Tapi sebenarnya ini bukan kali pertama gabenor Bank Negara meletak jawatan, tapi kali kelima! Kenapa agaknya? Nak kata mereka ni memang suka lompat kerja tak jugak, sebab masing-masing bukanlah golongan millennial. Lagipun, gabenor kedua Ismail Mohd Ali pernah pegang jawatan tu selama 18 tahun, dan gabenor ketujuh Zeti Aziz pegang selama 6 tahun; sebelum kedua-duanya bersara.
Jadi apa yang berlaku? Jom kita tengok satu-persatu, bermula dengan...
1. Abdul Aziz bin Taha
Aziz Taha adalah gabenor BNM yang ketiga. Dia memegang jawatan tersebut dari Julai 1980 ke Jun 1985, kira untung la sebab waktu tu adalah zaman rock kapak dan bukannya zaman raver macam sekarang ni. Aziz Taha mula bekerja kat BNM daripada bawah, bermula sebagai assistant manager sampailah jadi gabenor.
Kalau korang nak tau, pengerusi CIMB Group sekarang iaitu Nazir Razak adalah menantu kepada Aziz Taha, dan nampak gayanya Nazir Razak memang pandang tinggi pada bapa mentua dia:
"Seorang lagi yang telah memberi kesan dalam hidup saya adalah bapa mentua saya, Tan Sri Abdul Aziz Taha, yang terkenal kerana meletak jawatan daripada Bank Negara atas dasar prinsip." - Nazir Razak, dipetik oleh The Star Online.
Nazir Razak (kiri) dan Aziz Taha (tengah, pegang tongkat yang juga digunakan sebagai remote TV)
Jadi apa sebabnya Aziz Taha letak jawatan? Kebanyakan sumber yang kami jumpa mengatakan yang dia "tak bersetuju dengan Mahathir berkaitan polisi pinjaman", tanpa penerangan lanjut. KinBiz pula melaporkan yang Aziz Taha memang dah lama tak sebulu dengan menteri kewangan masa tu, Daim Zainuddin.
Menurut satu kolum kat Harakahdaily, Aziz Taha dah lama cuba mempertahankan kebebasan BNM daripada campur tangan kerajaan. Kolum tersebut turut menyatakan yang ada kemungkinan Aziz Taha berhenti sebab tak nak terlibat dengan sebarang spekulasi mata wang.
Tapi ada seorang gabenor yang terlibat dengan spekulasi mata wang, iaitu...
2. Jaffar bin Hussein
Jaffar jadi gabenor yang seterusnya, berkhidmat dari Jun 1985 ke Mei 1994. Jaffar datang daripada keluarga biasa-biasa, dia mula-mula buat garam sewaktu penjajahan Jepun, lepas tu jadi senior partner kat firma terkemuka Price Waterhouse dan CEO kat Maybank, dan akhirnya jadi gabenor kat BNM. Dia kata dia sanggup terima potongan gaji yang besar untuk jadi gabenor supaya dapat berkhidmat kepada negara.
Mesti ada yang tanya, Jaffar ni anak PM ke-3 Hussein Onn ke? TIDAK.
Tapi dia merupakan bapa mentua kepada bekas timbalan dalam negeri, Nur Jazlan Mohamed.
Menurut Utusan Online, Jaffar merupakan antara orang pertama melaksanakan Perbankan Islam. Dia juga turut memindahkan penyeliaan industri insurans daripada Kementerian Kewangan kepada Bank Negara pada Mei 1998.
Jaffar melepaskan jawatan gabenor kerana rasa tanggungjawab atas skandal Forex yang berlaku pada tahun 90-an, di mana kerajaan kerugian RM15 billion ke RM30 billion disebabkan spekulasi mata wang. Jaffar kata dia buat benda tu semua untuk "mempertahankan ringgit".
Skandal Forex ni memang cerita panjang yang melibatkan tokoh-tokoh penting termasuklah Mahathir, Anwar Ibrahim, Daim Zainuddin, termasuklah nama besar antarabangsa iaitu Alan Greenspan dan George Soros. Kalau nak cerita kat sini, sampai raya tahun depan pun tak habis, jadi korang bolehlah baca artikel penuh kat SOSCILI.
Walau bagaimanapun, Mahathir tetap beri penghormatan atas sumbangan Jaffar sepanjang dia menjadi gabenor:
"Kesemua kerugian BNM yang disebabkan Forex pada tahun 1992 ke 1994 tidak akan merosakkan segala sumbangan yang diberi oleh Jaffar, yang telah bertungkus lumus bertugas demi negara." - Mahathir, dipetik oleh The Star Online.
Nasib baiklah amalan spekulasi mata wang oleh BNM diberhentikan oleh pengganti seterusnya...
