Subscribe to Our Newsletter

We know you love savings. Sign up for more!

Ini Sebabnya Mengapa Caj Kesesakan Bagus Dari Tak Hapuskan Tol Langsung

BY Team Loanstreet

Updated 27 Mar 2023




Korang mesti dah tau yang kerajaan kita rancang untuk hapuskan mekanisme kutipan tol sedia ada dan gantikan ia dengan caj kesesakan. Menurut satu siaran akhbar, ini adalah langkah kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup pengguna lebuhraya iaitu bersamaan dengan manifesto mereka tahun lepas iaitu mengkaji semula perjanjian dengan syarikat konsesi lebuh raya, berusaha mencari jalan mengurangkan kadar tol dan mansuhkan kutipan tol, kalau boleh.

Apa yang di 'cover' dalam artikel ni?



Sistem caj kesesakan yang dicadangkan berfungsi macam ni:
  • Caj kesesakan akan dikenakan dengan kadar sama dengan kadar tol sedia ada selama 6 jam pada waktu puncak
  • Guna lebuhraya terlibat PERCUMA bermula 11 malam hingga 5 pagi
  • Diskaun 30% berbanding kadar tol biasa untuk penggunaan pada waktu biasa

Setakat ni, kerajaan dah jalankan rundingan dengan Gamuda Berhad yang merupakan pemegang utama konsesi kepada empat lebuh raya;
 
  • Lebuhraya Damansara Puchong (LDP)
  • Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT)
  • Lebuhraya Shah Alam (KESAS) 
  • Terowong SMART (SMART)



Pejabat Perdana Menteri jugak menjelaskan yang kutipan dari caj kesesakan akan digunakan untuk kos operasi, penyelenggaraan lebuhraya terlibat dan pembayaran balik pinjaman. Kalau ada lebihan kutipan, diorang jadikan bajet untuk naik taraf kualiti pengangkutan awam seluruh negara (bukan di Lembah Klang je!).

Masa awal-awal kerajaan umum pasal caj kesesakan ni, macam-macam respon diorang dapat. Ada netizen yang cam okey dan ada yang tak puas hati.



Bekas Perdana Menteri, Najib Razak pun ada komen pasal caj kesesakan ni.

"Tak masuk akal, tol percuma waktu orang tidur. Kita nak bagi tol percuma waktu orang sedar, bukan ketika mereka tidur. Siapa yang masih berjaga dari jam 11 malam hingga 5 pagi? Hanya hantu, kaki botol, LGBT dan mereka yang cari pelanggan, mungkin," kata Najib.



Tersembur nasi keluar dari hidung masa kitorang baca kenyataan Najib tu. Kitorang tak pasti Najib hidup kat realiti yang macam mana tapi kami pasti dalam realiti sebenar, ada je jururawat, doktor, mereka yang bekerja dalam industri perkhidmatan, mereka yang kerja lebih masa dan sebagainya akan guna lebuhraya waktu malam. Lagipun, kalau tak ada kutipan tol langsung, makin lajulah negara ni bangkrap. Takde kutipan, lepastu kene selenggara lagi. Kalau tak selenggara kang pastu jalan rosak ke apa, korang jugak yang marah. Tak paham aku.

Walau macam mana pun, memang boleh fahamlah kan kenapa orang marah atau tak puas hati dengan keputusan kerajaan. Ye lah dalam manifesto cakap lain, lepas pilihan raya buat lain. TAPI, kita semua kenalah jugak faham yang proses untuk hapuskan tol sepenuhnya bukan senang macam kita kensel order maggi goreng mee lebih tak nak sayur dari restoran mamak gamaknya.

Disebabkan perkara ini masih lagi dalam perancangan dan dibincangkan, ada banyak lagi persoalan penting yang boleh atau patut timbul, contohnya camne nak bayar caj kesesakan tu? Ada pengecualian terhadap jenis kenderaan tak? Adakah pengguna motosikal kena bayar jugak? Kalau kita guna kenderaan hibrid, adakah kita boleh dapat diskaun? Bila sebenarnya waktu puncak ni? Banyak betul persoalan.
 

Kenapa kerajaan tak boleh hapuskan tol TANPA kenakan caj kesesakan?
 



