Subscribe to Our Newsletter

We know you love savings. Sign up for more!

Cukai Tanah Kena Ganti Dengan Cukai Petak, Tapi Kenapa Mahal Sangat?

BY Hakimie Amrie

Updated 06 Aug 2019




Mana-mana yang bercadang nak beli rumah pertama korang tu first of all admin ucapkan tahniah! Yelah, nak beli rumah ni bukan perkara senang, macam-macam proses nak kena lalui, itu belum masuk bab duit. 

Tapi, bagi korang yang nak beli rumah pertama ni, korang dah familiar ke pasal sistem cukai tanah kat Malaysia? Korang tau tak tahun lepas gomen dah hentikan cukai tanah dan digantikan dengan cukai petak

Haa… kalau korang langsung tak pernah dengar pasal cukai baru ni,  ada baiknya kalau korang berhenti dulu beli rumah dan baca artikel ni dulu sebab pengenalan cukai baru ni mungkin akan kacau bajet rumah korang. 

Baru-baru ni, selepas cukai tanah yang sedia ada ditukar kepada cukai petak dan bayaran yang dikenakan melambung naik! Rata-rata yang kena bayar cukai petak ni terkejut bukan kepalang lah sebab kenaikan cukai yang baru ni dikatakan macam tak masuk akal langsung. Kenot brain katanya. Mana tak nya, kalau ikut apa yang dikatakan oleh The Star, kenaikan adalah sebanyak 500% hingga ke 800% dari jumlah cukai tanah sebelum ni. 

Cukai petak ni mula diperkenalkan sejak bulan Jun tahun lepas lagi untuk menyenangkan   tuan rumah yang nak jual/tukar nama rumah diorang. Kalau dulu, pejabat tanah susah nak luluskan sebarang urusan jual rumah/tukar nama kalau ada jiran-jiran lain yang masih tak bayar cukai tanah. Tapi, dengan sistem cukai petak, korang tak perlu kisah lagi kat jiran-jiran korang yang liat nak bayar cukai tu. urusan jual beli dan tukar hak milik pun akan jadi lagi senang. 

Okay, kiranya  korang dah faham sikit-sikit kan kenapa cukai tanah dihentikan dan digantikan dengan cukai petak. Sekarang ni, jom kita tengok dengan lebih lanjut mengenai perbezaan cukai-cukai ni dan kenapa cukai petak ni boleh kacau bajet rumah korang.
 

Apa yang di 'cover' dalam artikel ni?



Apa itu cukai tanah? 



Cukai tanah ni sebenarnya antara benda yang paling ramai orang amik mudah, yang diorang kisah cumalah berapa banyak duit nak simpan time beli rumah. 

Selepas korang dah beli rumah, korang wajib bayar cukai tanah dekat Pejabat Tanah dan Galian. Bayaran cukai ni pulak dikenakan setiap tahun selagi korang masih hidup. Korang tak boleh lari dari cukai ni kecuali lah kalau korang jual/tukar hakmilik rumah tersebut. 

Macam mana nak kira cukai ni? 

Rumah korang akan dicukaikan mengikut jumlah keluasan per kaki persegi atau per meter persegi rumah korang dengan kadar cukai tertentu. Contohnya, kalau keluasan rumah korang adalah sebanyak 3,000  kaki persegi dan kadar cukai yang dikenakan adalah sebanyak RM0.040 per kaki persegi, jumlah cukai yang korang bayar adalah sebanyak RM120.

Contoh kiraan:
3,000 kaki persegi x RM0.040 = RM120

Kadar cukai tanah yang dikenakan ni pulak mungkin berbeza di setiap kawasan. Jadi, jangan terkejutlah kalau korang dengar kawan korang bayar cukai lagi sikit walaupun saiz rumah korang sama. Mungkin rumah dengan keluasan 2,500 kaki persegi dekat Penang lagi mahal dari rumah dengan keluasan yang sama dekat Kedah. 


Okay, cukai petak ni apa pulak?



Cukai tanah dan cukai petak ni ibarat teh tarik mamak dengan teh tarik kita buat sendiri. Walaupun air yang sama, tapi rasa dia mesti ada lain sikit. Sama lah macam cukai tanah dan cukai petak, walaupun jenis cukai yang sama, tapi disebabkan cara pelaksanaan yang berbeza, sebab tu dia jadi lain.

Apa yang lain nya? 

Cukai petak ni cuma dikenakan kat bangunan berstrata, di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 dan Akta Hakmilik Strata 1985. 

Apa pulak strata ni?

Okay, macam ni. Strata ni kalau bahasa mudahnya adalah pecah lot. Kan kita selalu dengar kalau orang nak beli tanah atau tukar hak milik tanah, diorang akan sibuk-sibuk pasal nak pecah lot kan? Ha sama lah macam bangunan jugak, kalau bangunan tersebut berstrata, maksudnya bangunan tersebut bukan atas dasar pemilikan bersama tapi bangunan tersebut dah dipecah-pecahkan pemilikan dia mengikut unit rumah yang ada dalam bangunan tersebut. 

