1. Pastikan laman web tersebut ada sistem jaminan
Senang cerita, sistem jaminan ni akan melindungi korang kalau barang tu tak sampai, rosak, ataupun tak sama seperti yang diiklankan. Contohnya dalam satu kes, mamat ni order iPhone tapi dapat mangga kunci. Walaupun mangga besi tak mudah pecah skrin macam iPhone, tapi ia masih tak seperti diiklankan.
Gambar dari hype.my
Jadi korang kena pastikan laman web ni ada bagi sistem jaminan/gerenti, terutamanya bila nak transfer duit secara online. Contohnya:
- Lazada ada Lazada Guarantee yang bagi jaminan sekiranya pada barang-barang tertentu sekiranya ia palsu, luput tarikh, ataupun rosak. Bagi barang-barang lain pula, ia masih dilindungi di bawah polisi pulangan yang biasa.
- 11street.my ada sistem eScrow yang hanya akan melepaskan bayaran kepada pembeli bila barangan tu dah sampai.
- Shoppee ada Shoppee Guarantee di mana korang kena confirm yang korang dah dapat barang tu baru bayaran akan diberi kepada penjual.
- Mudah.my ada PayPal Buyer Protection tapi hanya sah untuk bayaran melalui PayPal je. Ada beberapa barang tertentu yang tak termasuk dalam perlindungan ni seperti kereta, rumah, tiket kapal terbang, dan beberapa lagi.
- Lelong ada Buyer Protection Program (BPP), tapi ini pun hanya sah untuk bayaran yang dibuat melalui NetPay, dan pada barang-barang tertentu sahaja.
Tak semestinya kesemua sistem ni akan melindungi korang 100%, tapi bagus untuk korang tahu sebelum buat pembelian. Dan kalau apa-apa terjadi, korang boleh buat laporan kat laman web yang berkenaan.
Bagi laman web yang memang ada reputasi macam Lazada, selalunya apa-apa barang pun boleh dipulangkan kalau korang tak puas hati. Lagipun kebanyakan penjual kat Lazada adalah syarikat dan bukannya individu, jadi kemungkinan untuk kes tipu tu kurang sikitlah.
Tapi bagi laman web yang melibatkan jual beli antara individu, korang kena lebih berhati-hati, dengan cara...
2. Pastikan rating dan review bukan dari cybertrooper
Hampir semua laman web untuk online shopping ada sistem rating, kan? Benda ni memang penting untuk korang tengok, lebih-lebih lagi kalau penjual tu seorang individu (bukan syarikat), contohnya di Carousell.
laman web macam Carousell takde sistem jaminan, sebaliknya ia hanya bergantung kepada persetujuan antara penjual dan pembeli. Jadi sebelum korang buat apa-apa urusan, pastikan korang berurusan dengan pengguna ada rating dan review yang baik, muka ada cahaya keimanan apa semua.
Untuk langkah tambahan, perhatikan bahawa review tu bukan review palsu. Kalau review tu semua sama je bunyinya, mungkin penjual/pembeli tu bagi review dengan akaun-akaun palsu dorang sendiri.
Baru-baru ni Facebook telah melancarkan Marketplace secara rasmi. Tapi buat masa sekarang, masih tak ada sistem rating dan review, jadi kemungkinan kena tipu tu agak tinggi jugak la. Malah Loanstreet ada menghubungi seseorang yang kena scam bila dia nak beli baby stroller:
"Dia minta deposit RM 50 untuk baby stroller, jadi saya masukkan dulu. Tapi lepas tu takde sebarang balasan. Bila tengok profile, dia dah set jadi private. Saya dah report kat Facebook, tapi buat masa ni takde sebarang tindakan dibuat." - Jemilah (bukan nama sebenar), kepada Loanstreet
Sebab kes macam ni lah, selagi boleh, mungkin lebih baik jika korang...
3. Lebih baik berjumpa daripada bank-in online
Kalau korang biasa dengan shopping secara online, korang mungkin biasa dengan istilah COD. Bukan Call of Duty ye, tapi Cash on Delivery, maknanya korang cuma bayar bila dapat barang tersebut depan-depan. Cara ni sesuai kalau pembeli dan penjual duduk sekampung, paling jauh pun boleh drive sejam dua.
Bila berjumpa macam ni kuranglah risiko penjual lesap bila dapat duit. Lagipun, pihak pembeli boleh periksa barang tersebut daripada tujuh penjuru untuk memastikan takde apa-apa yang cacat atau rosak. Pihak penjual pun boleh pastikan yang barang tersebut adalah sama seperti yang diiklankan, jadi pembeli tak boleh dakwa yang bukan-bukan.
Tapi bagi kedua-dua pihak, pastikan korang berjumpa di tempat yang selamat. Jumpa waktu siang di tempat terbuka, bukan waktu malam dekat belakang Lorong Haji Taib, nanti orang salah sangka. Dan jangan pergi sorang-sorang, bawaklah kawan, sedara-mara, satu batalion askar wataniah pun takpe. Yang penting korang selamat.