Seperti yang kita dah tau, lebuhraya bertol tak semestinya bertol sampai bila-bila, contohnya macam tol Shah Alam dan Batu 3 (Lebuhraya Persekutuan) tu. Kalau kutipan tol sebelum ni dah cukup cover kos pembinaan lebuhraya campur kos penyelenggaraan, tol di lebuhraya yang berkenaan boleh dihapuskan. Takde tol = beban rakyat berkurangan, yang ni semua orang tau.

Tapi tahukah korang ada kebaikan lain kalau tol dihapuskan secara total? Kaladher Govindan, Ketua Penyelidik dari TA Securities Holdings Bhd berkata: 

"(Menghapuskan tol) patut akan merendahkan lagi kos operasi perniagaan yang akan merendahkan lagi harga barangan dan perkhidmatan dalam rangkaian pembekalan dan menyumbang kepada peningkatan keuntungan korporat untuk jangka masa panjang."

TAPI! Ada sebab munasabah kerana tol TAK BOLEH dihapuskan secara total, at least buat masa sekarang.
 

1. Keadaan kewangan negara kita bukan berada dalam keadaan 'sihat'

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah sebelum ni ada cakap yang kerajaan mampu hapuskan tol, tapi usaha tu perlulah dilakukan secara berperingkat, bergantung kepada keadaan kewangan negara. Tu yang lahir idea caj kesesakan kot.

Lagipun, semua orang tahu yang negara kita ada ada hutang besar yang perlu diselesaikan. Kalau diorang hapuskan tol sepenuhnya, diorang tak akan ada dana yang cukup untuk selenggara lebuhraya atau bangunkan projek-projek lain. So, disebabkan duit tak jatuh dari langit, dicampur sekali dengan keadaan kewangan negara yang biasa-biasa je, kerajaan mungkin akan naikkan cukai kepada orang ramai untuk perolehan dana tambahan lepas diorang hapuskan tol, dan langkah tersebut semestinya tak adil kepada mereka yang TAK menggunakan kenderaan.
 

2. Tak semua tol dimiliki oleh kerajaan
 

Hampir kesemua lebuhraya bertol dimiliki oleh konsesi yang kebanyakannya adalah kontraktor yang membina lebuhraya-lebuhraya tersebut. Kerajaan tak boleh selamba dek ambik satu lebuhraya ni lepastu hapuskan tol dia. Akan ada banyak perkara perlu dipersetujui bersama dan wang yang terlibat sebelum lebuhraya bertol tu berpindah tangan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pulak berkata, proses pengambilalihan dijangka mengambil masa sehingga 6 bulan demi memenuhi keperluan undang-undang, pengawalseliaan dan kewangan. Kerajaan jugak perlu kumpul wang dan membuat pinjaman untuk dapatkan lebuhraya bertol ni, dan sebab itulah kerajaan cadangkan caj kesesakan.

Orang yang bayar cukai pulak mungkin akan cakap "Aku bayar cukai kot. Gunalah duit tu?". Betul, tapi kalau kita ingat tang hutang kerajaan yang dah disebut tadi, kita pun fikir kerajaan perlukan lebih banyak wang, kan? Dan harap-harap kerajaan kita gunakan wang-wang hasil kutipan dari rakyat ni sebaik-baiknya.


3. Kerajaan tak mahu naikkan kadar tol
 



Disember 2018 lepas, Lim ada keluarkan kenyataan yang kerajaan perlu membayar ganti rugi sebanyak RM994.43 juta kepada 21 konsesi lebuhraya supaya kadar tol tak dinaikkan.

Dalam kenyataan terbaru pulak, Lim ada kata, kalau kerajaan mahu kekalkan sistem kutipan tol yang ada sekarang dan bekukan semua kutipan hingga semua tempoh konsesi tamat, pembayar cukai perlu membayar sehingga RM5.3 bilion. 


Tu sebabnya kerajaan nak beli lebuhraya-lebuhraya ni dan gantikan dengan caj kesesakan, sebab dengan caj kesesakan, pengguna-pengguna tol akan membuat penjimatan sehingga RM180 juta setiap tahun. Okey lah, kan?
 

Apakah caj kesesakan ni sebenonye eh?
 

Pertama sekali, caj kesesakan bukanlah macam penjenamaan semula tol, macam program BR1M tukar nama jadi BSH tu. Caj kesesakan adalah mekanisme baharu terhadap pengguna lebuhraya kerana permintaan tinggi untuk penggunaan lebuhraya yang menuju ke pusat-pusat bandaraya.

