Subscribe to Our Newsletter

We know you love savings. Sign up for more!

Pakatan Harapan (PH) Menang Pru 14; Bagaimana Dengan Keadaan Ekonomi Malaysia?

Updated 19 Oct 2018 – By Loanstreet


Tanggal 10 Mei 2018, rakyat Malaysia telah menyaksikan satu detik bersejarah dimana parti Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya ke-14 dengan majoriti mudah bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan baharu.

Di saat kemenangan ini, masih terdapat segelintir yang risau dan takut dengan apa yang akan berlaku kemudian. Ini merupakan kali pertama selama 60 tahun, sebuah parti lain mengambil alih kerajaan. Apakah yang akan berlaku selepas ini, yang dikatakan sebagai sebuah era baharu? Mari kita lihat!

1) PH memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) - apakah yang akan berlaku?

Antara manifesto PH yang menjadi bualan panas dikalangan masyarakat semasa kempen pilihanraya ini adalah pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan digantikan semula dengan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST). Cukai GST dahulunya mendapat tentangan hebat daripada rakyat; ia dikatakan memberi beban kepada rakyat sejak perlaksanaannya pada 1 April 2015.

Ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP) Liew Chin Tong merumuskan bahawa “Pendapatan rakyat Malaysia berada pada kadar biasa di mana tiada kenaikan yang dapat dilihat atau kenaikan gaji adalah sangat minimum. GST yang dikenakan pada individu yang berpendapatan RM2,000 mahupun pendapatan sekeluarga pada RM4,000 sebulan, tindakan ini amat membebankan mereka.”

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kenyataan yang bercanggah mengenai pemansuhan cukai GST ini. Para pakar ekonomi, penyelidik serta ahli-ahli politik yang berpengalaman berpendapat bahawa pemansuhan ini akan sedikit sebanyak membebankan negara dengan lebih teruk. Kita dapat lihat bahawa perlaksanaan cukai GST ini telah diperkenalkan di kebanyakan negara-negara maju (sebanyak 160 buah negara!) pada hari ini.

Sudah pastinya jenis levi seperti ini berfungsi dalam menambah tabung awam, dan bukannya kerana 160 negara ini semuanya membuat kesilapan yang sama? Ia merupakan sebuah sistem cukai yang tulus dan progresif, di mana ia mensasarkan golongan mewah daripada golongan kurang berkemampuan dengan mengenakan cukai terhadap tahap penggunaan, bukan terhadap pendapatan. Indikasi ini lebih jelas digambarkan jika seseorang itu berbelanja lebih, maka cukai yang dikenakan lebih banyak dan ia menggambarkan tahap kemampuan seseorang individu itu. Siapa yang sanggup membelanjakan yang paling banyak?

Cukai GST lebih dilihat secara tulus kerana sistem ini agak sukar untuk diselewengkan berbanding dengan jenis cukai yang lain seperti cukai jualan atau cukai pendapatan. Walau bagaimanapun, di Malaysia sendiri kita dapat lihat cara perlaksanaan cukai GST ini sangat bersifat regresi; di mana kebanyakan bahan keperluan asas tidak dikenakan cukai, namun demikian adakah anda tahu bahawa terdapat juga bahan keperluan asas yang mewah juga tergolong dalam barangan sifar GST (zero-rated supplies)?

Berikut merupakan beberapa contoh barangan mewah yang tidak dikenakan cukai:

a. Makanan laut (hidup, segar, dingin, beku) adalah barang sifar GST. Adakah anda tahu, juadah hidangan mewah, ‘lobster’ juga tergolong dalam barang sifar GST.

b. Penerbangan serta percutian pelayaran antarabangsa juga tergolong dalam kategori barangan sifar GST. Persoalannya, kumpulan berpendapatan yang mana mampu untuk bercuti sedemikian?

c. Pelaburan ke atas pelbagai jenis logam seperti emas, perak dan platinium juga dikategorikan sebagai barang yang dikenakan pengecualian cukai. Menarik kan!

Pada pendapat kami, pemansuhan sistem percukaian GST ini mungkin merupakan satu tidakan yang melulu jika dilakukan dengan tidak teratur. Sistem cukai GST telah dilaksanakan secara peringkat nasional, untuk seluruh Malaysia. Pemansuhan ini mungkin akan menelan kos yang tinggi kerana ia akan melibatkan satu lagi aktiviti kewangan untuk membaik pulih kembali sistem perakaunan dan percukaian di Malaysia.

Sebagai alternatif, kami berpendapat untuk mengekalkan GST. Namun begitu, perlulah adanya pengecualian cukai terhadap kebanyakan barang, ataupun harus diletakkan di bawah sifar GST. Dengan itu, kos pelaksanaan sistem itu pada tiga hingga empat tahun yang lalu tidak sia-sia.

