Okay, mungkin korang jenis bersyukur ada kerja yang best, kawan office sporting, tempat kerja tak penuh dengan orang yang suka membawang, tapi benda ni semua tak bayar bil-bil korang yang bertimbun tu. Banyak lagi kot masalah lain yang korang nak fikir.
Jadi apa nak buat kalau perkara ni terjadi? Kat bawah ni kami ada bentangkan beberapa situasi yang korang mungkin hadapi dan juga cara nak settle masalah ni mengikut undang-undang pekerjaan di Malaysia.
Sebelum tu, moh le kita sesama fahami terma yang akan digunakan dalam artikel ni. Sat gi pening pulak.
- Mahkamah Buruh: Ini untuk selesaikan masalah berkaitan dengan gaji dan wang lain serta faedah pekerjaan yang diberikan kepada pekerja di bawah Akta Pekerjaan 1955 seperti bayaran lebih masa, elaun bersalin, gaji sebagai ganti notis pemecatan dan faedah pemecatan.
- Mahkamah Perusahaan: Ini adalah tribunal statutori yang ditubuhkan di bawah S.21 Akta Hubungan Perindustrian 1967. Ia ditubuhkan untuk mendengar pertikaian antara pekerja dan majikan mereka atas hak dan kewajipan yang timbul daripada hubungan pekerjaan dan dari peruntukan Akta Perhubungan Perusahaan 1967. Kebanyakan kes yang didengar oleh Mahkamah Perindustrian adalah tuntutan oleh pekerja individu bahawa pekerja telah dipecat secara tidak adil oleh majikannya.
- Pekerja Manual: Kerja-kerja yang melibatkan penggunaan fizikal seperti chef, pekerja binaan dan lain lain.
- Pekerja Bukan Manual: Seseorang yang pekerjaannya melibatkan penggunaan fikiran mereka seperti programmer, penulis, technician dan sebagainya.
Situasi 1: Majikan saya selalu lambatkan pembayaran gaji setiap bulan. Apa yang boleh saya buat?
Pada yang tak tahu, gaji korang sepatutnya dibayar dalam tempoh 7 hari selepas hari terakhir tempoh gaji (biasanya sebulan) mengikut Seksyen 19 (1) Akta Kerja 1955. Maksudnya, kalau korang terima gaji pada hari terakhir bulan itu, maka gaji seterusnya patut diterima sebelum 7 hari bulan depan.
Kalau tak terima gaji lepas 7 hari bulan tu, ini bermakna bahawa majikan korang telah melanggar seksyen tersebut. Jadi korang kenalah berbincang dengan pihak pengurusan supaya ada persefahaman bersama. Tapi kalau itu pun tak jalan, korang boleh ambil tindakan undang-undang. Macam mana?
Ikut langkah-langkah ni:
- Korang boleh memfailkan aduan dengan menghantar surat rasmi kepada Jabatan Buruh yang terdekat, e-mel ke jtksm@mohr.gov.my, lawati pejabat Jabatan Tenaga Kerja tempatan terdekat atau hubungi 03-8000 8000. Kami cadangkan korang sediakan surat rasmi tu awal-awal dan terus ke pejabat tenaga kerja - lebih efisien gitew.
- Jangan lupa pulak bawa salinan dokumen sokongan seperti surat tawaran atau kontrak berkaitan.
- Selepas tu, korang akan dinasihatkan untuk menunggu notis selanjutnya dari Jabatan Tenaga Kerja (dorang akan buat penyiasatan sendiri dulu sebelum terjah).
- Korang perlu tahu bahawa Pegawai Buruh boleh menghubungi majikan korang mengenai tuntutan yang dibuat. Jika majikan terima tuntutan dan setuju untuk membayar, jadi kes itu dianggap selesai dan korang kena tarik balik tuntutan yang dibuat. Tapi jika majikan mempertikaikan tuntutan korang, Pegawai Buruh akan menetapkan tarikh untuk mendengar kes anda di Mahkamah Buruh.
- Kedua-dua pihak dikehendaki menghadiri pendengaran tersebut. Pengadu akan dimaklumkan melalui surat dan saman akan dikeluarkan kepada terdakwa iaitu majikan korang.
- Korang boleh memilih untuk mewakili diri sendiri, atau diwakili oleh kesatuan sekerja, seorang peguam atau pegawai dari Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) - kalau korang mintak bantuan mereka.