Disebalik mekanisme ini, tersembunyi satu teori ekonomi. Kata Wikipedia: "Objektif dasar ini adalah penggunaan mekanisme harga untuk membuatkan pengguna sedar terhadap kos yang dikenakan ke atas pengguna lain ketika permintaan memuncak dan mereka perlu membayar atas kesesakan yang berpunca dari mereka, sekaligus menggalakkan  pengagihan semula permintaan dan memaksa mereka membayar atas kesan negatif yang mereka timbulkan, menyebabkan pengguna lebih sedar atas kesan mereka ke atas alam sekitar."



Untuk pengetahuan korang, caj kesesakan bukan benda baru. Bandaraya seperti London, Stockholm, Milan dan Singapura juga mengenakan caj kesesakan kepada pengguna lebuhraya di negara mereka dan setakat ini, ia memberikan kesan yang baik.

Ambil London sebagai contoh, masa mula-mula caj kesesakan dikuatkuasakan pada 2003, kadar trafik di bandaraya berkenaan berkurangan sebanyak 25%. Di Stockholm pula, 20% pengurangan kadar trafik direkodkan sepanjang tempoh enam bulan caj kesesakan diuji pada 2006. Abis je tempoh ujian, kadar trafik di Stockholm kembali normal. Yang menariknya adalah kadar trafik menurun pada kadar yang sama apabila caj kesesakan diperkenalkan kembali. 

Kalau keadaan yang sama berlaku di Malaysia, terutamanya di Kuala Lumpur, kan bagus tu? Sebagai pengguna, kita boleh sama-sama setuju yang terperangkap dalam kesesakan trafik langsung tak menyeronokkan - buang masa, buang duit, buang minyak, tapi susah nak buang air dan konfirm bagi darah tinggi sebab tertekan.



Pengurangan kadar trafik juga bermakna kurang pencemaran udara dan kurang pencemaran bunyi. Dah sampai masa kita semua ambil berat tentang pencemaran-pencemaran tu. Yang untungnya nanti kita jugak sebab akhirnya boleh dengar balik bunyi burung berkicauan dan bukannya bunyi hon sana sini.
 

Boleh ke sistem ini berfungsi di Malaysia?
 



Berdasarkan contoh-contoh yang kitorang dah ketengahkan tadi, memang ada bukti yang mekanisme caj kesesakan ni boleh mendatangkan banyak kebaikan kalau dilaksanakan dengan betul. Tapi, berkesan atau tak mekanisme ni di Malaysia pulak bergantung kepada pelaksanaan oleh kerajaan - ia perlulah memenuhi keperluan rakyat dan tak membebankan. Lagi satu, kalau konsep caj kesesakan yang dilaksanakan adalah bersamaan dengan konsep caj kesesakan yang dilaksanakan di negara lain, iaitu untuk mengurangkan kadar trafik, kerajaan mungkin jugak perlu mengambil kira tentang jalan-jalan alternatif ke bandaraya KL yang sama jugak sesak. Adakah kerajaan akan bangunkan tol baru dan tambah hutang? Adakah diorang akan tutup atau galakkan lagi orang ramai gunakan jalan-jalan alternatif tersebut kalau tak mahu berhadapan dengan caj kesesakan?

Semestinya, mekanisme caj kesesakan di Malaysia belum jelas lagi bentuknya. Jadi, apa kata kita semua berfikiran terbuka dan terima je yang ada dulu. Nantikan apa yang bakal dibentangkan oleh Menteri Kewangan kita, Lim Guan Eng, harap-harap tak lama lagi lah.

Sementara tunggu apa cite selanjutnya dengan caj kesesakan ni, korang yang ada kereta dan tak reti-reti nak renew roadtax atau insurans secara online, korang boleh pergi ke sini. Bawak kereta tiap-tiap hari, bawak dengan roadtax hidup dan ada insurans bro! Kang kene saman pulok.

 

Teruskan Pembacaan...

Tentang Penulis

Team Loanstreet



LIHAT SEMUA ARTIKEL

Artikel Disarankan Untuk Anda

RON95 ke RON97?

HARGA MINYAK MINGGUAN Terkini (RON95, RON97 & Diesel)

5 Masalah Kewangan Yang Dihadapi Oleh Pekerja Muda Di Malaysia

5 Masalah Kewangan Yang Dihadapi Oleh Pekerja Muda Di Malaysia

Apa Kesan Harga MInyak Jatuh kepada Rakyat Malaysia

Apa Kesan Harga MInyak Jatuh kepada Rakyat Malaysia