Mungkin pada masa hadapan jika masyarakat mula menerima semula GST, pelaksanaan secara berperingkat terhadap beberapa kategori barangan boleh diperkenalkan.

2) Adakah ekonomi negara Malaysia dijangka terus lemah di bawah pentadbiran PH?

Parti Barisan Nasional (BN) merasakan sedemikian dan semestinya rakyat sama sekali akan terkesan akan pendapat yang parti BN kemukakan. Usah runsing, apa kata kita lihat akan beberapa contoh yang disertakan dengan fakta serta angka dimana negeri-negeri yang ditadbir oleh pihak Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada penggal yang lalu. Mereka merupakan contoh yang baik dimana kemajuan ekonomi dapat dilihat malah jauh lebih baik jika dibanding negeri-negeri yang ditadbir oleh parti Barisan Nasional (BN).

a. Selangor - Negeri yang sekian lama menjadi contoh diatas kejayaan ekonomi mereka. Contohnya, menurut laporan The Edge, Kerajaan Negeri Selangor berjaya mencatatkan lebihan unjuran sebanyak RM480​​juta pada bulan Ogos 2016, berdasarkan hasil sebanyak RM1.86 bilion perbelanjaan hanya RM1.38 bilion sahaja.

b. Pulau Pinang - Lagi satu negeri yang melakar kejayaan dalam ekonomi. Mengikut kata-kata Lim Guan Eng, "Sejak 8 tahun selepas Pakatan mengambil alih kerajaan, Pulau Pinang telah mencatatkan lebihan unjuran tahunan dengan lebihan terkumpul sebanyak RM574 juta sejak lapan tahun terakhir dari 2008-2015, melebihi daripada lebihan terkumpul di bawah BN sejak 50 tahun lepas dari 1957-2007 sebanyak RM373 juta.”

Namun demikian, terdapat kebimbangan jika kita ingin berbicara mengenai janji Pakatan Harapan (PH) yang menekan akan ‘10 Janji 100 Hari’ dalam manifesto mereka untuk negara Malaysia yang tercinta ini. Kebangkitan Tun Dr Mahathir menguatkan lagi kepercayaan rakyat Malaysia bahawa segalanya tidak mustahil kerana pada suatu ketika dulu, beliau merupakan seorang pemimpin yang memajukan ekonomi Malaysia di mata dunia serta digelar sebagai Bapa Pemodenan Malaysia.

Walau bagaimanpun, berdasarkan kajian yang dibuat oleh Kementerian Kewangan Malaysia, mereka berpendapat bahawa pasaran saham dan mata wang Malaysia akan jatuh. Hutang negara akan meningkat dengan mendadak sebanyak RM430bil (dengan jumlah yang meningkat kepada lebih daripada RM1tril) jika perkara yang dijanjikan seperti tol lebuh raya, GST serta PTPTN dimansuhkan.

Kerisauan ini bukan sahaja disuarakan oleh pihak Barisan Nasional (BN), malah menurut credit ratings agency Moody turut bersependapat bahawa “Pihak Pakatan Harapan (PH) tidak mempunya maklumat yang cukup mengenai polisi ekonomi mereka dan segala manifesto dalam pilihanraya dinilai dengan maklumat yang kurang yang akan membolehkan mereka membuat penilaian yang menyeluruh terhadapan impak kepada belanjawan negara serta makro-ekonomi sendiri.”

Sentimen “IniKalilah” memberikan gambaran masa singkat akan usaha yang ingin dilakukan dan ada segelintir pihak mulai resah sama ada mampukah PH melakukannya. Jika pihak PH mampu melaksanakannya, untuk jangka masa yang panjang, kita mampu melihat PH meletakkan pembaharuan di dalam struktur kerajaan dan mencapai kejayaan yang diperoleh dari kedua-dua negeri iaitu Selangor dan Pulau Pinang. Ini akan merealisasikan impian rakyat serta menunjukkan pilihan mereka adalah tepat.

Mari kita lihat antara manifesto pihak Pakatan Harapan dalam membangunkan Malaysia dari sudut perkembangan ekonomi:

1) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)

Dalam manifesto Pakatan Harapan, ia menggariskan bahawa pembayaran balik PTPTN hanya berlaku apabila seseorang individu itu mencapai pendapatan RM4,000 ke atas dan memansuhkan tindakan senarai hitam. Kerajaan masih lagi mempunyai dana dalam membantu generasi muda seterusnya dalam meneruskan pengajian. Walau bagaimanpun, pinjaman PTPTN masih perlu dilangsaikan jika anda berpendapatan RM4,000 ke atas.

Walau bagaimanapun, dengan memansuhkan tindakan senarai hitam, bagaimanakah pihak PTPTN dan kerajaan boleh mendapatkan semula pinjaman yang diberikan jika peminjam sendiri lari ke negara lain tanpa menyelesaikan hutang mereka? Mungkinkah mereka yang lain juga akan berbuat demikian dengan tidak membayar semula? Bagaimana pula dengan mereka yang berpendapatan bawah RM4,000 namun masih mampu untuk menyelesaikan seluruh pinjaman mereka?

