Apa tu harta pusaka kecil?
Sebelum kita pergi lebih panjang lebar, korang kena tahu maksud dan definisi sebenar untuk harta pusaka kecil ini iaitu:
Harta yang ditinggalkan oleh si mati dan ada ciri-ciri seperti berikut:
- Si mati tak tinggalkan wasiat.
Harta itu pula terdiri daripada :
- Harta Tak Alih (Tanah/Rumah) sahaja, atau ;
- Harta Tak Alih (Tanah/Rumah ) bersama-sama dengan harta alih seperti wang tunai, saham, kenderaan, caruman KWSP/Insuran, ASN/ASB dan sebagainya.
Jumlah nilaian keseluruhan harta itu hendaklah tidak melebihi RM2 juta (mulai 1 September 2009) pada tarikh permohonan tuntutan dibuat.
Secara mudahnya, korang nak faham, harta pusaka kecil ni melibatkan harta yang si mati tak tinggalkan wasiat dengan nilai yang tak lebih daripada RM 2 juta.
Situasi yang kerap berlaku, waris tidak ambil tahu disebabkan proses yang lebih rumit, dan akhirnya harta ini dibekukan kerana tiada yang menuntut. Rugilah!
Siapa yang bertanggungjawab uruskan urusan tuntutan harta pusaka kecil yang tiada penama?
Kalau harta pusaka kecil yang tiada penama ni, korang kena tahu unit mana yang bertanggungjawab untuk settlekan korang punya urusan ni iaitu:
UNIT PEMBAHAGIAN PUSAKA KECIL
- Seksyen Pembahagian Pusaka Kecil ada 36 unit je di seluruh negara. Setiap unit bertanggungjawab menerima permohonan,membicarakan serta mengeluarkan perintah pembahagian terhadap dua atau tiga daerah jagaan.
- Bagi daerah di mana tak ada unit pusaka kecil, urusan penerimaan permohonan (Borang A dan Borang P) korang boleh buat melalui Pejabat Tanah di daerah-daerah berkenaan.
Sumber: iProperty
Siapa yang layak memohon?
Bukan semua orang boleh memohon untuk tuntutan harta pusaka kecil tiada penama ni. Ada beberapa kategori yang layak memohon seperti berikut:
- Waris - waris simati seperti balu lelaki atau perempuan, anak lelaki atau perempuan, ibu atau bapa, Majlis Agama Islam (Baitulmal) dan sebagainya;
- Pemiutang dan pengkaveat;
- Pembeli di bawah surat perjanjian jual beli yang sah;
- Pemegang gadaian atau pemegang pajakan tanah simati;
- Penghulu atau Pegawai Petempatan yang diarahkan oleh Pentadbir Tanah;
- Amanah Raya Berhad
Macam mana nak mohon?
Korang boleh lihat gambar rajah kat bawah ni untuk tahu proses permohononan tuntutan harta pusaka kecil secara ringkas. Kalau nak lebih detail, boleh teruskan membaca.
Langkah 1: Senaraikan semua harta si mati dan dapatkan dokumen yang berkenaan selengkap yang boleh
Bagi memudahkan korang buat tuntutan, senaraikan semua harta si mati. Kemudian, korang kumpulkan segala dokumen yang berkaitan dengan harta ni siap-siap.
Sebabnya, masa buat permohonan nanti korang kena kemukakan segala dokumen berkaitan ni siap-siap.
Bergantung kepada kategori harta yang korang nak tuntut, ni contoh dokumen yang korang akan perlukan:
- Dokumen Harta Tak Alih - Salinan hakmilik yang diakui sah oleh Pejabat Tanah atau Perakuan Carian Rasmi yang menunjukkan pegangan harta tak alih simati atau surat perjanjian jualbeli bagi rumah yang belum ada hakmilik yang berasingan, salinan resit cukai pintu bagi kediaman/bangunan Hak Milik Strata yang belum dikeluarkan dan resit cukai tanah (jika ada).
- Salinan dokumen harta - harta alih seperti salinan sijil saham, salinan buku akaun simpanan, salinan hak milik kenderaan, salinan penyata KWSP dan sebagainya yang terkini.
Langkah 2 : Proses Pengisian Borang “A”
Sumber: Majalah Labur
Seterusnya, korang dah boleh dapatkan borang “A” dekat unit yang bertanggungjawab ni. Kemudian, sertakan dokumen sokongan yang lengkap mengikut harta yang ingin dituntut.