3. Ahmad bin Mohd Don
Sama macam senior dia semua, Ahmad Don ni memang pulun betul. Dia pegang jawatan tertinggi dalam badan-badan kewangan terkemuka termasuklah Maybank, JP Morgan, Alliance Bank. Dia jadi gabenor BNM dari Mei 1994 hingga Ogos 1998.
Macam yang kami cakap tadi, Ahmad berhentikan urus niaga Forex dalam BNM. Menurut The Star Online, dia turut menggariskan misi, aspirasi, dan nilai bank negara – semuanya dimasukkan ke dalam sebuah dokumen yang dipanggil sebagai Pelan Strategik 1995-2000.
Tapi dah nasib Ahmad, dia jadi gabenor waktu Malaysia terkesan teruk oleh Kris Kewangan Asia. Untuk menangani masalah ni, Ahmad mengetatkan polisi kewangan, contohnya buat lagi susah untuk orang buat pinjaman. Kaedah ni turut disokong kuat oleh Anwar Ibrahim, menteri kewangan waktu tu.
Tapi Mahathir ada idea lain, dia mahu rakyat berbelanja lebih untuk menggalakkan ekonomi. Jadi dia dan Daim Zainuddin menubuhkan majlis kewangan tanpa menteri kewangan mahupun gabenor BNM sendiri. Jadi Mahathir teruskan kawalan modal, menambat mata wang dengan USD dan merendahkan kadar pinjaman.
"Hahaha tengokla pembangkang tu entah bila dorang boleh ambil alih kerajaan...."
Kena faham yang krisis ekonomi waktu tu memang ada potensi mengancam keselamatan negara, sebab tu lah perbezaan dua kaedah ni jadi sangat sengit, sampaikan Anwar kena pecat, manakala Ahmad dan timbalannya Fong Weng Phak letak jawatan "atas dasar prinsip". Ianya kali pertama gabenor dan timbalan BNM letak jawatan secara berjemaah.
4. Ali Abul Hassan bin Sulaiman
Abul Hassan kerja dengan kerajaan sejak dia habis study lagi, sampailah dia jadi pengarah Unit Perancangan Ekonomi di bawah Jabatan Perdana Menteri. Dia jadi gabenor BNM dari September 1998 hingga April 2000, tempoh paling singkat berbanding gabenor lain.
Kinibiz menyifatkan zaman BNM di bawah pimpinan Ahmad Don sebagai "uneventful", kiranya takde benda sangat yang boleh cerita la. Tapi nak eventful macam mana sangat pun, sebab tempoh dia berkhidmat sekejap sangat.
Ramai yang tak berapa pasti sebab apa dia letak jawatan, selain daripada desas-desus yang kata dia pun tak berapa sebulu dengan menteri kewangan Daim Zainuddin. Macam mana pun, dia dilantik sebagai penasihat ekonomi khas oleh Mahathir beberapa hari lepas Daim kata dia nak ambil cuti.
Kebebasan BNM daripada kerajaan perlu dipertahankan
Bagi sesiapa yang perasan, kesemua gabenor ni letak jawatan pada zaman Mahathir, yang ada Daim Zainuddin sebagai penasihatnya, tak kisahlah sama ada dia menteri kewangan ke tak. Dan dalam kebanyakan kes, nampaknya ada ketegangan antara bank negara dengan kerajaan.
Kalau kita nak tengok situasi ni daripada perspektif yang optimistik, boleh kata yang kebanyakan gabenor ni tak ikut telunjuk kerajaan semata-mata. Sebaliknya, mereka jadi badan yang penting buat check-and-balance kepada Kementerian Kewangan.
Malah, salah satu perkara paling penting yang dibuat oleh BNM datangnya daripada gabenor Zeti Aziz, bila Akta Bank Negara Malaysia 2009 diluluskan di parlimen. Langkah ni memperkasakan lagi kebebasan BNM daripada kerajaan, dan terbukti memainkan peranan penting sewaktu penyiasatan dilakukan atas skandal yang berlaku di bawah pimpinan Najib sebagai perdana menteri.
Bagi gabenor yang seterusnya, setakat ni nama Shamsiah Yunus telah dibawa ke depan. Dia merupakan salah seorang timbalan sewaktu Zeti jadi gabenor dulu. Tapi tak kisahlah siapa pun yang akan ambil alih tugas ni, kita harap BNM akan terus menjaga integriti dan kewibawaan mereka. Seperti kata Zeti sendiri:
“Setiap negara perlukan sebuah organisasi seperti bank negara yang tidak mempunyai sebarang agenda politik. Ia haru kekal fokus dalam memastikan kestabilan makro-ekonomi, kewangan, dan ekonomi." – Zeti Aziz, dipetik oleh The Star Online.