2) Mengkaji semula projek-projek mega

Pihak PH telah berjanji bahawa mereka akan mengkaji semula segala projek-projek mega yang telah ditawarkan kepada negara-negara luar. Salah satu projek mega itu adalah projek Laluan Rel Pantai Timur atau lebih dikenali sebagai East Coast Rail Line yang berjumlah RM55bil. Projek ini telah diberi kepada negara China. Tun Mahathir pernah berkata bahawa projek mega seperti ini merupakan sebuah pembaziran sumber kewangan. Bagaimanakah kita hendak menyelamatkan sumber kewangan kita dengan pembaziran ke atas projek yang tidak bermanfaat ini?

Jika projek ECRL ini dibatalkan, bagaimana agaknya hubungan diplomatik antara Malaysia dan negara China? Persoalannya, bagaimanakah kehadiran negara China dalam projek-projek di Malaysia ini sangat kuat sekali, adakah ia berkait rapat dengan sumbangan kewangan daripada negara China yang diterima oleh Najib untuk menyelamatkan  dirinya dari skandal 1MDB?

3) Subsidi bahan api

Pengenalan semula subsidi bahan api kepada kumpulan sasaran yang mempunyai kenderaan seperti motosikal dengan enjin di bawah 125cc dan kereta dengan enjin di bawah 1300cc boleh menikmati subsidi ini jika ia dilaksanakan dengan betul. Namun amat sukar dikendalikan kerana tidak pasti bagaimana untuk mengenal pasti jenis kenderaan yang digunakan ketika mengisi bahan api.

Setakat ini, seribu satu soalan muncul apabila membicarakan tentang manifesto Pakatan Harapan (PH). Namun jika usaha mereka ini untuk menjimatkan rakyat dan melawan segala jenis rasuah yang berleluasa ini, usaha ini perlu disokong. Jika tidak, mereka akan berada di bawah tekanan yang tinggi untuk mengimbangi semula belanjawan negara.

3) Bagaimanakah dinamik pasaran saham selepas ini?

Dinamik pasaran saham di Malaysia dapat dilihat terjejas sejak sebelum pilihanraya 14 lagi. Semua pelabur berhati-hati dalam setiap pelaburan dan hanya mengamalkan sikap tunggu dan lihat.  Selepas PRU 14 ini, adakah kita akan melihat perubahan dan bolehkah kita mengharapkan lonjakan saham ke tahap yang lebih baik?

Kami pasti pelabur-pelabur yang terlibat dengan pasaran saham yang berkenaan dengan kerajaan yang lalu, mereka mungkin akan mengalami kerugian yang teruk.  Mari kita lihat syarikat-syarikat dibawah ‘payung’ Pakatan Harapan:

a. Opcom Holdings Bhd

Mokhzani Bin Mahathir merupakan salah seorang ahli lembaga pengarah. Saham syarikat itu menyaksikan perubahan positif sebanyak 35.95%.

b. Petron Corporation

Mirzan Bin Mahathir merupakan salah seorang ahli lembaga pengarah. Saham syarikat itu menyaksikan perubahan positif sebanyak 1.70%.

c. Eden Inc Bhd

Fakhri Yassin Mahiaddin, anak lelaki kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ada kaitan dengan syarikat ini. Saham syarikat itu menyaksikan perubahan positif sebanyak 21.43%.

d. Thriven Global Bhd

Syarikat ini juga ada kaitan dengan Fakhri Yassin Mahiaddin. Saham syarikat itu menyaksikan perubahan positif sebanyak 28.20%.

Kesimpulannya

Bak kata cendiakawan Heraclitus, “The only thing that is constant is change”. Selama 60 tahun, senario ekonomi di Malaysia ada pasang dan surutnya. Peralihan angina secara tiba-tiba daripada sistem yang agak stabil tetapi authoritarian kepada sistem demokrasi yang lebih dinamik walaupun agak sukar dibentuk namun ia tetap merupakan lembaran baru dimana rakyat sendiri mahukan perubahan ini.

Buat masa sekarang, masih dapat dilihat sama ada PH mampu merealisasikan manifesto mereka yang tinggi untuk negara ini, atau membuktikan Najib benar-benar betul apabila beliau merujuk kepada dasar mereka sebagai 'Pak Pandir'.

Teruskan Pembacaan...

Artikel Disarankan Untuk Anda

Boss Tak Bayar Gaji On Time, INI Apa Yang Korang Boleh Buat

Boss Tak Bayar Gaji On Time, INI Apa Yang Korang Boleh Buat

Kesan dan langkah elak muflis

Berapa senang nak diisytiharkan sebagai muflis?

Budget Bajet 2019

Bajet 2019: 8 Perkara Yang Bagi Kesan Pada Anda