- Pada akhir pendengaran, Pegawai Penguasa akan membuat suatu perintah secara lisan atau bertulis. Mana-mana pihak yang tak berpuas hati dengan keputusan Pegawai Yang Mengendalikan boleh merayu kepada Mahkamah Tinggi dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan itu.
- Sekiranya defendan (majikan) tidak merayu kepada Mahkamah Tinggi dan tidak mahu mematuhi perintah Mahkamah Buruh, Pejabat Buruh akan membantu menguatkuasakan perintahnya di Mahkamah Sesyen (Sivil) untuk mendapatkan semula wang yang dituntut tu.
Tak dinafikan, prosesnya memang leceh. Ramai di antara kita malas nak fikir lepas tengok proses ni dan redha je dengan keadaan. Tapi, kalau korang rasa ianya berbaloi, teruskan perjuangkan hak korang.
Situasi 2: Saya dah berhenti kerja dan bekas majikan masih tak bayar gaji. Berapa lama nak tunggu?
Jika korang mengundur diri dengan baik dan mengikuti prosedur syarikat seperti berkhidmat dalam tempoh notis, majikan kena membayar gaji korang mengikut Akta Pekerjaan 1955 di bawah:
20. Pembayaran atas penamatan biasa kontrak.
Gaji yang sepatutnya diperolehi tetapi belum lagi dibayar kepada seseorang pekerja yang mana kontrak perkhidmatannya tamat mengikut seksyen 11 (1) atau seksyen 12 hendaklah dibayar kepada pekerja tersebut tidak lewat daripada hari di mana kontrak perkhidmatan itu tamat.
Pendek kata, korang perlu dibayar pada tarikh kontrak korang dengan syarikat tersebut ditamatkan secara rasmi. Jadi janganlah korang mereput tunggu gaji masuk.
Kalau gaji tak masuk jugak, pergi ke Pejabat Buruh dan failkan tuntutan korang di bawah Seksyen 69 Akta Penggajian 1955. Rujuk balik kepada Situasi 1 untuk mengetahui apa langkah-langkah yang perlu diambil.
Situasi 3: Kalau saya berhenti tanpa notis, masih boleh dapat gaji ke?
Adui, kes ni memang payah. Dah cari pasal, pastu mintak gaji - dah kenapa dek non oi? Korang tahu tak kalau berhenti tanpa notis atas apa-apa sebab pun, korang yang perlu bayar majikan korang. Contohnya, kalau korang tak laksanakan tempoh notis 2 bulan tu, maka korang kena bayar gaji korang berjumlah 2 bulan pada majikan.
Tak percaya? Tengok akta kat bawah ni.
Seksyen 13 (1) Akta Kerja 1955:
Mana-mana pihak kepada suatu kontrak perkhidmatan boleh menamatkan kontrak perkidmatan tersebut tanpa notis atau jika notis telah pun diberikan menurut seksyen 1, tanpa menunggu notis itu berakhir, dengan membayar kepada pihak yang lain suatu indemniti sejumlah wang yang sama dengan jumlah upah yang sepatutnya terakru kepada pekerja dalam tempoh notis tersebut atau semasa notis tersebut yang belum tamat.
"Bagaimana dengan majikan? Apa hak kami?" Ya, majikan pun boleh lakukan sesuatu kalau perkara macam ni berlaku. Korang boleh membuat tuntutan untuk ganti rugi di bawah Penamatan Kontrak Tanpa Notis untuk mendapatkan semula jumlah sebagai ganti notis daripada pekerja yang melarikan diri di bawah Seksyen 69C Akta Pekerjaan di pejabat Jabatan Tenaga Kerja.
Pastu, dorang akan hantar surat kepada korang (majikan) dan bekas pekerja korang. Kedua-duanya akan diminta untuk bertemu di Pejabat Buruh untuk menyelesaikan tuntutan tersebut. Jika korang bernasib baik, bekas pekerja akan muncul, kalau tak, korang takde banyak pilihan.
Situasi 4: Syarikat majikan saya bankrap. Adakah itu bermakna saya tidak akan dibayar untuk kerja yang telah dilakukan? Apa hak saya?
Biasanya, kalau syarikat bankrap ataupun muflis, ia akan mengakibatkan penutupan perniagaan, yang kemudian akan menyebabkan pembuangan seluruh tenaga kerja. Ini berbeza dengan konsep ‘pemberhentian’, di mana hanya beberapa khidmat pekerja saja yang ditamatkan.
