Subscribe to Our Newsletter

We know you love savings. Sign up for more!

Wanita Dapat RM50 Palsu Dari ATM. Apa Nak Buat Kalau Korang Kena?

BY MK Zainal

Updated 06 Dec 2022




Baru-baru ni, seorang wanita kat Melaka terkejut bila diberitahu pekedai bahawa tiga keping wang kertas RM 50 yang dia guna adalah palsu. Nasib baiklah dia baru je keluarkan duit tu daripada ATM, jadi dia ada maklumat yang diperlukan untuk buat laporan polis.

Ini bukan kali pertama kes macam ni berlaku. Sebelum ni, ada seorang lelaki yang keluarkan wang RM 100 daripada sebuah ATM, tapi kena reject bila dia cuba deposit ke bank yang lain. Dia pergilah komplen kat bank tapi bank tak mengaku yang duit tu datang daripada mereka. Bila dia pergi buat laporan polis barulah bank minta maaf.

Perkara ni membuatkan kami tertanya-tanya beberapa perkara, iaitu...

Apa yang di 'cover' dalam artikel ni?


1. Boleh ke ATM keluarkan duit palsu?

Dalam kedua-dua kes di atas, tak dimaklumkan bank mana yang terlibat. Kalau tak, dah lama kot satu kampung pakat pergi kaunter bank dan keluarkan semua duit secara berjemaah.


Pulangkan♩♪ Oh pulangkanlah, padaku~~~ ♫♬

Kami pelik juga, kalau bank boleh kesan wang palsu yang dimasukkan ke dalam mesin deposit, takkan bank tak periksa dulu sebelum wang tu dimasukkan dalam ATM? Kami tak jumpa sebarang kenyataan daripada bank tertentu pasal proses masing-masing, tapi ada satu kenyataan dikeluarkan oleh The Association of Banks in Malaysia (hah bank ni semua ada persatuan sendiri ok, tiap-tiap tahun buat family day kot):

"Setiap bank ada prosedur dalaman yang spesifik berkenaan cara mereka memproseskan wang. Biasanya, setiap nota wang akan diimbas atau disahkan sebelum dimasukkan ke dalam ATM atau CRM" – Association of Bank in Malaysia, dipetik daripada The Star Online.

Kalau betullah apa yang dikatakan oleh ABM, mungkin satu kemungkinan kenapa wang palsu masih boleh terlepas ke dalam mesin adalah disebabkan human error. Jadi mana-mana staff yang masukkan duit ke dalam mesin bila duit tu kena report memang kena menjawablah.

2. Adakah korang akan didakwa kalau memiliki duit palsu?

Katakanlah korang tahu bahawa duit yang korang dapat tu adalah palsu, tapi malas nak pergi bank sebab jauh, takde masa, bos tak bagi masuk kerja lambat, nak half-day karang rugi pulak cuti tahunan. Jadi apa yang korang boleh buat? Guna je lah duit tu kat pasar malam, makcik jual ikan tu bukan check pun, dia sibuk bersembang.

Hah korang jangan main-main, penggunaan wang palsu adalah salah di sisi undang-undang di bawah Kanun Keseksaan 498c yang boleh membawa hukum penjara maksima 10 tahun:

"Sesiapa yang memiliki sebarang not wang atau matawang palsu, mengetahui atau ada sebab untuk mempercayainya adalah palsu dan berniat untuk menggunakannya sebagai tulen atau ia mungkin digunakan sebagai tulen, akan dihukum penjara dengan tempoh maksima sebanyak 10 tahun." – diterjemah daripada Penal Code daripada Laman Peguam Negara.

Nak membuktikan sama ada korang tahu ke tak yang itu adalah wang palsu bukanlah semudah disangka. Ye la siapa yang tahu apa ada dalam jiwa nurani korang kan. Dalam satu kes, seorang jurutera didakwa bila dia menggunakan sekeping wang AS$100 palsu kat sebuah hotel. Tapi mungkin kes ni lebih kukuh bila polis jumpa lagi dua not wang yang sama milik dia.

Dalam satu kes yang lain, sebuah kedai di Pahang dijadikan mangsa tiga suspek daripada Selangor yang asyik guna wang RM100 palsu sebab mereka tahu yang kedai tu takde mesin pengimbas duit. Nasib baiklah akhirnya mereka kantoi jugak. Bak kata pepatah, "Clever-clever squirrel jump, one day fall the ground also." 

3. Macam mana nak periksa kalau duit tu palsu?

Chinapress ada melaporkan yang RM 20, RM 50, dan RM 100 disebarkan kat pasar malam, jadi bukan pembeli je, peniaga pun kena sentiasa berjaga-jaga dengan duit palsu ni semua. 