Contoh senarai dokumen yang diperlukan (bergantung kepada harta yang ingin dituntut):
- Borang permohonan waris si mati (petisyen)
- 1 salinan sijil kematian simati
- 1 salinan kad pengenalan bagi setiap waris yang berhak
- 1 salinan surat beranak (bagi bukan islam)
- 2 salinan CARIAN (RASMI/ PERSENDIRIAN) Geran Versi Terkini (RM 75.00) + pelan
- 1 salinan buku akaun bank/Penyata KWSP/ASN dan lain-lain sekiranya ada
- 1 salinan geran kenderaan atas nama simati sekiranya ada (NILAIAN KENDERAAN perlu dibuat dimana-mana kedai kenderaan yang berdekatan)
Masa buat permohonan, cara pembahagian yang dikehendaki dengan jelas. Surat Akuan Persetujuan boleh didapati di semua Unit Pembahagian Pusaka, Pejabat Tanah atau di muatturun melalui laman web jabatan iaitu www.jkptg.gov.my
Langkah 3: Daftar Permohonan
Borang ”A” yang lengkap diisi beserta dokumen sokongan akan diserahkan kepada Unit
Pihak JKPTG (Unit Pembahagian Pusaka). Mereka akan hantar surat akuan terima kepada pemohon/pempetisyen dan memaklumkan tarikh jangkaan perbicaraan
Proses semakan juga akan dibuat untuk pastikan butiran tentang harta yang korang nak tuntut ni tepat dan betul.
Langkah 4 : Perbicaraan
Sumber imej: Tingey Injury Law Firm dari Unsplash
Sebagai Pemohon, korang kena tunggu sehingga tarikh perbicaraan ditetapkan oleh pihak JKPTG (Unit Pembahagian Pusaka).
Kemudian, pihak mereka akan buat makluman melalui Borang D/S – Notis Petisyen dan Pendengaran atau melalui panggilan telefon.
Semua waris perlu hadir semasa perbicaraan dijalankan dan korang perlu pastikan semua dokumen asal dan segala dokumen korang rasa berkaitan perlu dibawa semasa pembicaraan.
Semua pihak yang diminta hadir dikehendaki untuk hadir pada hari pembicaraan. Semua keterangan yang diberi semasa pembicaraan hendaklah direkodkan. Korang juga kena bersumpah/berikrar bahawa segala dokumen yang diberikan adalah sahih dan benar .
Kalau ada waris yang tidak dapat hadir, bolehlah kemukakan Surat Akuan Persetujuan yang ditandatangani di hadapan Pentadbir Tanah, Majistret, Pesuruhjaya Sumpah atau Notaris Awam.
Langkah 5 : Daftar Surat perintah Pembahagian (Borang E/F/T)
Bila dah selesai perbicaraan, korang kena daftar pula Surat perintah Pembahagian (Borang E/F/T).
Borang perintah ni akan dikeluarkan 1 bulan selepas proses perbicaraan dijalankan. Korang kena semak dan pastikan maklumat dalam borang perintah tu tepat dan betul.
Kemudian, korang kena serahkan surat perintah tersebut di pejabat tanah yang berkaitan beserta dengan geran asal dan resit cukai tanah yang tekini.
Apa jangka masa proses tuntutan?
Biasalah, apa-apa proses perlukan masa untuk proses tuntutan.
- Tempoh masa paling minima untuk memproses sesuatu tuntutan kes biasa adalah dalam tempoh 5 ½ bulan bagi Permohonan Baru – Borang A Seksyen 8.
- Contoh kalau ada kes melibatkan kematian berlapis dan harta berada didalam daerah yang berlainan, tempoh masa akan jadi lebih lama.
Korang mungkin rasa semua benda ni sangat rumit sekarang ni, tapi kalau dibiarkan, hak korang sebagai waris akan terabai. Akhirnya, harta tinggalan dibekukan dan anda pun terabai macam tu je.
Kami harap dengan panduan ringkas ni dapat bantu korang dapat gambaran apa yang perlu dilakukan nanti.
Jangan lupa untuk baca artikel kewangan lain dari Loanstreet untuk tambah ilmu!
*Artikel di atas bertujuan untuk memberi maklumat sahaja. Loanstreet tidak bertanggungjawab atas kerugian yang mungkin timbul jika ada sebarang tindakan anda dengan maklumat yang terdapat dalam artikel.
BACA JUGAK:
Ni Benda yang Korang WAJIB Tahu Pasal Wasiat
Apa Akan Terjadi Pada Hutang Korang Lepas Meninggal?
Apa Yang Akan Jadi Pada Duit ASB Lepas Meninggal?