Kalau perkara ni berlaku, majikan perlu memaklumkan kepada Jabatan Buruh tentang penutupan perniagaan dorang atau pembuangan kakitangan mereka. Mereka perlu menghantar borang pemberitahuan pemberhentian pekerjaan (Borang PK) pada mana-mana Pejabat Buruh. Denda sebanyak RM10,000.00 akan dikenakan kalau majikan tak ikut prosedur ni.
Untuk menjawab soalan tadi, korang perlu tahu bahawa pekerja yang tertakluk di bawah Akta (terutamanya pekerja yang gaji bulanannya tidak melebihi RM2,000 dan/atau terlibat dalam pekerja manual) dilindungi di bawah Peraturan Kerja (Faedah-faedah Penamatan dan Rentikerja Sentara) 1980.
Peraturan Kerja 1980 telah menetapkan jumlah penamatan atau bayaran faedah pemberhentian seseorang pekerja yang berhak dibayar dan ia hendaklah tidak boleh kurang daripada:
(a) gaji sebanyak 10 hari bagi setiap tahun penggajian di bawah suatu kontrak perkhidmatan jika dia telah bekerja dengan majikan itu bagi tempoh kurang daripada dua tahun; atau
(b) gaji sebanyak 15 hari bagi setiap tahun penggajian di bawah suatu kontrak perkhidmatan jika dia telah bekerja dengan majikan yang selama dua tahun atau lebih tetapi kurang daripada lima tahun; atau
(c) gaji sebanyak 20 hari bagi setiap tahun daripada penggajian di bawah suatu kontrak perkhidmatan jika dia telah bekerja dengan majikan yang selama lima tahun atau lebih.
Ikut formula kat bawah ni kalau nak tahu macam mana bayaran faedah pemberhentian dikira:
(Jumlah gaji 12 bulan bekerja/365 hari)X(Tempoh perkhidmatan; contohnya tahun berkhidmat)X (Kelayakan, 10/15/20 hari)
Bayaran hendaklah dibayar oleh majikan kepada pekerja tidak lewat daripada 7 hari selepas tarikh yang pemberhentian yang ditetapkan. Jika majikan korang tidak mematuhi peraturan ni, korang boleh failkan laporan di Jabatan Tenaga Kerja.
Situasi 5: Pendapatan saya melebihi RM2,000. Adakah ini bermakna saya tak layak memfailkan aduan di Jabatan Tenaga Kerja kalau majikan tak bayar gaji saya?
Siapa cakap tak boleh? Korang ada hak untuk buat aduan sebab korang masih seorang pekerja seperti yang ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Hubungan Perindustrian 1967.
Maksud ‘Pekerja‘ di bawah akta ni lebih luas dari Akta Kerja 1955 atau Ordinan Buruh Sabah/Sarawak. ‘Pekerja’ di bawah akta ni merujuk kepada sesiapa, termasuk perantis, yang diambil bekerja oleh majikan di bawah kontrak pekerjaan untuk bekerja untuk upah atau ganjaran.
Pendek kata, memang tiada had gaji di bawah akta ni. SEMUA pekerja boleh buat representasi, tak kisah la berapa gaji yang korang dapat. Proses tuntutan pun masih sama - korang boleh rujuk carta kat atas.
Jangan Tunggu Sampai Nasi Menjadi Bubur!
Kalau korang rasa macam tak sedap hati dan nampak ada benda yang tak kena, jangan duduk senyap kat ceruk tu sambil menangis air mata pasrah. Marilah kita jadi proaktif sikit. Buat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja jika perlu. Samada Tenaga Kerja ambil tindakan ke tak itu hal lain, yang penting kita sendiri dah usaha.
Kadang-kadang masalahnya memang nampak kecik, contohnya claim perubatan korang yang dah berbulan tak dibayar tu. Lagi lama korang tunggu, lagi susah nak cari penyelesaian. Selain tu, rasanya dah tiba masanya untuk korang cantikkan resume dan start cari kerja lain. Ya, memang sikap sabar tu bagus, tapi kalau sampai makan diri pun tak elok jugak kan.
Kami berharap korang dapat belajar satu atau dua perkara mengenai hak korang sebagai pekerja di Malaysia dan apa yang korang boleh lakukan sekiranya benda ni berlaku. Lagi satu, jangan lupa untuk kongsi artikel ni dengan keluarga dan member korang k. Sharing is caring, gitew!
*Artikel di atas bertujuan untuk memberi maklumat sahaja. Loanstreet tidak bertanggungjawab atas kerugian yang mungkin timbul jika ada sebarang tindakan anda dengan maklumat yang terdapat dalam artikel.