


Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan lagi pemberian diskaun bil elektrik sebanyak 10% selama 3 bulan kepada 6 sektor yang terjejas mulai bulan Julai hingga September. Menerusi PEMULIH, inisiatif ini akan dipanjangkan 3 bulan lagi sebanyak 10% bagi bil bulan Oktober hingga Disember 2021.

Untuk meringankan beban perbelanjaan bulanan rakyat, kerajaan juga bersetuju memberikan diskaun bil elektrik antara 5% hingga 40% mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 900 kilowatt jam sebulan.

Sama seperti bil elektrik, kemudahan internet juga boleh dianggap sebagai bil utiliti asas. Oleh, itu, kerajaan dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama negara bersetuju untuk melanjutkan pemberian 1 gigabit data harian secara percuma sehingga 31 Disember 2021.

 

8. Bantuan Khas Kepada Pengusaha Kemudahan Sukan, Tadika, Kantin Sekolah & Agensi Pelancongan

Bagi mengurangkan beban pengusaha-pengusaha sektor yang terjejas akibat PKP, kerajaan bersetuju memberi Bantuan Khas secara one-off. Berikut merupakan senarai bantuan yang akan diberikan:

  • Pengusaha industri sukan dan operator arena sukan seperti gym, boling, futsal dan sebagainya akan mendapat bantuan secara one-off sebanyak RM3,000
  • Bantuan Khas Taska yang berjumlah RM3,000 kepada lebih 4,400 pengusaha taska seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta lebih 8,000 pengusaha tadika swasta seliaan Kementerian Pendidikan
  • Pengusaha kantin sekolah yang berdaftar akan mendapat bantuan secara one-off sebanyak RM1,000
  • Kerajaan juga akan menyediakan bantuan one-off sebanyak RM3,000 kepada lebih 5,300 agensi pelancongan berdaftar apabila negara beralih ke fasa ke-3 PPN
 

9. Penambahbaikan Program Subsidi Upah (PSU) 4.0

Semenjak progam ini dijalankan pada tahun 2020, kerajaan telah membelanjakan lebih dari RM15 bilion bagi membantu majikan membayar gaji kepada sekitar 2.7 juta pekerja. Melalui PSU 4.0 di bawah PEMULIH, kerajaan membuat keputusan untuk menaikkan peruntukan sebanyak RM3.8 bilion yang dijangka memanfaatkan lebih 2.5 juta pekerja.

Sumber Imej: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)
 

Melalui PSU 4.0, kerajaan akan menampung sehingga 500 pekerja bagi setiap majikan dengan kadar sebanyak RM600 setiap pekerja sehingga 4 bulan dari Ogos 2021. Untuk 2 bulan pertama, PSU 4.0 adalah bagi semua sektor dalam fasa ke-2 PPN. Manakala, 2 bulan seterusnya khusus bagi sektor-sektor yang berada dalam senarai negatif semasa tempoh fasa ke-3.

Sebelum ini, bantuan PSU hanya boleh diberikan kepada pekerja yang berpendapatan kurang dari RM4,000. Kini dalam PSU 4.0, majikan juga boleh memohon untuk pekerja yang berpendapatan lebih dari RM4,000.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari https://psu.perkeso.gov.my/.

Sekiranya syarikat anda tidak dapat beroperasi semasa PKP, usah risau kerana pengecualian levi Human Resource Development Corporation (HRDCorp) bagi tempoh 2 bulan akan diberikan secara automatik. Syarikat-syarikat daripada sektor-sektor yang baharu dirangkumi ekoran peluasan Akta Perbadanan Sumber Manusia Berhad 2001 akan diberikan pelanjutan pengecualian levi sehingga 31 Disember 2021.

 

10. Melanjutkan Program PenjanaKerjaya 3.0

Untuk pengetahuan anda, Program PenjanaKerjaya sepatutnya berakhir pada penghujung bulan Jun 2021. Sehingga kini, sebanyak RM170 juta telah disalurkan kepada lebih 10,600 majikan dan 75,800 pekerja.

