Apa itu perang perdagangan (trade war)?
Gambar dari World Affairs.
Perang perdagangan antara dua negara berlaku bila satu negara kenakan cukai tinggi pada barang import dari negara yang satu lagi, lepas tu mereka saling berbalas. Sebagai contoh, satu syarikat di China nak jual USD100 teh tarik dan kuih lapis kepada satu syarikat di US, jadi US kenakan cukai 20% pada barang import tersebut iaitu USD20.
Biasanya motif di sebalik cukai import yang tinggi ni adalah untuk melindungi ekonomi atau nak cipta lebih peluang pekerjaan di negara sendiri. Tapi kesan sampingan daripada cara ini adalah harga barang akan naik. Sebab cukai yang dikenakan tinggi, tiba-tiba korang mampu makan teh tarik dan kuih lapis kat Hotel Hilton je.
Jadi daripada menggunakan prinsip bekalan dan permintaan (supply and demand) untuk menentukan harga pasaram, kaedah untuk menaikkan cukai pada barang import ni dilihat sebagai jalan singkat yang boleh memberi kesan buruk pada jangka masa panjang.
Kenapa US target China untuk perang perdagangan?
Gambar dari Associated Press.
Sejak hampir setengah abad yang lepas, US bergantung kepada bekalan dan permintaan dalam negara untuk mengukuhkan ekonomi mereka. Ini termasuklah menghasilkan barang-barang dan perkhidmatan sendiri untuk memenuhi permintaan ini. Tapi bila populasi makin meningkat, persaingan antara syarikat makin sengit, jadi syarikat-syarikat ni nak turunkan kos pembuatan dengan mengimport barangan daripada negara yang boleh menawarkan harga yang murah.
Dan macam biasalah, korang pun tahu yang kebanyakan barang dikeluarkan oleh China. Cuba check baju "I Love KL" korang tu kalau datang dari China jugak. Dulu-dulu, China merupakan satu-satunya negara yang boleh menghasilkan barangan dengan harga yang murah dan kuantiti yang besar. Dengan populasi China sebanyak 1.3 billion, kos buruh sangatlah rendah. Di abad ke-21 ni, ada pendapat yang mengatakan China merupakan ekonomi kedua terbesar di dunia, kalau bukan yang terbesar.
Gambar dari toonpool.
Jadi kenapa USA nak buat trade war ni? Import je lah dari China, sebab murah kan?
Apa yang berlaku sekarang adalah US dah lama mengalami defisit perdagangan (trade deficit). Secara mudahnya, defisit perdagangan ialah perbezaan antara duit mereka guna untuk import barang dan duit yang mereka buat untuk eksport barang. Maknanya, mereka lagi banyak guna duit untuk import barang daripada buat duit dengan eksport barang. Pada tahun 2017 je, defisit perdagangan di US dah mencecah USD586 bilion, dan mereka mengalami defisit ni sejak 4 dekad yang lalu!
Jadi faktor-faktor ni (China sebagai kuasa ekonomi yang besar dan juga defisit perdagangan USA) yang menyebabkan US meningkatkan cukai pada barangan yang diimport dari China.
Macam mana Malaysia boleh terlibat?
Gambar dari OEC.
Bukan Malaysia je yang kena, tapi mana-mana negara yang banyak eksport barang ke China. Contohnya kalau China pasang sebiji iPhone, komponen-komponen yang diperlukan datang dari Malaysia, Jepun, Vietnam, dan Korea. Jadi kalau permintaan untuk barang dari China jatuh, permintaan komponen-komponen dari negara-negara lain pun turut jatuh.
Menurut MIT Media Labs, eksport Malaysia yang paling besar adalah barangan elektronik seperti papan litar dan mikrocip, tak lupa juga minyak sawit, petroleum, bahan besi, getah dan banyak lagi. Dan Malaysia memang banyak berdagang dengan China.
Apa kesannya perkara ini kepada korang?
Bila permintaan terhadap barangan kita jatuh, Ringgit pun jatuh. Tambahan lagi, bila US mengenakan cukai yang lebih tinggi kepada China, China masih nak kekalkan margin keuntungan yang sama jadi mereka takde pilihan lain selain meningkatkan harga barangan yang dijual kepada pengguna. Dan dah tentulah benda ni akan memberi kesan kepada kos sara hidup kita.
Ringgit semakin menjunam pada waktu artikel ni ditulis. Walaupun tak seteruk tahun 2016, tapi ianya masih rendah. Perang perdagangan ni bukanlah satu-satunya sebab kenapa ringgit kita turun tapi semestinya menjadikannya lebih teruk. Setakat ni, kita berharap supaya kerajaan boleh mencari cara untuk menyelesaikan masalah ni, contohnya dengan mempelbagaikan negara yang berdagang dengan kita. Tak pun, mintak Donald Trump dengan Xi Jinping settle masalah masing-masing dengan teh tarik dan kuih lapis.
Apa yang kita boleh buat sebagai rakyat jelata? Salah satu caranya adalah dengan menyokong barangan buatan tempatan, supaya kita boleh menggalakkan bekalan dan permintaan dalam negara sendiri. Dan tak lupa juga banyak menyimpan dan kalau ada wang lebih, melabur.
Kami harap kami dapat jelaskan sedikit sebanyak tentang situasi yang berlaku sekarang. Kalau korang rasa maklumat ni berguna, jangan lupa share!