Apa tu hak milik strata?
Sumber Imej: PropPeek.com|Pangsapuri Karya Residensi Klang
Hak milik strata ni sebenarnya hak milik berasingan bagi setiap unit atau petak dalam bangunan dua tingkat atau lebih, dan bangunan ni dibina atas sebidang tanah yang sama dan berkongsi akses kemudahan bersama.
Jenis rumah yang yang termaktub dalam skim hak milik strata termasuklah:
- Unit pangsapuri
- Kompleks komersial
- Kondominium
- Rumah kedai
- Rumah berkembar
Sebenarnya, rumah banglo, teres dan rumah berkembar pun dah tergolong jugak dalam kategori skim hak milik strata walaupun asalnya rumah-rumah jenis ni tertakluk di bawah skim komuniti berpagar.
Sumber Imej: Ringgit Hartanah
Rumah-rumah ni dikategorikan sebagai hak milik strata disebabkan:
Lot tanah pemaju dah dibahagikan kepada:
- Petak individu
- Petak aksesori dan harta bersama di bawah penyelenggaraan jawatankuasa pengurusan
- Perkongsian kawalan keselamatan perumahan
Dengan adanya geran hak milik strata ni, korang dah terselamat daripada risiko macam hartanah korang disita atau tindakan undang-undang lain sekiranya pemaju perumahan korang muflis.
Sumber Imej: LPPSA|Pemaju yang telah muflis
So, apa yang terkandung dalam geran hak milik strata?
Sumber Imej: Twitter|Adlina MN
Perkara yang dinyatakan jelas dalam geran hak milik strata adalah:
- Nombor hak milik
- Nombor bangunan
- Nombor tingkat
- Nombor petak
- Cukai yang perlu dibayar (cukai pintu)
- Lokasi petak
- Nombor lot
- Luas petak
- Unit syer
- Nombor pelan strata
- Nombor buku strata
Semua maklumat yang tercatat dalam geran ni adalah sebahagian dari dokumen pemilikan utama dan rekod ketuanpunyaan, sebagai pemilik berdaftar ke atas unit atau petak rumah yang dibeli.
Maklumat ni sememangnya penting untuk dijadikan bukti 100% pemilikan kediaman bagi pembeli untuk memudahkan urusan:
- Pindah milik
- Gadaian
- Cagaran
- Pembahagian pusaka
Selagi korang tak dapat geran hak milik strata, tanah kediaman tu masih lagi dikira sebagai hak milik pemaju dan akses korang cuma terhad pada strata/petak korang sahaja.
Sebagai pemilik strata, apa peranan dan hak korang?
Bila korang dah dapat geran dan diiktiraf sebagai pemilik strata, antara benda yang korang WAJIB buat adalah:
1. Bayar caruman yang ditetapkan kepada Perbadanan Pengurusan:
- Termasuk yuran pengurusan dan pentadbiran harta bersama. Dikira berdasarkan jumlah, jenis unit serta jumlah kemudahan akses bersama.
- Premium insuran kebakaran, cukai tanah dan akaun khas.
3. Ikut Undang-Udang Kecil Perbadanan yang sedang berkuatkuasa
4. Patuh apa-apa arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa awam/tempatan berhubungan dengan strata yang dimilikinya
Jadi, siapa yang kena mohon hak milik strata?
Merujuk kepada Seksyen 8 Akta Hakmilik Strata 1985:
Tuan Tanah hendaklah mengemukakan permohonan untuk Hakmilik Strata tidak lewat dari 6 bulan dari tarikh Perjanjian Jual Beli Pertama atau 6 bulan dari tarikh pengeluaran Sijil Layak Menduduki Bangunan (CF), yang mana terkemudian.
Dalam tempoh 6 bulan, pemaju yang buat permohonan hak milik strata BOLEH:
- Lanjutkan tempoh berdasarkan permohonan sebelum tamat tempoh tersebut dan sekali sahaja dan tidak melebihi tiga (3) bulan;
- Pendaftaran pindah milik Hakmilik Strata bagi hartanah 'strata' sebenarnya hanya boleh dilaksanakan selepas Hakmilik Strata bagi bangunan bertingkat itu atau hartanah 'strata' dikeluarkan Pihak Berkuasa Negeri (PBN)
- Selagi mana permohonan untuk mendapatkan Hakmilik Strata belum dilaksanakan pemaju, rumah jenis bangunan bertingkat atau 'hartanah strata' yang dibeli hanya akan melalui proses jual beli daripada pemaju perumahan di bawah pegangan Hak Milik Induk atau dikenali sebagai 'Master Title.'
Sumber Imej: Najib Mohamed| Sebelum beli rumah, periksa dulu jenis hak milik
Tapi sekarang ni, pemaju boleh je mohon hak milik strata bermula dari tarikh lengkapnya fasa pembinaan superstruktur dan selepas 1 bulan pemaju memperoleh Sijil Cadangan Pelan Strata (CPSP) daripada Pengarah Pemeriksaan.
Sebagai pemilik strata, korang boleh dapatkan hak milik strata pada waktu pengumuman serahan milikan kosong, sekali dengan kunci dan dokumen pemilikan yang lain daripada pemaju.
Andaikata kalau pemaju korang gagal buat permohonan strata, korang boleh buat tuntutan sivil dan memohon ganti rugi selain daripada pemaju dikenakan hukuman Seksyen 8(1) Akta Hakmilik Strata 1985:
“boleh disabit, didenda tidak kurang daripada sepuluh (10) ribu ringgit tetapi tidak lebih daripada satu ratus (100) ribu ringgit dan didenda selanjutnya tidak kurang daripada satu ratus (100) ringgit tetapi tidak lebih daripada satu (1) ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan it uterus dilakukan”
Misalnya korang masih tak tahu status hak milik strata rumah korang, korang boleh hadirkan diri atau telefon pihak berkuasa tanah tempatan seperti Pejabat Tanah dan Galian Negeri (PTG) atau Pejabat Tanah Daerah (PTD) ikut negeri masing-masing.
Kalau korang tinggal kat Selangor, ni dia cara untuk korang buat semakan secara online:
- Layari laman web Smartbox.Selangor.
- Klik pada ‘Semak Status Permohonan Pembangunan Hakmilik Strata’
- Isikan No. Fail kediaman korang dan tunggu selepas 24 jam selepas permohonan dibuat.
So, lepas ni, sebagai pemilik kediaman pastikan korang buat tuntutan hak milik strata ni kat pemaju perumahan korang tau. Yelah, nak beli rumah bukannya senang apatah murah ya.
Jadi, korang ada tak pengalaman pasal hak milik strata ni? Share dan komen je tau kat FB post kami.
*Artikel di atas bertujuan untuk memberi maklumat sahaja. Loanstreet tidak bertanggungjawab atas kerugian yang mungkin timbul jika ada sebarang tindakan anda dengan maklumat yang terdapat dalam artikel.
BACA JUGAK: