Subscribe to Our Newsletter

We know you love savings. Sign up for more!

Rancang sekarang dengan KWSP, nikmati kemudian!

BY Team Loanstreet

Updated 05 Dec 2019




Simpanan untuk persaraan adalah perkara penting yang perlu diberi keutamaan kerana ia adalah antara penyumbang kepada kesejahteraan kehidupan seseorang apabila tidak lagi bekerja di usia emas.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) pada tahun 2017, mendapati penduduk Malaysia mempunyai purata jangka hayat sihat selama 74.8 tahun berbanding 74.3 tahun pada tahun 2011.

Jangka hayat bagi penduduk lelaki adalah pada kadar umur 72.7 tahun dan wanita pula adalah 77.4 tahun dengan jurang antara kedua jantina itu adalah 4.7 tahun.

Selain itu, dengan purata jangka hayat yang semakin meningkat, penduduk Malaysia dijangka menjadi warga emas yang lemah dan berpenyakit bagi tempoh lapan ke sepuluh tahun terakhir sebelum meninggal dunia.

Apa yang di 'cover' dalam artikel ni?


Situasi itu membawa kepada persoalan penting: adakah kita mempunyai simpanan persaraan yang cukup bagi menampung hidup dan berdepan dengan situasi yang tidak menentu, seperti membayar bil kesihatan yang tinggi di kemudian hari?

Kecukupan simpanan persaraan bergantung kepada beberapa faktor seperti:

  1. Jangka hayat
  2. Umur persaraan
  3. Gaya hidup
  4. Tahap kesihatan
  5. Tanggungan keluarga dan kos hidup
  6. Bagaimana individu itu mula merancang kewangan sebelum bersara dan merancang penggunaan simpanan selepas bersara

Ini adalah kerana, berdasarkan rekod Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), didapati majoriti ahli (pencarum) dengan simpanan RM50,000 boleh menghabiskannya dalam tempoh singkat dan isu itu menjadikan pesara berkemungkinan berdepan masalah kewangan untuk perbelanjaan lebih penting seperti perubatan dan sara hidup.

Apa yang lebih membimbangkan lagi apabila sekurang-kurangnya 70% pencarum KWSP mengeluarkan sepenuhnya caruman pada usia 55 tahun, serta menghabiskan wang simpanan dalam tempoh satu hingga sepuluh tahun selepas bersara.

Bagi memastikan kehidupan anda selepas bersara tidak bergantung kepada satu punca semata-mata, seseorang individu itu mesti bijak merancang dan meneliti apa yang diperlukannya supaya hidup lebih tenang kelak.

Jadikan tabiat menyimpan untuk persaraan sebagai budaya dalam kehidupan dan mengenalpasti keperluan utama apabila bersara. Tambahan pula, mengenal pastikan berapakah jumlah dan sumber pendapatan yang diperlukan untuk membiayai keperluan jangka panjang berkenaan.

Peranan KWSP

Oleh itu, pelaburan utama seperti KWSP perlu dimanfaatkan sebaiknya. Di samping itu, mempelbagaikan portfolio simpanan yang lain seperti unit amanah, simpanan peribadi yang disertakan dengan perancangan kewangan yang tersusun dan berhemat tanpa sedikit hutang yang tinggal.

Apa yang paling penting sekali adalah, penjagaan kesihatan kerana ia mampu untuk menjana aura positif supaya hari anda dapat diteruskan tanpa perlu mengeluh, sekali gus menghindari perkara-perkara negatif.

Anda mesti lakukan pemeriksaan kesihatan secara berterusan dan jalani gaya hidup sihat. Tubuh badan yang sihat akan membolehkan anda terus bekerja dengan lebih lama dan meningkatkan simpanan persaraan anda.

Dengan ini, simpanan persaraan tidak perlu dihabiskan untuk membiayai kos rawatan kesihatan, sebaliknya ia boleh digunakan untuk membiayai kos sara hidup yang lain.

Dalam mempelbagaikan simpanan persaraan, anda juga boleh memilih untuk melakukan pelaburan, namun melaburlah dengan bijak dengan badan atau agensi yang diiktiraf sahaja.

Pelabur yang bijak adalah pelabur yang berpengetahuan. Ketahui risiko dalam pelaburan dan sentiasa membuat penilaian terhadap pelaburan secara berterusan. Elakkan melabur ke dalam ‘Skim Cepat Kaya’ dan syarikat pelaburan yang tidak berdaftar.

Bagi mereka yang memilih untuk melabur dalam unit amanah menerusi Akaun 1 KWSP, kini boleh mengukir senyuman apabila KWSP menaikkan kadar pemindahan sebahagian simpanan Akaun 1 untuk pelaburan melalui Institusi Pengurusan Dana (IPD) dan dana unit amanah kepada 30% berbanding 20% sebelum ini.

Kenaikan kadar itu adalah meliputi IPD dan dana unit amanah yang layak ditawarkan di bawah Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA KWSP), berkuatkuasa dari 1 Mac 2018 hingga 28 Februari 2019.