Tapi ada sesetengah penjual yang cuma sediakan penghantaran melalui pos sahaja. Mungkin sebab dia duduk kat Changlun, Kedah. Kalau korang tak tau kat Changlun tu kat ceruk mana, sebab tu lah dorang tak dapat datang untuk COD.
Jadi kalau berurusan secara online ni...
4. Berhati-hati dengan pembeli dari 'luar negara'
Bukan pembeli je yang selalu kena tipu, penjual pun sama. Dalam sebuah cerita kat IIUM Confession, seorang wanita kongsikan macam mana dia kena hampir kena scam waktu nak jual kasut. Dekat Whatsapp, muka pembeli ni bertudung, tapi berkeras nak cakap English, lepas tu suruh pos ke Kemaman, tapi akaun bank adalah atas nama Cina, dan bank tu pulak adalah... Europe Bank? Bukan tu je:
"Dorang tak boleh transfer RM70 (harga kasut preloved aku tu) sebab dorang bank antarabangsa dan beralamat dari luar Malaysia. Jadi untuk minimun transaksi ke mana-mana negara adalah RM600. Jadi aku kena refund RM530 kepada pembeli.
Tapi RM600 tu tak dapat tembus ke akaun aku sebab floating ape bende ntah so aku kena refund dulu guna duit aku sebanyak RM530 pada nombor akaun tertera." - dari IIUM Confession.
Hah, tak pasal-pasal pihak penjual pulak yang kena masukkan duit. Kes macam ni memang biasa terjadi, dan biasanya pembeli yang 'berminat' akan kata dia ada sepupu-sepapat US, kat UK, kat Kathmandu apa bagai. Lepas tu dia cakap dia dah bank-in tapi duit tak masuk lagi sebab floating apa jadah.
Tapi bila dia minta korang masukkan duit dalam akaun dorang, itu TANDA BESAR yang dorang menipu.
Dan scammer mungkin akan menakut-nakutkan korang dengan mengugut kena masuk penjara la, kena siasat FBI la, kena bom nuklear la. Jangan cuak. Korang tak bersalah dalam hal ni. Tarik nafas panjang-panjang, mengucap, buat lompat bintang 10 kali. Bila dah tenang, korang boleh telefon polis untuk dapatkan kepastian. Kalau dah tak tahan sangat, tutup je telefon dan berhenti balas.
Dan sebenarnya ada cara untuk korang semak sama ada scammer ni dah pernah kena blacklist ke tak...
5. Ada macam-macam laman web untuk semak rekod scammer
Kalau pembeli/penjual tersebut buat perangai pelik-pelik macam yang kami ceritakan di atas, ada beberapa laman web yang korang boleh guna untuk tengok sama ada dorang pernah dilaporkan ke tak, iaitu:
- Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (CCID), laman rasmi daripada Polis Diraja Malaysia. Kat sini korang boleh semak nombor akaun bank je.
- SCAM.MY, di mana korang boleh semak nama, nombor telefon, nombor akaun bank. Laman web ni ada lebih banyak rekod berbanding CCID, siap ada senarai scammer dan berapa banyak kes yang pernah dilaporkan buat setiap orang.
- Tipu.my, di mana korang boleh semak nama, nombor telefon, dan nombor akaun bank.
- Truecaller untuk semak nombor telefon tu datang daripada negara mana. Dia ada paparkan jugak pemilik nombor telefon, tapi oleh kerana nombor telefon macam kat Malaysia ni selalu bertukar tangan, jadi mungkin maklumat pemilik tak berapa tepat la.
Tapi kalau benda nak jadi, jadi jugak kan. Jadi sebab tu lah sangat penting untuk korang...
Pastikan korang simpan resit atau sebarang bukti untuk pihak berkuasa
Kadang-kadang nasi dah jadi bubur. Tak kiralah betapa banyak persediaan yang korang buat, kalau dah takdir korang kena scam, kena scam jugak la.
Tapi jangan sekadar pasrah dan menangis bawah shower je, buat tindakan. Sebab tu la pentingnya korang simpan segala rekod transaksi samada ianya persetujuan kat laman web , perbualan Whatsapp, email, atau resit bila korang bank-in duit.
Ada banyak saluran untuk korang buat aduan:
- Khidmat e-aduan di KPDNKK. Laman web KPDNKK ada menyatakan yang penipuan transaksi internet memang termasuk dalam khidmat ni.
- Buat aduan di e-Tribunal Portal. Mengikut Tribunal Tuntunan Pengguna Malaysia, bidang kuasa mereka meliputi jumlah amaun yang tidak melebihi RM 25 ribu.
- Buat laporan polis tak kiralah betapa sikit pun jumlah yang ditipu. Mengikut pegawai di Polis Diraja Malaysia, walaupun wang mungkin tak dapat dikembalikan, sekurang-kurangnya ia dapat menolong pihak berkuasa mengenal pasti scammer yang selalu tipu orang ni.
Kami harap maklumat ni dapat bantu korang untuk sediakan payung sebelum hujan. Jangan lupa share dengan sanak sedara pak penakan agar dorang dapat elakkan diri daripada kena tipu!