Subscribe to Our Newsletter

We know you love savings. Sign up for more!

Panduan DUIT HANTARAN Berdasarkan Tempat Asal Pengantin Perempuan

Updated 20 May 2021 – By Kamalia Ramlan


Ah, kahwin! Satu simbol komitmen, penyatuan dua keluarga, dan... secara amnya memang urusan yang memerlukan duit yang banyak. Siap ada yang habis ribuan hingga jutaan ringgit kot! 

Sekarang ni, walaupun tengah musim COVID-19 dan PKP, ada je yang kahwin. Kalau boleh buat, mesti siap ada majlis resepsi lagi. Cuma, kena lah ikut SOP yang ada. Kalau tengah tak boleh, dapat lah jimat sikit kos perkahwinan tu.

Salah satu perkara yang korang harus fikirkan dalam bajet nanti (bergantung kepada latar belakang budaya) adalah hantaran. Bagi orang Melayu, hantaran diberi oleh pihak lelaki dan selalunya terdiri daripada mas kahwin, dulang hantaran dan duit hantaran.

 

Jangan panik! Konsep duit hantaran ni tak bermaksud untuk membebankan korang

Apa yang wajib dalam ‘pakej’ tersebut sebenarnya mas kahwin - satu set jumlah yang ditentukan berdasarkan negeri asal pengantin perempuan. Lagi satu, duit hantaran ni milik pengantin perempuan semata-mata (pengantin lelaki atau keluarga pengantin perempuan jangan gatal nak sentuh!). Bayaran pulak akan direkodkan oleh pegawai sebelum akad nikah. 

Korang boleh rujuk table kat bawah ni kalau nak tahu harga mas kahwin mengikut negeri masing-masing.
 
Negeri RM (Perkahwinan Pertama) RM (Bukan Perkahwinan Pertama)
Johor 22.50 22.50
Melaka 100 100
Negeri Sembilan* 24 12
Selangor*  300 300
Kuala Lumpur 80 40
Perak 101 101
Pulau Pinang 24 24
Pahang 22.50 22.50
Sabah 100 80
Sarawak 120 120
Labuan 80 80
Putrajaya 80 80
Negeri lain Tak ditetapkan Tak ditetapkan
Sumber: JAKIM
*jumlah berbeza jika pengantin perempuan ada pertalian dengan keluarga diraja.


 

Dulang hantaran tu apa pulak?

Dulang hantaran pulak merujuk kepada pemberian dalam dulang (mesti kena bilangan ganjil atas sebab-sebab tertentu). Dulang-dulang ni kemudiannya akan ditukar antara pihak pengantin semasa majlis akad nikah.

Pemberian ni boleh terdiri daripada cincin, pakaian, makanan (kek atau coklat) atau barangan kecil, terpulang kepada cita rasa pengantin perempuan dan lelaki. Selalunya, hantaran ni dah dipersetujui awal-awal lagi.

Ada sesetengah orang yang bagi petai dan KUCING SEBENAR sebagai hantaran - konon lain daripada yang lain lah ni. Memang terpulang korang nak buat camne!


 

Selain tu, korang boleh buat hantaran tertutup. Selalunya kan hantaran ni terpampang dengan jelas untuk semua nampak. Dapat lah makcik-makcik dan pakcik-pakcik bawang komen - stress pengantin tu. Nak kasi aman hidup, kita cover je lah!



Kalau ikut tradisi, pihak pengantin perempuan akan sediakan 2 dulang lebih daripada pengantin lelaki – kalau pihak lelaki bagi 5 dulang, pihak perempuan akan balas dengan 7 dulang. Kalau pihak lelaki bagi 3 pulak, pihak perempuan bagi lah 5.

Haa, sebelum korang kata tak adil dan mula keluarkan cerita ‘feminisme’, cuba tanya mak ayah kita. Ramai yang cakap dah memang adat - pengantin wanita kena bagi lagi banyak dari pengantin lelaki. Boleh je kalau pengantin lelaki nak bagi lebih, cuma takde lah tunjuk sekali waktu majlis.

