Scam yang melibatkan tow truck ni dah lama ada. Tahun lepas je, viral pasal 'Geng Minyak' kat highway Karak yang menyebabkan beberapa kereta terlibat dalam kemalangan. Di Says.com, ramai lagi pembaca yang berkongsi cerita yang sama. Nampaknya bukan hantu je yang suka lepak kat Karak, orang minyak pun banyak.
Tak banyak berita yang kami jumpa tentang kemalangan yang sama berlaku di kawasan lain macam kawan kami kat Subang tadi. Tapi kalaulah korang terkena (mintak dijauhkan), benda pertama yang perlu dibuat semestinya hubungi keluarga/kawan untuk beritahu keadaan korang. Nak lagi waktu tu korang mungkin panik kan, jadi bila ada keluarga/kawan, mungkin boleh tenangkan diri.
Selepas itu, ini antara perkara yang korang boleh buat:
1. Jangan ambil tawaran daripada tow truck yang tiba-tiba muncul
Longkai yang tiba-tiba melompat darip celah pokok ni meang meragukan. Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkata mereka dapat banyak aduan pasal tow truck yang memaksa pemandu untuk sain dokumen supaya kereta boleh dibawa ke balai polis dan kemudiannya di bengkel, tapi lepas tu caj beribu ringgit.
Satu Facebook status yang dikongsi oleh PaulTan.org buat kami ketar lutut bila baca. Ada satu pemandu ni terbabas kat tengah jalan. Dalam keadaan cuak, kereta pulak terpacak kat tengah-tengah, pemandu tu sain satu dokumen. Lepas kena paksa bayar RM2050, longkai ni minta tambah RM200 pulak. Jadi bila pemandu tu bengang, dia pulak yang kena kejar dengan batang besi.
Jadi apa pun berlaku, cuba untuk tidak berurusan dengan tow truck yang datang secara tiba-tiba ni. Lagi senang nak cakap sampai kena batang hidung sendiri kan, tapi kami harap korang dapat telefon kawan atau keluarga yang boleh datang teman supaya korang tak kena pressure sangat.
2. Hubungi service centre rasmi bagi towing percuma
Kebanyakan service centre ada menyediakan khidmat towing percuma. Contohnya Perodua ada kelebihan AutoAssist yang ditawarkan buat pembeli kereta baru (bawah tempoh setahun). Khidmat yang disediakan termasuklah towing percuma berjumlah RM300 atau 100km (mana satu yang datang dulu). Servis ini juga disediakan 24 jam, 7 hari seminggu. Selain itu, AutoAssist turut bagi khidmat lain seperti jump start, tukar tayar, sewa kereta, dan sebagainya.
Semak dengan service centre korang kalau mereka ada perkhidmatan yang sama. Kalau kena caj pun, sekurang-kurangnya korang kena caj dengan badan yang sah.
2. Hubungi syarikat insurans bagi towing percuma
Kebanyakan syarikat insurans pun ada bagi khidmat towing percuma. Macam biasa, mereka akan ada had masing-masing. Contohnya, Etiqa menawarkan towing percuma sehingga 200km ke bengkel panel terdekat, manakala AmAssurance cuma bagi 50km je. Bila lebih daripada had ni, korang biasanya akan dicaj mengkikut kilometer, jadi semaklah dengan syarikat insurans masing-masing. Korang boleh cari nombor telefon dekat road tax.
Bila syarikat insurans bagitau yang mereka akan hantar tow truck, tanya workshop panel mana yang mereka akan hantar, dan salin alamat dan nombor telefon apa semua. Pastikan korang sampai ke workshop panel tersebut, kalau tak proses claim untuk repair kereta korang akan jadi lebih lama.
3. Kalau korang kat lebuhraya PLUS, pun ada towing percuma
PLUS merangkumi beberapa highway, termasuklah Lebuhraya Utara Selatan (NSE), Lebuhraya Baru Lembag Klang (NKVE), dan juga jambatan Pulau Pinang. Mereka ada PLUSRonda yang menawarkan perkhidmatan kecemasan termasuklah towing percuma.
Cumanya mereka akan tunda kereta korang ke tempat berdekatan yang paling selamat, bukanlah sampai ke balai polis/bengkel terus. Jadi bila dah sampai ke plaza tol atau R&R, korang boleh tarik nafas, selawat banyak-banyak, dan rancang apa yang perlu dibuat seterusnya.
4. Simpan nombor tow truck yang korang boleh percaya
Yang ni agak susah sikit, sebab walaupun korang ada nombor longkai yang korang pernah deal sebelum ni, kadang-kadang ianya jauh dari tempat kemalangan.
Antara perkara yang korang boleh buat adalah taip 'towing service near me' kat Google Maps, dan Google Maps biasanya akan tunjukkan rating dan review yang ditinggalkan oleh pengguna lain. Rating ni lah sangat berguna untuk korang nilai sama ada servis mereka bagus ke tak.
<Dan kalau korang nak menyumbang kembali kepada rakyat marhein, rajin-rajinlah tinggalkan rating dan review korang sendiri, boleh membantu orang lain yang kena masalah yang sama.
5. Hubungi CarPut untuk servis tow truck berbayar
Salah satu app yang korang boleh simpan dalam smartphone korang adalah CARPUT. CARPUT ni sangat berguna kalau korang tiba-tiba kena jumpstart kereta atau kena tukar bateri. Dan mereka juga ada tawarkan perkhidmatan towing, cumanya ianya agak mahal. Kali terakhir kami panggil CARPUT, mereka kata caj untuk tow truck adalah RM300, berbanding tow truck lain yang caj sekitar RM150 ke RM200.
Tapi untuk servis-servis lain yang mereka tawarkan, bagus untuk korang ada app CARPUT ni sebab mereka agak pantas dan cekap.
Bertenang, jangan takut, dan ketahui hak korang
Seperti apa yang kami cerita kat poin nombor 1 tadi, elakkan daripada berurusan dengan longkai yang datang macam semut kerumun gula ni. Kadang-kadang mungkin ada yang tak menipu, tapi kalau korang nak berjaga-jaga, elakkanlah. Call keluarga/kawan yang terdekat untuk datang tolong korang, atau call balai polis terus untuk minta nasihat tentang apa yang perlu dibuat.
Bila kereta korang dah dapat tow truck yang sah, ingat yang mereka kena hantar korang ke balai polis terlebih dahulu untuk buat laporan. Lepas tu kalau korang nak hantar ke workshop dan claim dengan insurans, pastikan korang call dulu syarikat insurans tanya kat mana workshop panel yang terdekat.
Apa pun, kami harap korang dijauhkan daripada musibah macam ni. Pada masa yang sama, sentiasa bersedia kalau ia datang menimpa. Jangan lupa share artikel ni untuk kegunaan semua, dan pastikan insurans kereta korang sentiasa aktif (jangan kedekut sampai taknak renew insurans kereta ye). Kalau nak senang renew insurans kereta tu, pergi ke halaman insurans kereta kami untuk renew insurans secara online. Kitorang siap hantarkan kat depan pintu korang tau!