Subscribe to Our Newsletter

We know you love savings. Sign up for more!

Bimbingan Lengkap Untuk Takaful

Updated 10 Dec 2018 – By Loanstreet


Apabila terdapat isu mengenai perlindungan insurans dibincangkan, masyarakat sering menganggap bahawa duit yang dibayar untuk premium “hangus” jika tiada sebarang tuntutan dibuat. Tetapi, terdapat sejenis insurans yang kurang diketahui oleh ramai orang dan perlindungan insurans ini memberi pulangan tunai sekiranya tiada tuntutan. Masalahnya sekarang adalah, kebanyakan masyarakat tidak mempedulikan pada insurans ini kerana mereka tidak tahu mengenainya.

Selamat datang ke bimbingan lengkap bagi Takaful. Setelah anda habis membaca artikel ini, anda boleh dikira antara kumpulan pengguna kewangan yang celik di Malaysia.

Konsep Saling Berkongsi Risiko

Takaful berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud saling jamin menjamin, iaitu sekumpulan peserta bersetuju untuk saling bantu membantu dari segi kewangan untuk sesuatu kerugian. Peserta-peserta menyumbang secara tetap kepada kumpulan dana bersama ini dengan niat untuk saling menjamin antara satu sama lain. Apabila seorang peserta menyertai skim Takaful ini, ianya bukan sahaja melibatkan perlindungan untuk diri peserta tersebut,malah  melibatkan kerjasama diantara peserta-peserta lain serta membuat sumbangan untuk membantu mereka yang memerlukannya..

Disebabkan kontrak ini merupakan sejenis kontrak yang risikonya dikongsi antara sekumpulan para peserta , oleh itu, tidak seperti insurans konvensional, wang yang dikumpul bukanlah kepunyaan pengendali Takaful (yang hanya menguruskannya) tetapi ia merupakan kepunyaan peserta-peserta skim tersebut.

Selaras dengan ini, sebarang  wang lebihan (selepas ditolak kos operasi dan tuntutan) diagihkan semula kepada para peserta sebagai “keuntungan”. Hal ini secara tidak langsung membuatkan Takaful sangat menarik untuk mereka yang bukan beragama Islam juga.

Lain-lain Konsep Islam 

Selain daripada kontrak bersama di antara para peserta, terdapat 3 konsep kewangan Islam yang terdapat  dalam produk Takaful. Pematuhan Syariah inilah yang membuat Takaful amat menarik pada umat Islam.

Oleh yang demikian, ramai yang beranggapan bahawa Takaful hanyalah untuk mereka yang beragama Islam, akan tetapi sebenarnya produk Takaful direka untuk memenuhi keperluan masyarakat secara umum, termasuk mereka yang bukan beragama Islam.

  1. Mengelakkan Riba (Faedah)

    Takaful tidak melabur dalam instrumen kewangan seperti bon dan stok yang mungkin mengandungi unsur-unsur Riba. Tambahan pula, dengan mengambil kira sumbangan setiap para peserta sebagai derma bersyarat untuk pampasan, Takaful mampu mengelakkan unsur ini dari polisinya.

  2. Mengelakkan Gharar (Ketidakpastian)

    Kontrak insurans konvensional mengandungi Gharar. Ini kerana syarikat insurans boleh mendapat keuntungan atau menanggung kerugian bergantung pada jumlah tuntutannya berbanding kutipan.

    Sebaliknya, kontrak Takaful adalah  telus dan jelas berkenaan jumlah pampasan peserta  sekiranya tuntutan dibuat dan jumlah “keuntungan” yang akan diagihkan semula kepada para peserta sekiranya terdapat sumbangan berlebihan. Hal ini telah menyebabkan unsur Gharar dapat dielakkan dalam sijil Takaful.

  3. Mengelakkan Maysir (Berjudi)

    Maysir dan Gharar saling berkait rapat. Sekiranya terdapat unsur Gharar, unsur Maysir juga akan wujud. Maysir wujud di dalam insurans apabila pemegang polisi membayar premium yang kecil dengan jangkaan untuk mendapatkan satu jumlah yang lebih besar. Sekiranya peristiwa itu tidak berlaku, pemegang polisi telah kehilangan premium yang dibayar.

Jenis-jenis Takaful

  1. Takaful Am

    Kontrak Takaful Am biasanya adalah polisi jangka pendek dan setanding dalam tujuannya apabila dibandingkan dengan insurans am konvensional. Takaful jenis ini tidak mempunyai sebarang komponen simpanan mahupun pelaburan. Pengendali Takaful akan  mengagihkan sebarang lebihan pengunderaitan atau keuntungan kepada pesertanya secara tahunan.

