Berapa kos yang diperlukan untuk jadi seorang mat rempit?
Kita mulakan dengan benda yang paling penting kepada seorang mat rempit - motor kapchai (betul ke, ni?). Mengikut salah satu laman web perbandingan tempatan, motorsikal scooter yang paling murah dalam pasaran semasa adalah Sym Jet Power 125 yang berharga RM4,509. Tapi kamonlah, mat rempit sejati mana yang pakai motorsikal baru?Sebab tu kami buat siasatan di pasaran motorsikal terpakai pula; rupa-rupanya, motorsikal Honda EX5 (model terhangat kat Malaysia sekarang) boleh dibeli pada harga RM2,780 (terpakai) sahaja! Bagi yang curi-curi pakai motorsikal abah atau yang berani pergi songlap motorsikal tu lagi bagus, percuma je tak payah bayar apa pun (PERHATIAN: admin gurau je ye, mencuri adalah satu jenayah ya, kawan-kawan).
Menurut beberapa pendapat di Forum Lowyat, para mat rempit cuma perlu bermodalkan RM5 untuk setangki minyak yang penuh - kos yang tak seberapa untuk mereka berlumba dan beraksi sepanjang malam di jalan raya sekitar bandaraya.
Bukan itu saja, mat-mat rempit selalunya akan menganjurkan perlumbaan haram pada bayaran yang tertentu bagi setiap peserta, yang kemudiannya akan dikumpul dan dijadikan sebagai wang pertaruhan kepada pemenang perlumbaan tersebut. Namun bagi kebanyakan mat rempit, wang ganjaran tidak semestinya sasaran utama ketika berlumba. Mereka lebih sukakan debaran dan kepuasan ketika berlumba secara haram.
Pegawai Penyiasat Kanan Trafik Kuala Lumpur ASP Rizal Abdul Rahman Sidek berkata, ”Mat rempit selalu mengatakan tiada tempat untuk berlumba, tapi itu hanyalah alasan. Mereka menyertai perlumbaan haram hanya bertujuan mendapatkan gelaran dan penghormatan selain untuk mendapatkan kepuasan".
Komen ASP Rizal turut disahkan oleh salah seorang mat rempit yang hanya berumur 20 tahun, yang berkata bahawa kelajuan dan perlumbaan menjadi ketagihan. Katanya lagi, “setiap minggu akan ada ‘acara pembukaan’ iaitu perlumbaan sekadar ‘suka-suka’ tanpa melibatkan sebarang wang ringgit sebagai pertaruhan dianjurkan oleh beberapa kumpulan mat rempit. Jadi, itulah masa sesuai untuk saya menguji kekuatan motorsikal”.
Apa yang lebih merisaukan adalah kebanyakan mat rempit memandu tanpa lesen, cukai jalan, atau insurans motorsikal yang sah.
Jadi, mereka bukan sahaja terdedah kepada risiko untuk diri mereka, tetapi juga kepada pemandu-pemandu jalan raya yang lain. Menurut kajian pada 2013, majoriti kalangan mat rempit terdiri daripada golongan:
- Pemuda berumur 15 - 25 tahun
- Berpendapatan rendah
- Dari latar belakang keluarga bermasalah
- Ketinggalan pelajaran
Bagaimana pula kalau mat rempit nak bertaubat dan mahu menjadi pelumba motorsikal profesional?
Jawapan pendeknya: mereka mungkin tidak mampu untuk menanggung kos untuk berlumba secara profesional. Walaupun sudah terdapat beberapa perbincangan daripada pihak kerajaan untuk membina litar perlumbaan bagi golongan mat rempit, mereka masih perlu membayar lebih untuk kos pendaftaran dan juga peralatan dan pakaian racing yang Nak dijadikan contoh, bila bekas menteri Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor cadangkan untuk kerajaan bina litar lumba yang halal untuk golongan yang suka berlumba motorsikal, ramai yang berasa ala-ala nasi campur-baur.
Sebabnya, KALAU litar lumba motorsikal tu diluluskan dan dibina dengan canggih pun, setiap peserta perlu melalui ujian dan saringan untuk sebarang penggunaan dadah atau alkohol (ala macam yang atlet-atlet Olimpik kena buat tu).
Pergh macam-macam pulak nak kena buat sebelum boleh start berlumba kan.. Menurut akhbar Bahasa Inggeris Malay Mail pulak, peserta litar lumba motorsikal juga perlu memakai pakaian perlindungan (jenis padded) dan aksesori berlumba yang sesuai - jumlah kos untuk benda-benda alah ni boleh mencecah antara RM1,250 - RM4,700. Haa mulalah nak tepuk kepala kan, mahal ya ampun. Gaji admin sebulan pun tak cecah banyak tu tau (sobs).