Menerusi insentif PEMULIH, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan program ini dengan membuat beberapa penambahbaikan seperti:

  • Mengurangkan had kelayakan gaji daripada RM1,500 kepada RM1,200 untuk program Malaysianisation supaya dapat memberi lebih dorongan kepada majikan untuk mengganti pekerja asing dengan pekerja tempatan.
  • Tempoh kontrak penggajian juga akan dilonggarkan daripada 12 bulan kepada 6 bulan bagi kategori pekerja berusia 50 tahun ke atas, golongan OKU dan bekas banduan.
  • Berkolaborasi dengan Agensi Pekerjaan Swasta di mana agensi pekerjaan swasta akan dibayar RM100 bagi setiap penempatan pekerja berkemahiran rendah dengan gaji kurang dari RM3,000.

Sumber Imej: Pertubuhan Keselamatan Sosial

Untuk maklumat lebih terperinci, sila layari https://penjanakerjaya.perkeso.gov.my/ 

 

11. Penambahan bayaran Geran Khas Prihatin (GKP) 3.0

Sebelum ini, kerajaan  memberikan GKP 1.0 dan 2.0 yang berjumlah RM2.7 billion, dan GKP Permai berjumlah RM0.9 bilion bagi membantu PKS yang terkesan akibat pandemik dan pelaksanaan PKP.

Berdasarkan laporan berita, Persatuan PKS Malaysia  menyuarakan kebimbangan bahawa pelaksanaan PKP sekali lagi akan menyebabkan banyak perniagaan tempatan ‘gulung tikar’ dan kadar pengangguran akan meningkat di Malaysia. Namun, mereka tidak perlu risau kerana kadar GKP telah ditambah sebanyak RM500 kepada RM1,500 di bawah PEMERKASA. 



Sumber Imej: Kementerian Kewangan Malaysia (MOF)

 

Melalui PEMULIH, kerajaan akan membuat bayaran tambahan di bawah GKP 4.0 kepada penerima yang layak sebanyak RM500 pada bulan September dan RM500 lagi pada bulan November 2021

Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari https://gkp.hasil.gov.my/

 

12. Skim Mikrokredit tersedia kepada pengusaha mikro/PKS

Bagi terus menyokong perniagaan mikro, program pembiayaan mikrokredit akan diteruskan dengan tambahan dana sehingga RM1.1 bilion. Pembiayaan mudah ini akan disediakan oleh AgroBank dan Bank Simpanan Nasional yang masing-masing berjumlah RM500 juta, dan TEKUN sebanyak RM100 juta. Sebelum ini, jumlah skim mikrokredit hanyalah RM1.8 bilion.

Ini bermakna, termasuk peruntukan sedia ada untuk 2021 sebanyak RM3 bilion dana mikrokredit masih tersedia untuk usahawan mikro. Tujuan bantuan ini adalah untuk membantu pengusaha mikro/PKS yang tidak dapat beroperasi dengan menyediakan modal kerja untuk kembali beroperasi:

  1. BSN - https://www.bsn.com.my/ 
  2. AGRO BANK - https://www.agrobank.com.my 
  3. MARA - https://www.mara.gov.my 
  4. SME CORP - https://www.smecorp.gov.my 
  5. YaPEIM - https://www.yapeim.my 
  6. TEKUN - https://www.tekun.gov.my 

Selain itu, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) juga telah meningkatkan had siling pembiayaan skim jaminan kerajaan di bawah SJPP sebanyak RM10 bilion bagi tahun 2021 kepada RM36.5 bilion. Kerajaan juga akan meningkatkan lagi had siling jaminan di bawah SJPP sebanyak RM20 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM56.5 bilion.

Ini adalah sebagai langkah berterusan untuk membantu sektor PKS kekal relevan dan berdaya saing. Lebih-lebih lagi supaya PKS lebih senang mendapat kemudahan pembiayaan dan bangkit semula dalam fasa pemulihan.

 

13. Akses bantuan kewangan usahawan PKS disediakan

Bagi membantu PKS yang terkesan akibat pandemik COVID-19, BNM telah menyediakan pelbagai dana pinjaman mudah berjumlah RM23 billion yang menawarkan pinjaman kepada PKS pada kadar serendah 3.5%. 

