Subscribe to Our Newsletter

We know you love savings. Sign up for more!

Cukai Gula: Kurangkan Masalah Kesihatan ATAU Tambahkan Pendapatan Negara?

BY Hakimie Amrie

Updated 16 Jul 2019




Sejak tampuk pemerintahan Malaysia bertukar tangan ni, macam-macam perkara baru telah diperkenalkan, antaranya pelaksanaan cukai gula. 

Diumumkan pada awal tahun ni, cukai gula sepatutnya dah mula dilaksanakan pada 1 April tetapi ditangguh. Kenapa? Sebab gomen nak teliti semula pelaksanaannya untuk pastikan industri pengeluar minuman bergula dapat membuat sebarang persediaan yang diperlukan. 

Atas sebab-sebab kat atas tu, gomen buat keputusan untuk mula melaksanakan cukai gula ni pada 1 Julai 2019. 

Admin pasti korang mesti ada banyak reaksi berkaitan dengna pelaksanaan cukai ni, kan? Apa kata kita faham dulu sebab apa cukai ni diperkenalkan dan apa kesannya terhadap pengguna dan juga pengeluar minuman bergula. Adakah bertambah manis dalam senyuman dan kurang manis dalam minuman atau sebaliknya? 

Jom kita bergula-gula dengan artikel ni!
 

Apa yang di 'cover' dalam artikel ni?


Sebab apa gomen memperkenalkan cukai ni?



Mengikut apa yang dikatakan oleh Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), pelaksanaan cukai ini adalah untuk mengurangkan masalah kesihatan rakyat Malaysia, terutamanya obesiti. 

Bukan nak body shaming, tapi Malaysia adalah negara paling ramai penduduk yang gemuk di Asia. Kalau korang tengok statistik dari Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), jangkaan populasi yang berlebihan berat badan adalah sebanyak 33% dan obesiti pulak adalah sebanyak 18%.

Lagi satu, negara kita ni jugak femes dengan masalah diabetes. Pengerusi eksekutif Institut Diabetes Kebangsaan (NADI), Datuk Dr Mustaffa Embong ada keluarkan kenyataan yang kira-kira 2.5 juta orang dewasa kat Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas menghidapi penyakit diabetes. Bukan tu je, separuh dari rakyat Malaysia tak tau pun diorang ada penyakit ni. Jadi, fikir-fikir lah dulu sebelum teguk bubble tea tu.

Selain dari aspek kesihatan, pengenalan kepada cukai gula ni jugak akan menjadi sumber pendapatan terbaru Malaysia. Seperti yang dimaklumkan dalam Belanjawan 2019, gomen akan memperkenalkan 2 jenis cukai untuk dijadikan sumber pendapatan terbaru negara di samping digunakan untuk membayar hutang negara; cukai gula dan cukai digital. Kutipan cukai diharapkan ini dapat mengurangkan lagi jumlah hutang negara yang kini berjumlah RM686 billion berbanding dengan jumlah asal iaitu RM1 trillion. 

Hasil kutipan cukai gula ni pulak akan digunakan untuk membiaya program sarapan percuma bagi murid sekolah rendah bermula tahun 2020. Dengan adanya program ni, gomen yakin murid sekolah akan bertambah sihat dan bertenaga untuk memulakan sesi persekolahan. 

Selain program sarapan percuma, Kementerian Kesihatan jugak akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi mencadangkan alternatif kepada gula.


Apa je yang dicukaikan?



Buat masa sekarang, kadar cukai gula yang dikenakan adalah sebanyak RM0.40 sen per liter untuk minuman bergula yang dikilangkan dalam bentuk pembungkusan sedia diminum. Admin ulang ye, minuman yang sedia diminum. Maksudnya kat sini, cukai gula ni tak dikenakan kalau korang order teh ais ikat tepi kat kedai mamak semua tu, jangan salah sangka pulak ye. Lagi satu, cukai ni dikenakan untuk minuman bergula je, bukan gula pasir tau. Janganlah pulak korang ingat harga gula naik sebab cukai ni. 

Kalau korang nak tau, ada 2 kategori minuman bergula yang dikenakan cukai gula.

Kategori 1:
Air minuman yang mengandungi gula tambahan atau bahan pemanis lain yang bergula melebihi 5 gram setiap 100 mililiter. Contohnya macam air Pepsi, Coke, Soda, Fanta dan segala macam jenis air berkarbonat. Alah, yang korang selalu panggil air gas tu. itu semua dalam kategori yang pertama.

Kategori 2:
Bagi kategori ni pulak, jus buah-buahan dan sayuran yang mengandungi gula melebihi 12 gram setiap 100 mililiter. Contohnya macam jus oren Minute Maid, Heaven & Earth dan Ribena. 

Dua kategori ni adalah kategori utama minuman bergula yang dijual di Malaysia.


Jadi, apa kesan kepada rakyat?



Pelaksanaan cukai ni lambat laun akan meningkat kos hidup rakyat, terutamanya korang yang suka beli minuman bergula tu. Harga minuman bergula dijangka akan meningkat di antara RM0.20 hingga RM0.70 sen bagi setiap produk, bergantung kepada isipadu minuman dan jumlah gula yang ada. 

