Macam mana sindiket tuntutan insurans palsu ni beroperasi?
Okey, kita kena fahamkan dulu yang tuntutan insurans ni sepatutnya membantu pemegang polisi apabila ditimpa kemalangan atau bencana. Sindiket ni pulak satu kumpulan orang yang ambil kesempatan dengan tuntutan palsu ni untuk kepentingan diorang. Orang cakap, untung atas angin lah.
Perbuatan jenayah yang sindiket ni buat termasuklah pemalsuan dokumen (forgery), menipu dan peras ugut.
Sindiket ni pulak ada macam-macam modus operandi (MO), antaranya adalah:
1. Sindiket bekerjasama dengan pemegang polisi yang ada masalah hutang kereta dan buat report polis palsu, mengatakan kereta diorang hilang. Sindiket akan buat tuntutan insurans guna report tu dan kereta yang dilaporkan hilang tu akan didaftarkan sebagai kenderaan baru.
Contoh dalam kes ni, sindiket kaut RM2.9 juta guna MO ni dan 7 anggota polis yang ada contact Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Puspakom dilaporkan terlibat!
2. Sindiket memanipulasi laporan perubatan untuk claim insurans pekerja yang sakit dan cacat. Caranya, pemegang polisi yang tak sakit atau cacat disuruh pura-pura sakit kronik atau cacat. Masa buat pemeriksaan kesihatan atau X-ray, pemegang polisi akan ditukar dengan individu yang betul-betul sakit atau cacat (selalunya dibayar oleh sindiket).
Kat Malaysia, ada seorang pengerusi badan kebajikan kena tangkap sebab jalankan sindiket ni dan didakwa palsukan tuntutan insurans bernilai RM2.4 juta melalui syarikat insurans dan Socso.
3. Ejen bekerjasama dengan doktor untuk palsukan dokumen dan sijil kematian, malah bekerjasama dengan ‘orang dalam’ syarikat insuran untuk kaut keuntungan dari polisi insurans nyawa.
4. Ejen tipu pemegang polisi dengan ambil sebahagian jumlah tuntutan, kononnya untuk bayar cukai kerajaan. Amboiiii.
Mungkin ada MO lain yang kami terlepas pandang, tapi yang pasti insurans berkaitan kenderaan atau kemalangan paling banyak berleluasa. Contohnya macam tuntutan insurans guna kemalangan palsu yang terjadi kat Singapura ni.
Macam mana nak kenal diorang ni anggota sindiket, dan macam mana nak elak jadi mangsa?
Bila tuntutan insurans palsu ni jadi kes polis, korang percaya la yang pemegang polisi tu sure kena jugak punyalah. So, korang sebagai pemegang polisi kena berhati-hati dengan anggota sindiket ni.
Ada beberapa tanda atau ‘red flag’ yang korang boleh kesan bila berurusan dengan ejen atau individu yang mencurigakan.
Red flag 1: Ejen yang korang berurusan nampak sangat pro dan banyak uruskan kes tuntutan sama macam kes korang
Maknanya, kes yang diorang pernah uruskan langsung takde variasi. Walaupun ini satu petanda bagus sebenarnya, tapi ini jugak red flag yang mungkin diorang ni anggota sindiket.
Kalau korang tak konfiden dengan ejen pro semacam ni, korang dinasihatkan untuk check dengan syarikat insurans ejen tu. Korang jugak boleh check latar belakang syarikat insurans tu dengan Persatuan Insuran Am Malaysia (PIAM), Life Insurance Association of Malaysia (LIAM) atau Malaysian Takaful Association (MTA).
Red flag 2: Ejen kaki push dan suruh korang sain dokumen je
Sebagai ejen yang bertanggungjawab, diorang kena bersama-sama klien (korang le) dalam proses buat tuntutan ni. Diorang kena bersedia kalau korang ada soalan atau kena terangkan kalau korang tak tahu buat. Tapi ejen macam ni, diorang suruh sain terus dekat dokumen yang diorang dah siapkan macam dalam kes ni. Sedar-sedar, sebahagian bayaran insurans korang dah kena songlap.
Kalau ejen korang macam ni, kami saran korang tanya dulu pada klien-klien dia yang dah lepas sebelum sain dokumen. Kalau klien tu bagi korang tengok invois dia dan ada caj yang mengarut (macam cukai kerajaan Malaysia), kami nasihatkan korang buat tuntutan guna ejen lain je lah. Kalau semuanya okey, sain dokumen dengan yakin.
Kalau korang sain dan syak ada benda tak kena, korang boleh check invois yang korang terima. Ingat, caj mengarut macam cukai kerajaan Malaysia untuk tuntutan insurans tu TAK WUJUD.
Red flag 3: Ejen tidak berdaftar
Tak ada sebab ejen untuk tidak berdaftar dalam mana-mana direktori. Contoh ejen tak berdaftar ni cam kawan korang yang kononnya ada jual insuran tapi tak berdaftar pun. Cara nak check diorang ni berdaftar atau tak, korang boleh guna cara dalam Red flag 1 kat atas sana.
Macam biasa, guna ejen lain yang berdaftar lagi bagus dan meyakinkan dari guna ejen yang tak berdaftar.
Jangan merana disebabkan sindiket!
Kami kena cakap yang walaupun kami dah cerita macam mana nak kenal anggota sindiket dan korang pun dah faham macam mana sindiket ni beroperasi, ini tak bermakna korang dah imun dengan dengan diorang.
Macam kami cakap sebelum ni, anggota sindiket ni kebanyakkannya golongan profesional dan bukan mat rempit, jadi trick yang diorang guna akan jadi semakin licik dan advance.
Lagipun, bukan setakat ejen je buat kerja jahat ni. Ada sesetengah pemegang polisi BERSETUJU untuk bekerjasama dengan sindiket-sindiket ni untuk dapatkan duit poket lebih. Kami kena bagi peringatan yang korang boleh didakwa untuk macam-macam jenis kesalahan dan korang boleh didenda atau sebat atau dipenjara maksimum 10 tahun atau semuanya sekali kalau tertangkap!
Kalau ada kenalan korang yang korang rasa buat benda tak elok ni, korang disyorkan untuk buat laporan polis. Kami di Loanstreet harap korang tak terlibat sebagai anggota sindiket atau terjebak sebagai mangsa.