Perkara ketiga dan paling kontroversi dalam pakej ni ialah duit hantaran. Ini adalah sejumlah wang tambahan kepada mas kahwin yang dibayar kepada pihak pengantin lelaki kepada pengantin perempuan. 

 

Apa yang KONTROVERSI sangat pasal duit hantaran ni?

Setiap keluarga ada tafsiran tersendiri (ada yang lebih kontroversi daripada yang lain) tentang konsep duit hantaran ni. 
Ada keluarga yang percaya seorang perempuan turut ‘berkahwin’ juga dengan keluarga si suami sebaik saja dia bergelar isteri, simbolik kepada meninggalkan keluarga asal.

Ada sesetengah kes, duit hantaran dianggap sebagai ‘pampasan’ kepada kos-kos yang dilaburkan oleh ibu bapa pengantin perempuan yang dah besarkan anak mereka sebelum anak perempuan mereka tu‘dilepaskan’. Tapi tak semua keluarga jenis yang berkira... 

Selain tu, ada jugak yang melihat wang hantaran sebagai simbol kestabilan kewangan pengantin lelaki untuk jaga bakal isteri dan keluarga nanti.

Bagi keluarga yang lebih moden, ia dianggap sebagai duit simpanan kepada pasangan yang akan berkahwin. Apa-apa pun, memulakan kehidupan lepas kahwin memang TAK MURAH – sekurang-kurangnya korang kena fikir tentang kediaman pertama, dan dah mula buat bajet untuk anak-anak nanti. 



Jadi, daripada simpan untuk diri sendiri, ibu bapa akan bagi semua atau sebahagian daripada duit hantaran tu balik kepada anak-anak mereka untuk mulakan hidup baharu. Kalau ibu bapa korang pilih cara macam tu, korang kenalah bagi duit raya ekstra sikit sebagai tanda terima kasih, okey. Ibu bapa macam ni memang satu dalam sejuta. 

TUNGGU DULU – sebenarnya pada zaman dulu, kenduri kahwin selalunya diadakan di rumah pengantin perempuan aje. Jadi, duit hantaran tu digunakan untuk tampung sebahagian kos kenduri yang dibuat oleh keluarga pihak perempuan. 

Tapi sekarang memang perkara biasa untuk kedua-dua belah pihak lelaki dan perempuan adakan kenduri secara berasingan – itu pun jika diorang mampu. Lagipun, pengantin boleh aje dapatkan semula sebahagian wang yang dibelanjakan tu daripada duit salam kaut (angpau) yang tetamu beri.

 

Aduh, pening. Jadi berapa nak kena bagi ni?

Tak ada peraturan tetap berapa jumlah wang hantaran yang pengantin lelaki sepatutnya beri kepada keluarga pengantin perempuan. Tapi, sesetengah orang lebih suka ikut ‘panduan tak formal’ apabila menentukan jumlahnya. 

Salah satu faktor popular adalah berdasarkan tahap pendidikan: lagi tinggi tahap pendidikan pengantin perempuan, sepatutnya lagi tinggi wang hantarannya! Panduan di bawah pernah tersebar luas di media Malaysia:


 
Tahap Pendidikan RM
UPSR 2,000 - 4,000
SPM 4,000 - 8,000
STPM/ Diploma 8,000 - 12,000
Ijazah 12,000 - 15,000
Master 15,000 - 20,000
PhD 20,000 - 30,000

Logiknya kat sini, misalnya pengantin perempuan yang ada PhD, keluarganya dah labur banyak untuk pendidikan (mahal tau!) dan pihak pengantin perempuan layak dapat ‘pampasan’ lebih. Tapi cara ni macam tak menggalakkan perempuan untuk sambung pengajian lebih tinggi pula: “Tak payahlah belajar tinggi sangatlah, nanti tak ada orang nak kahwin dengan kau!”  - TAK!