    Contoh produk-produk Takaful Am adalah seperti Motor Takaful dan Takaful Kebakaran.

  2. Takaful Keluarga

    Takaful Keluarga biasanya merupakan polisi jangka masa panjang yang mana kebanyakkan peserta yang bertujuan untuk menabung demi keperluan jangka panjang sepertipendidikan anak-anak, pencen dan juga pampasan untuk tanggungan mereka. Takaful jenis ini mempunyai jangka masa panjang dari sepuluh hingga tiga puluh tahun.

    Untuk Takaful Keluarga, pengendali biasanya membahagikan sumbangan kepada dua bahagian iaitu dana pelaburan peserta (dana simpanan) dan dana risiko peserta (dana Tabarru’). Akaun kedua digunakan jika terdapat kes kerugian dari peserta lain yang akan dibayar pampasan mengikuti kadar seperti yang telah dipersetujui sebelumnya.. Kedua-kedua akaun ini perlu dilaburkan dalam sekuriti-sekuriti yang patuh Syariah dan pengendali Takaful boleh memperolehi pendapatan sama ada melalui bayaran yuran atau berkongsi sebahagian daripada keuntungan pelaburan.

    Contoh  produk-produk Takaful Keluarga termasuk simpanan, pelan pendidikan dan pelan persaraan.

Faedah menyertai skim Takaful

  1. Perkongsian Risiko = Tiada Konflik Kepentingan Diri Semasa Tuntutan oleh Pengendali

    Takaful dan insurans konvensional mempunyai tujuan yang serupa iaitu untuk mengurus dan mengatasi risiko. Walau bagaimanapun, perbezaan asas untuk kedua-dua kontrak ini menyebabkan Takaful lebih adil berbanding insurans konvensional. Insurans konvensional menggunakan konsep kontrak jualan dan pemindahan risiko, manakala kontrak Takaful mengamalkan bantuan bersama di kalangan peserta.

    Oleh kerana pengendali Takaful tidak memperoleh keuntungan dari wang yang tidak dituntut, tidak wujudnya konflik kepentingan diri oleh pengendali  ketika membuat bayaran tuntutan yang sah. Hal ini menyebabkan Takaful amat menarik untuk sesiapa sahaja tanpa mengira agama.

  2. Berkongsi Keuntungan

    Jika  tiada sesiapa membuat sebarang tuntutan, peserta-peserta Takaful boleh mendapatkan sebahagian daripada lebihan wang yang dipulangkan dalam bentuk pulangan tunai. Hal ini juga membuatkan skim Takaful sangat menarik kepada semua  tanpa mengira agama.

  3. Dapat Menghormati Nilai Agama

    Disebabkan skim Takaful tidak mengandungi unsur Gharar, Riba ataupun Maysir, umat Islam boleh menyertai Takaful tanpa rasa bimbang tentang perkara yang dianggap haram.. Di samping itu, dengan menyertai skim yang saling bantu-membantu berdasarkan sistem Islam, para peserta berpeluang untuk melakukan ibadah (kesetiaan) yang mana ia sejenis manifestasi kehambaan, kepatuhan dan penepian keinginan sendiri ke arah perintah Allah.

Kesimpulan

Dengan memahami konsep Takaful, anda akan mendapati bagaimana ia boleh menawarkan jaminan dan kesejahteraan untuk diri anda serta keluarga tersayang dan juga bagaimana Takaful adalah untuk semua tanpa mengira perbezaan agama. Untuk maklumat lanjut tentang Takaful, anda boleh melayari laman web http://www.malaysiantakaful.com.my/.

Jika anda memerlukan insurans kenderaan pula, lawati halaman insurans kereta dan insurans motorsikal kami dan dapatkan sebut harga dengan percuma! Bukan itu saja, anda juga boleh membeli dan membuat bayaran untuk polisi insurans kereta dan motorsikal anda secara online. Mudah bukan?

Teruskan Pembacaan...

Artikel Disarankan Untuk Anda

Kereta tenggelam banjir dapat insurans

Kalau Banjir, Kereta Korang Boleh Claim Insurans Bila...

Kena tow truck scam

"Dia Takut Sangat Sampai Menangis Bila Call Kami"

Kad kesihatan terbaik

Tak Wujud Pun "Medical Card Terbaik"! Ini Perkara Yang Korang Kena Tahu