Contoh hartanah berstrata yang biasa kita dengar adalah pangsapuri, townhouse dan kediaman komuniti berpagar. Kalau kat KL, Desa Park City adalah contoh pembangunan berstrata yang sangat besar. 

Dengan guna sistem strata ni, setiap unit akan dimiliki oleh tuan tanah yang berbeza, manakala fasiliti lain yang disediakan dalam kawasan perumahan tersebut macam kolam renang dan taman permainan pulak adalah hakmilik pemaju perumahan tersebut. 


Sebab ni lah kenapa cukai petak lagi mahal dari cukai tanah



Okay, kalau ikut cukai tanah, jumlah cukai tanah akan dibahagikan sama rata mengikut jumlah pemilik unit dalam bangunan tersebut. Contohnya lah, pangsapuri Blok A ada 10 unit yang disusun secara menegak dengan keluasan 4,000 kaki persegi dan cukai tanah yang dikenakan kat pangsapuri Blok A tu sebanyak RM200 dengan kadar RM0.05 per kaki persegi - Setiap pemilik unit cuma akan bayar cukai tanah sebanyak RM20 setahun

Contoh kiraan: 
4000 kaki persegi x RM0.05 = RM200 (jumlah cukai tanah yang dikenakan untuk bangunan)

RM200 / 10 orang pemilik unit = RM20 (jumlah cukai tanah yang dikenakan bagi setiap pemilik unit)


Bagi sistem cukai petak ni pulak, setiap pemilik unit kena bayar untuk keseluruhan 4,000 kaki persegi tersebut. Maksudnya kat sini, jumlah cukai tanah yang dikenakan kat bangunan berstrata tersebut tak akan dibahagikan secara sama rata dengan jumlah pemilik unit tapi dibayar secara individu.

Contoh kiraan:
4000 kaki persegi x RM0.05 = RM200 (jumlah cukai tanah yang dikenakan untuk bangunan)

RM200 / 1 orang pemilik unit = RM200 (jumlah cukai tanah yang dikenakan bagi setiap pemilik unit berstrata)

Dengan sistem cukai petak, setiap pemilik unit kena bayar jauh lagi mahal dari sistem cukai tanah. Walau bagaimanapun, dengan adanya sistem cukai petak ni, pejabat tanah dapat pastikan semua pemilik unit membayar cukai petak diorang ikut waktu yang dah ditentukan. Kalau tak buat macam ni, sampai ke sudah lah ramai yang degil tak nak bayar cukai.


Apa akan jadi kalau saya tak bayar cukai petak ni? 

Kalau korang degil tak nak bayar cukai petak ni, korang boleh kena tendang keluar dari rumah korang sendiri. Ha, jangan main-main pasal cukai ni. Silap hari bulan, boleh duduk bawah jambatan. Gomen pun dah tetapkan sekiranya pemilik unit gagal membayar cukai petak setelah dua kali diberi notis, unit tersebut akan disita dan dirampas oleh gomen negeri dan boleh dijual/dilelong kat pembeli rumah lain.

Ingat ye, terutamanya yang baru pasang angan-angan nak beli rumah, pastikan korang faham dulu jenis cukai yang akan dikenakan ke atas hartanah korang. Selain tu, ada baiknya kalau korang faham macam mana nak kira cukai hartanah sebab pejabat tanah dah mula laksanakan sistem cukai petak ni untuk setiap negeri.  kalau ada sebarang kenaikan ke apa, tak de lah korang gelabah terus. 

Okay, bila dah faham pasal cukai hartanah ni, baru lah boleh sambung beli rumah. Nak tau pinjaman perumahan yang mana paling sesuai dengan status kewangan korang? Klik sini kalau nak tau. Korang jugak boleh tengok kadar kelayakan korang nak beli rumah kat sini - Laporan Kelayakan Pinjaman Perumahan kalau nak tau harga rumah yang mana paling sesuai dengan korang. 

Selamat membeli rumah! Jangan lupa bayar cukai hartanah tau!
 
Teruskan Pembacaan...

Tentang Penulis

Hakimie Amrie



LIHAT SEMUA ARTIKEL

Artikel Disarankan Untuk Anda

Pinjaman Fleksi Pinjaman Perumahan

8 Perkara Perlu Tahu Sebelum Memohon Pinjaman Perumahan

Sejarah CKHT Malaysia

Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT / RPGT) di Malaysia (2024)

Pemaju Hartanah BLACKLIST: Elak Ditipu Dengan Mereka Ni!

[Update 2024] Pemaju Hartanah Blacklist: Elak Kena Tipu Dengan Mereka Ni!