Usaha tersebut sedikit sebanyak memberikan fleksibiliti kepada pencarum untuk mempelbagaikan portfolio persaraan dan potensi untuk meningkatkan simpanan persaraan ahli.

Selain inisiatif seperti pelaburan dan simpanan tabungan yang lain, KWSP sebagai agensi yang diberi tanggungjawab untuk memastikan hari bersara anda lebih bermakna tanpa keluhan, bermula 1 Januari 2017, Akaun Emas telah diwujudkan sebagai simpanan persaraan kedua untuk ahli berumur 55 tahun ke atas.

Akaun Emas adalah antara inisiatif di bawah penambahbaikan skim KWSP yang terkandung di dalam Akta KWSP 1991, di mana semua caruman baharu yang diterima selepas umur 55 tahun akan secara automatik dimasukkan ke dalam Akaun Emas dan akan hanya boleh dikeluarkan apabila ahli mencapai umur 60 tahun.

Ia bertujuan memastikan kecukupan simpanan persaraan ahli apabila mencapai umur 60 tahun.

Apakah skim simpanan lain?

Pihak kerajaan juga terus bertungkus-lumus untuk menyediakan pelbagai skim membabitkan simpanan persaraan kepada rakyat, sebagai contoh Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia (SP1M).

SP1M direka bagi membolehkan individu yang bekerja sendiri atau tanpa pendapatan bulanan yang tetap membuat simpanan kepada danapersaraan yang diuruskan oleh KWSP. Orang yang layak adalah seperti pemandu teksi, peniaga kecil, petani, suri rumah dan mereka yang bekerja dengan bebas, termasuk rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara.

Menurut laporan media, setakat Disember 2017, seramai 90,599 orang telah mencarum di bawah SP1M  setakat Disember 2017 dengan 17,298 daripadanya terdiri daripada suri rumah.

Suri rumah boleh memilih untuk mencarum secara sukarela di bawah SP1M dengan caruman minimum sebanyak RM50, dan maksimum sebanyak RM60,000 setahun.

Selain itu, pencarum SP1M juga boleh menikmati sumbangan kerajaan sebanyak 15%, tertakluk kepada jumlah maksimum RM250 setahun.

Antara alternatif lain, anda juga boleh memilih untuk mencarum dalam Skim Persaraan Swasta (PRS) yang dilancarkan kerajaan pada Julai 2012. Ini adalah caruman sukarela yang memberi pilihan kepada orang ramai untuk menambah simpanan persaraan mereka menerusi sumbangan jangka panjang.

Bermula tahun 2017, kerajaan mencadangkan insentif sedia-ada RM500 ditingkatkan kepada RM1,000 secara one-off kepada pencarum skim PRS dengan pelaburan minimum terkumpul RM1,000 dalam tempoh dua tahun.

Inisiatif PRS perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh pekerja swasta atau yang berkerja sendiri bagi memastikan mereka mempunyai simpanan untuk digunakan pada hari tua kelak.

Walaupun pelaburan itu bersifat sukarela dan jumlah pelaburan terpulang kepada pelabur mengikut kesesuaian masing-masing, namun banyak faedah yang bakal dinikmati oleh pencarumnya seperti pengecualian cukai sehingga RM3,000 dan turut diberi dividen tahunan.

Setakat tahun lalu, terdapat peningkatan jumlah pencarum sehingga 36% kepada 301,279 ahli daripada 221,235 ahli pada 2016. Perkara ini jelas membuktikan bahawa sudah timbul kesedaran mengenai pentingnya simpanan untuk hari tua.

Kesimpulannya

Dalam meniti hari tua kelak, ia bukan hanya semata-mata untuk berehat sahaja kerana tanpa simpanan yang mencukupi, ia sudah tentu akan membebankan anda sekali gus menyebabkan tiada lagi pilihan lain, selain kembali bekerja dalam keadaan yang kurang mengizinkan.

Jadi, pelaburan utama seperti KWSP perlu dimanfaatkan sebaiknya di samping mempelbagaikan portfolio simpanan yang lain seperti unit amanah, simpanan peribadi yang disertakan dengan perancangan kewangan yang tersusun dan berhemat tanpa sedikit hutang yang tinggal.

Teruskan Pembacaan...

Tentang Penulis

Team Loanstreet



LIHAT SEMUA ARTIKEL

Artikel Disarankan Untuk Anda

beli-rumah-atau-kereta

Rumah atau kereta? Mana satu korang patut beli dulu?

6 Langkah Penting Sebelum Korang Buka Bisnes

6 Langkah Penting Sebelum Korang Buka Bisnes

 9 Tips Pinjaman Kenderaan Yang Korang Perlu Tahu Sebelum Membeli Kereta

9 Tips Pinjaman Kenderaan Yang Korang Perlu Tahu Sebelum Membeli Kereta