Bank Negara Malaysia (BNM) ada keluarkan panduan panjang lebar macam mana nak kenal pasti wang palsu. Untuk versi pendek, korang boleh baca pasal fungsi sekuriti yang ada kat wang ringgit Malaysia:

Rasa kualiti not 

  • Wang kertas adalah kasar dan efek timbul boleh dirasakan pada gambar SPB Yand Di-Pertuan Agong serta pada teks
  • Wang polimer yang dibuat oleh plastik khas bersama efek timbul boleh dirasakan pada gambar SPB Yang Di-Pertuan Agong serta pada teks

 

Lihat pada not di bawah lampu putih

  • Potret watermark 3D, gambar songket yang lutsinar di kedua-dua belah wang.
  • Jaluran sekuriti berwarna gelap akan terlihat.

Pegang not secara tegak dan condongkan ia

  • Pastikan perubahan pada imej dan warna pada jalur sekuriti dan imej bunga hologram

BNM turut menyediakan panduan bergambar bagi setiap not, contohnya untuk RM 50, korang boleh lihat ksemua ciri-ciri di bawah:

(1) Ciri Braille

Huruf brailler dalam bentuk diamond yang dicetak secara intaglio boleh dirasakan apabila disentuh

(2) Potret watermark 

Potret watermark boleh dikenal pasti dengan warna yang lebih gelap atau cerah berbanding kertas. Potret ini juga mempunyai efek 3D tanpa sebarang garis luaran yang ketara. Nombor 50 juga jelas kelihatan di bawah potret tersebut.

(3) Perfect See-Through Register

Bunga songket adalah kelihatan sama di dua-dua belah not apabila dilihat di bawah cahaya putih.

(4) Microcolour Latent Image

Nombor 50 boleh bertukar warna apabila dicondongkan.

(5) Cetakan Intaglio

Cetakan Intaglio adalah efek cetakan di mana beberapa bahagian pada not rasa 'timbul' apabila disentuh, contohnya pada potret SPB Yang Di-Pertuan Agong, jumlah denominasi, perkataan "Bank Negara Malaysia" serta beberapa elemen lain.

(6) Jalur hologram

Jalur Hologram boleh dilihat pada nombor 50 serta pada bunga raya, di mana warnya bertukar apabila dicondongkan.

(7) Perubahan warna pada jalur sekuriti

Jalur sekuriti kelihatan sebagai jalur yang berwarna di bahagian belakang not. Bila not dicondongkan, warnanya berubah daripada hijau ke merah.

Elemen fluorescent boleh bertukar warna di bawah sinaran UV, termasuklah:

(6) Teks dan imej pada jalur hologram

(7) Teks dan logo kijang.

(8) Fiber sekuriti. 

(9) Elemen fluorescent dua warna

(10) Nombor siri

(7, 11, 12, 13) Cetakan mikro yang boleh dilihat menggunakan kanta pembesar

Selain tu, BNM turut mengeluarkan aplikasi MyRinggit untuk Android yang bagi maklumat interaktif tentang macam mana nak kenal pasti wang tulen.

4. Apa korang boleh buat kalau dapat duit palsu?


Lepaskanlah ia... kepada pihak berkuasa.

Pertama sekali, kalau korang dapat duit palsu tu daripada ATM, korang bolehlah buat laporan terus kepada bank. Sebab tu sangat penting bagi korang untuk simpan resit. Kalau korang guna online banking, korang boleh semak tarikh pengeluaran duit.

Tapi kalau bank tak layan (macam satu kes kat atas tadi), atau korang dapat daripada peniaga atau pembeli lain, cepat-cepatlah buat laporan polis. Ini panduan yang diberikan oleh BNM:

  • Kalau boleh, lambat-lambatkan pihak yang bagi korang duit palsu tu untuk perhatikan rupa paras dia, kalau ada orang lain yang teman, dan kalau ada nombor plet. 
  • Jangan tulis atau gunakan wang tersebut.
  • Berhati-hati dalam mengendalikan wang tersebut, contohnya korang mungkin nak letakkan ia dalam sampul ataupun plastik. Tulis pasal segala maklumat berkaitan atas kertas yang lain.
  • Buat laporan polis dan serahkan duit tersebut kepada mereka.

Mengikut BNM lagi, wang palsu adalah tidak layak untuk digantikan dengan wang tulen. Tapi masih berguna untuk korang buat laporan polis, manalah tau memang ada sindiket cetak duit palsu ke kat kawasan korang, boleh juga tolong jiran yang bertangunggjawab dalam membantu rukun tetangga.

Teruskan Pembacaan...

Tentang Penulis

Artikel Disarankan Untuk Anda

RON95 ke RON97?

HARGA MINYAK MINGGUAN Terkini (RON95, RON97 & Diesel)

Tak pasti kalau korang kena bayar cukai pendapatan ke tak lepas dah bayar zakat? Atau kena bayar dua-dua? Tak tau macam mana nak kira? Ha kami akan terangkan semuanya.

Bayar Zakat Pendapatan Boleh Dapat 100% Rebat Cukai. Biar Betul?

cukai, zakat dan fitrah, reit, real estate investment trust, cukai pendapatan korporat

Fahami Pelepasan Cukai Korang (Taksiran 2023)