Setakat ini, RM18 billion telahpun disalurkan melalui institusi perbankan tempatan kepada PKS dan dengan itu, terdapat baki RM4.6 billion lagi untuk dimanfaatkan oleh PKS.

Mengambil kira sambutan daripada PKS, BNM akan meningkatkan dana pinjaman modal kerja sebanyak RM2 bilion dari PEMERKASA dan lagi RM2 bilion dari PEMULIH. Justeru, nilai pinjaman yang sedia untuk dimanfaatkan oleh PKS adalah berjumlah RM8,6 bilion.

Semoga insentif ini dapat memenuhi keperluan PKS dan PKS mikro dalam meningkatkan akses pembiayaan pada kadar konsesi, meredakan kekangan aliran tunai, menyokong pemulihan PKS dalam segmen ekonomi tersasar dan meningkatkan automasi dan digitalisasi PKS.

 

14. Bantuan untuk usahawan MARA 

Dalam usaha MARA membantu 9 ribu usahawan yang turut terjejas akibat COVID-19, kerajaan membenarkan mereka membuat permohonan penangguhan bayaran balik pembiayaan perniagaan MARA untuk tempoh 3 bulan. Selain itu, penjadualan semula bayaran balik pembiayaan akan dipanjangkan mengikut tempoh pembiayaan sehingga 36 bulan.

Sehubungan itu, MARA akan melanjutkan pemberian diskaun 30% ke atas sewaan premis perniagaan MARA bagi tempoh 5 bulan iaitu sehingga Disember 2021. Lebih 5,700 penyewa dijangka memperoleh manfaat daripada inisiatif ini.

 

15. Pelanjutan Pengecualian Cukai

Beberapa langkah cukai juga telah dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021 iaitu:

  • Pengecualian sepenuhnya duti setem bagi Kempen Pemilikan Rumah (HOC) sehingga RM1 juta. Sepatutnya, Kempen Pemilikan Rumah (HOC) tamat pada 31 Mei 2021, tetapi ianya telah dilanjutkan.
  • Pengecualian cukai jualan bagi kenderaan penumpang kereta pemasangan tempatan (CKD) sebanyak 100% dan 50% untuk model import sepenuhnya (CBU).
  • Potongan khas kepada pemilik bangunan dan ruang perniagaan yang menawarkan pengurangan sewa premis perniagaan kepada PKS dan bukan PKS untuk tempoh 6 bulan lagi sehingga 31 Disember 2021 bagi pengurangan sewa sekurang-kurangnya 30% daripada kadar sewa semasa.


Selain itu, untuk terus membantu perniagaan yang terkesan, inisiatif cukai yang telah diumumkan sebelum ini masih diteruskan sehingga 31 Disember 2021:

  • Penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan bulanan bagi syarikat industri pelancongan dan industri terpilih seperti pawagam dan spa;
  • Pengecualian cukai pelancongan dan perkhidmatan ke atas penginapan yang disediakan oleh pengendalian premis.

Sumber Imej: Kementerian Kewangan Malaysia (MOF)


Menerusi PEMULIH, insentif dia akan menangguhkan pembayaran ansuran cukai pendapatan bulanan kepada syarikat dan mengecualikan cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan kepada pengendali hotel sehingga akhir tahun ini.

 

16. Membangunkan Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK)

Dalam usaha kerajaan menyokong agenda digitalisasi dan menggalakkan urusan transaksi tanpa tunai, kerajaan telah memperuntukkan RM200 juta untuk perusahaan mikro dan RM100 juta untuk PKS.