Panduan lain pula berdasarkan negeri asal pengantin perempuan tersebut dan panduan ni dah tersebar di Facebook: 
 
Negeri RM 
Perlis 5,000 - 8,000
Kedah 8,000 - 12,000
Pulau Pinang 4,000 - 10,000
Perak 5,000 - 10,000
Kelantan 3,000 - 10,000
Terengganu 5,000 - 9,000
Pahang 7,000 - 12,000
Selangor 8,000 - 20,000
Kuala Lumpur 8,000 - 15,000
Putrajaya 8,000 - 15,000
Melaka 7,000 - 12,000
Negeri Sembilan 8,000 - 12,000
Johor  10,000 - 20,000

Cara ni pula malangnya menyebabkan ada perempuan dari sesetengah negeri dikenali dengan cara yang kurang elok. Contohnya, orang selalu usik lelaki yang ada makwe Johor (semoga berjaya, bro!) sebab perempuan dari negeri ini dikatakan ‘mahal’ untuk dikahwini.

 

Boleh nego tak duit hantaran ni?

Panduan hanyalah panduan aje – korang lah yang tentukan kata putus. Lagipun, ni kan kenduri kahwin KORANG.

Ia adalah sesuatu yang normal jika keluarga berbincang dan berunding tentang jumlah wang hantaran sebelum perkahwinan berlangsung. Kita semua pernah baca di media sosial tentang cerita-cerita seram macam pergaduhan di kenduri kahwin sebab pihak pengantin lelaki tak dapat sediakan wang hantaran seperti yang dijanjikan. Jadi, kalau wang hantaran tu ditentukan ikut jumlah yang berpatutan, cerita macam tu taklah berlaku, kan??



Semasa berunding, pastikan ia dalam jumlah yang korang mampu. Kalau korang rasa jumlahnya melampau dan membebankan kewangan sendiri, berterus-teranglah (semestinya dengan cara sopan – takkan korang nak bakal keluarga mentua marah pulak!). Lagipun, korang akan memulakan hidup baharu dengan anak/kakak/sepupu mereka. Kalau pihak pengantin perempuan berkeras juga nakkan jumlah yang tinggi, korang faham-faham ajelah maksudnya.
 
 

Sehingga hutang maut memisahkan kita

Walaupun hantaran tinggi meletakkan sesuatu penyatuan pada tahap yang lebih berprestij, tapi ia BUKAN satu kemestian untuk sebuah perkahwinan yang bahagia. Ramai yang tak mampu nak bagi wang hantaran tinggi, pilih untuk buat pinjaman peribadi pula.

Korang pastinya TAK mahu mulakan kehidupan rumah tangga dengan beban hutang yang tak sepatutnya!

Admin cadangkan - kalau betul nak jimat kos perbelanjaan kahwin, buat dalam waktu musim pandemik ngan PKP ni. Kos catering dah kurang sebab tetamu ada limit. Secara automatik, kos tempat dan majlis semakin rendah. Nak betul-betul jimat, buat secara virtual. Tak yah hirau apa orang lain cakap!

Ingat, duit hantaran hanyalah cabaran kewangan pertama yang korang akan hadapi dalam perkahwinan. Cuba mulakan sesuatu dengan permulaan yang baik. 

BACA JUGAK: 

 

*Artikel di atas bertujuan untuk memberi maklumat sahaja. Loanstreet tidak bertanggungjawab atas kerugian yang mungkin timbul jika ada sebarang kebergantungan anda dengan maklumat yang terdapat dalam artikel. 

Teruskan Pembacaan...

Artikel Disarankan Untuk Anda

RON95 ke RON97?

HARGA MINYAK MINGGUAN Terkini (RON95, RON97 & Diesel)

Promo Kad Kredit Shopee, Lazada & Zalora  8.8: Claim, Jangan Tak Claim!

Promo Kad Kredit Shopee, Lazada & Zalora 8.8: Claim, Jangan Tak Claim!

Belum Bersedia? Wajib Ketahui 8 Cara Pencegah Kehamilan Ini!

Belum Bersedia? Wajib Ketahui 8 Cara Pencegah Kehamilan Ini!