Cuba korang bayangkan, harga bubble tea meningkat sebanyak RM0.70.

Contoh Pengiraan:
RM6.50 (Tealive bubble tea) + RM0.70 (anggaran harga kenaikan yang ditetapkan oleh pengilang) = RM7.20
RM7.20 + RM0.43 (6% SST) = RM7.63

Macam mana lah nak ber-bubble tea selalu kalau berbeza sangat harga sebelum dan selepas cukai. 

Tapi kan, walaupun harga barang akan meningkat, gomen positif yang kos perubatan akan berkurangan dengan adanya kutipan cukai ni dan rakyat jugak akan dapat jimat. Itupun kalau kita betul-betul ikut saranan gomen lah. 

Admin amik contoh masalah diabetes, kat Malaysia ni untung sebab kita semua hanya dikenakan bayaran RM1 untuk dapatkan perkhidmatan kat klinik/hospital gomen, insulin pulak dapat percuma. Tapi korang tau tak yang harga sebatang suntikan tu bolah capai puluhan ringgit sebenarnya? Mungkin korang rasa remeh sebab kena bayar RM1 je, tapi kalau kena pergi hospital setiap bulan? Dah RM12 korang belanjakan dalam setahun. Itu belum masuk berjam-jam yang korang bazirkan kat hospital dengan menunggu giliran. 


Apa pulak kesan kepada pengeluar minuman bergula?



Tak kisah pelaksanaan cukai apa pun mesti akan melibatkan banyak pihak. Bagi pengeluar minuman bergula pulak macam mana? Adakah diorang akan terkesan dengan kutipan cukai ni? 

Kalau ikut reaksi yang dikeluarkan oleh industri minuman bergula yang utama di Malaysia , iaitu Nestle dan Fraser & Neave (F&N), dua-dua syarikat pengeluar minuman bergula ni bagi jaminan yang diorang tak akan menaikkan harga minuman buat masa sekarang. Walau bagaimanapun, F&N dijangka akan menaikkan harga minuman di antara 10 sen sehingga 60 sen sekiranya cukai gula ni dilaksanakan sepenuhnya. Nestle pulak akan cuma menaikkan harga produknya kalau berlaku peningkatan harga bahan mentah yang lain. 

Disebabkan pelaksanaan cukai gula ni, saham pengeluar minuman bergula mengalami kerugian kat Bursa malaysia. Contohnya Nestle, merosot sebanyak 70 sen kepada RM148.40, F&N pulak merosot sebanyak 16 sen kepada RM34.40 dan Dutch lady merosot sebanyak 10 sen kepada RM63.90. 

Itu untuk pengeluar minuman bergula yang utama kat Malaysia, kalau pengeluar minuman bergula Industri Kecil dan Sederhana (IKS) pulak macam mana? Terjejas tak perniagaan diorang? Dengar cerita, rata-rata usahawan IKS tak bersetuju dengan pelaksanaan cukai gula ni. Kutipan dua cukai (SST dan cukai gula) terhadap produk diorang menyebabkan keuntungan yang akan diperolehi semakin kurang. Usahawan IKS jugak was-was nak naikkan harga produk sebab takut nanti pembeli dah tak nak beli produk diorang.


Apa lagi yang kita patut buat untuk kurangkan masalah kesihatan?

Selain saranan gomen untuk mengurangkan masalah kesihatan, kita sebagai rakyat pun kenalah berusaha ubah gaya hidup kita, janganlah dah terhantuk baru nak terngadah. 

Admin harap korang semua dapat elakkan diri dari beralih kepada minuman bergula yang tak dikenakan cukai macam teh tarik kat warung. Bukan tu je, apa kata kalau gomen buat kawalan terhadap jualan minuman bergula kat kanak-kanak jugak, sama macam apa yang gomen buat dekat rokok. Dengan ini, kita mungkin dapat turunkan kadar obesiti dalam kalangan kanak-kanak kat Malaysia. 

Lagi satu, benda ni mungkin nampak klise tapi, admin rasa kita perlu sertakan sekali program pendidikan dan kempen kesedaran secara berterusan kalau nak bendung masalah kesihatan ni dalam jangka masa panjang. Korang setuju tak dengan cadangan admin ni?

Bila cakap pasal isu kesihatan ni, admin tertanya-tanya pulak, korang ada tak insurans perubatan? Kalau nak tau lebih lanjut pasal insurans perubatan boleh baca artikel ni pulak: 5 Perkara Yang Wajib Korang Tahu Bila Menggunakan Insurans Perubatan.

 
Teruskan Pembacaan...

Tentang Penulis

Hakimie Amrie



LIHAT SEMUA ARTIKEL

Artikel Disarankan Untuk Anda

beli-rumah-atau-kereta

Rumah atau kereta? Mana satu korang patut beli dulu?

6 Langkah Penting Sebelum Korang Buka Bisnes

6 Langkah Penting Sebelum Korang Buka Bisnes

 9 Tips Pinjaman Kenderaan Yang Korang Perlu Tahu Sebelum Membeli Kereta

9 Tips Pinjaman Kenderaan Yang Korang Perlu Tahu Sebelum Membeli Kereta