Antara inisiatif-inisiatif yang akan dijalankan ialah:

  • Meneruskan kempen Shop Malaysia Online dan Go-eCommerce Onboarding dengan sasaran lebih 300 ribu peniaga mikro untuk beralih ke perniagaan dalam talian dan menggunakan sistem e-tunai;
  • Menambah peruntukan sebanyak RM100 juta di bawah SME Digitalisation Grant bagi membolehkan usahawan PKS mendapat geran padanan sehingga RM5 ribu untuk pembelian sistem atau langganan platform digital;
  • Menggalakkan penyertaan PKS mikro menceburi platform e-dagang melalui program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil yang diterajui SKMM. 
  • Memperkasa usahawan tani khususnya di luar bandar untuk menggunakan teknologi terkini di bawah Program Digitalisasi dan Transformasi Sektor Pertanian

Selain itu, kerajaan juga akan memperuntukkan RM100 juta dalam bentuk kemudahan pembiayaan dan sokongan bantuan kewangan untuk membantu lebih 8 ribu penggiat seni. Insentif ini akan meliputi:

  • Insentif penghasilan karya dan kandungan digital,
  • Peluang kerjaya,
  • Program peningkatan kemahiran,
  • Caruman perlindungan di bawah PERKESO
  • Perolehan produk bagi tujuan produksi di televisyen, radio dan penciptaan lagu.
 

Masih tidak pasti dengan jenis bantuan yang anda layak? 

Setakat Mei 2021, sekitar RM200 bilion telah dimanfaatkan oleh 20 juta rakyat dan 2.4 juta perniagaan. Jika anda tidak pasti jenis bantuan yang anda mungkin layak, sila rujuk gambar di bawah akan manfaat yang akan diterima secara menyeluruh bagi B40 miskin, B40, M40, T20, serta perniagaan mikro dan PKS. 


Kategori B40 Miskin

Sumber Imej: Kementerian Kewangan Malaysia (MOF)

 

Kategori B40

Sumber Imej: Kementerian Kewangan Malaysia (MOF)

 

Kategori M40

Sumber Imej: Kementerian Kewangan Malaysia (MOF)

 

Kategori T20

Sumber Imej: Kementerian Kewangan Malaysia (MOF)

 

Kategori Perusahaan Mikro

Sumber Imej: Kementerian Kewangan Malaysia (MOF)

 

Kategori Perusahaan PKS

Sumber Imej: Kementerian Kewangan Malaysia (MOF)

 

Untuk pengetahuan anda, maklumat manfaat pakej kerajaan yang anda layak boleh didapati dengan menggunakan panduan MOF seperti di bawah:


Sumber Imej: Website Belanjawan 2021
 

  1. Layari belanjawan2021.treasury.gov.my/manfaat/dan klik ‘Mula’.
  2. Bergantung pada manfaat yang anda cari, pilih ‘Individu dan Isi Rumah’, ‘Perniagaan dan Majikan’, atau ‘Komuniti’.
  3. Isi maklumat yang diperlukan.
  4. Pilih aspek maklumat yang anda ingin tahu.


Anda akan diberikan maklumat berkaitan semua manfaat yang anda boleh nikmati dari segi kewangan, pembiayaan, kesihatan, perlindungan sosial dan lain-lain lagi. Ini bermaksud platform ini bukan sahaja mengandungi manfaat dibawah PEMULIH, malah turut mempunyai bantuan-bantuan lain.
 

 
Sumber Imej: Website Belanjawan 2021 

Jadi, jangan lupa untuk memanfaatkan inisiatif-inisiatif yang disediakan oleh kerajaan ini. Kongsikan juga pada rakan-rakan, ibu bapa dan saudara-mara supaya mereka juga tahu akan manfaat yang mereka layak terima.



*Artikel di atas bertujuan untuk memberi maklumat sahaja. Loanstreet tidak bertanggungjawab atas kerugian yang mungkin timbul jika ada sebarang kebergantungan anda dengan maklumat yang terdapat dalam artikel.

Teruskan Pembacaan...

Tentang Penulis

Team Loanstreet



LIHAT SEMUA ARTIKEL

Artikel Disarankan Untuk Anda

Panduan lengkap cukai pendapatan 2023

Panduan Lengkap Cukai Pendapatan 2024 (Taksiran 2023)

pelepasan cukai pendapatan 2023

8 Cara Untuk Dapatkan Lebih Banyak Pelepasan Cukai Pendapatan (Taksiran 2023)

Jangan Sampai Kena Denda 300% Dengan LHDN! Jom Baca Untuk Faham Cara Nak Elakkan

INI Cara Nak DECLARE Income. Jangan Sampai Kena Denda 300% Dengan LHDN!