Kalau nak berlumba dekat litar yang sedia ada macam Litar Antarabangsa Sepang pulak, tak ada masalah. Orang awam boleh berlumba di litar lumba berprestij ini pada hari yang tertentu - cumanya siapkan RM450 setiap orang untuk satu sesi (4 jam) ye.
Harga ni cuma untuk gunakan litar lumba tu je tau, tak termasuk motorsikal dengan segala pakaian dan aksesori yang diperlukan untuk berlumba dengan selamat. Fuh, pengsan admin fikir bab kos nak berlumba secara profesional ni.
Jom sembang bab motorsikal berkuasa tinggi pulak. Kalau kita ambil motorsikal Kawasaki Ninja yang baru sebagai contoh, bunyi vroomm dia tu memang best. Ramai penggemar motorsikal yang suka model ni. Tapi kan, harga dia pun memang best jugak dalam RM16,689 (baru) dan RM9,300 (terpakai) dalam pasaran semasa. Tang minyak pulak, korang perlukan sekurang-kurangnya RM30 untuk setangki penuh ye.
Adoi, banyaknye duit yang bakal melayang. Ada kos yang lain lagi tak?
Adaaa, ni nak cerita la ni. Sekarang ni masuk bab undang-undang pulak: lesen menunggang motorsikal, cukai jalan, dan insurans motorsikal.a) Untuk mendapatkan lesen B yang penuh untuk motorsikal (bagi semua anjakan), kebanyakan institut memandu macam Perfect Driving Academy akan cas anggaran RM1,000 untuk pakej yang lengkap.
b) Bagi cukai perjalanan pulak, ianya bergantung kepada kapasiti enjin motorsikal masing-masing. Macam untuk Kawasaki Ninja yang berkuasa enjin 249cc, harga cukai jalanan tahunan adalah RM50.
c) Yang terakhir adalah insurans motorsikal. Bab ni jangan main-main bro, kalau kantoi dengan polis menunggang motorsikal tanpa insurans yang sah, boleh kena heret mahkamah dan didenda sehingga RM2,000 atau/dan 3 bulan penjara. Kalau menunggang motorsikal yang baru, eloklah ambil pelan insurans motorsikal komprehensif - lagi banyak perlindungan berbanding dengan pelan insurans pihak ketiga, kebakaran, dan kecurian (pelan ni lagi sesuai untuk motorsikal terpakai).
Kos nak jadi pelumba motorsikal profesional ni memang nampak mahal, tapi jangan lupa yang korang bayar banyak-banyak tu untuk keselamatan sendiri jugak. Kalau betul-betul minat berlumba motorsikal ni, baik buat dekat litar perlumbaan yang terkawal dan selamat.
Bukan tu je, mana tau kot-kot tengah syok berlumba dekat litar perlumbaan tu, sekali dipilih untuk wakilkan negara atau sebagai pelumba profesional berbayar di perlumbaan antarabangsa kan? Fuh kalau terpilih memang dah boleh setaraf dengan Hafizh Syahrin. Macam orang tua-tua katalah, kalau hendak seribu daya. Betul tak?
Jadi apa kesimpulannya?
Nak jadi mat rempit ni memang mudah dan murah, tapi yang betul-betul mendatangkan hasil di kemudian hari (secara halal lah, berlumba untuk wang pertaruhan tu haram ye kawan-kawan) adalah berlumba motorsikal secara profesional. Jom tengok jadual perbandingan kat bawah ni:Keperluan | Kos (RM) | |||
---|---|---|---|---|
Mat rempit | Pelumba motorsikal profesional | |||
Motorsikal | 4,509 (baru); 2,780 (terpakai) | 16,689 (baru); 9,300 (terpakai) | ||
Gear menunggang lengkap | - | 1,250 to 4,700 (kita ambil 2,975 sebagai harga median) | ||
Minyak | 5 | 30 | ||
Litar lumba | - | 450 | ||
Lesen menunggang | - | 1,000 | ||
Cukai jalan | - | 50 | ||
Insurans | - | 447 | ||
Kos purata: | 4,514 / 2,785 | 21,641 / 14,252 |
Apa yang boleh dilakukan untuk hentikan gejala mat rempit?
Kita nampak yang pihak berkuasa memang tengah berusaha untuk memantau dan menghentikan kegiatan mat rempit yang kini dikategorikan sebagai jenayah. Tapi sesetengah pihak macam Editor Sekutu akhbar Inggeris New Straits Time Fauziah Ismail berpendapat bahawa langkah-langkah pihak berkuasa masih terlalu lembut. Menurut beliau, pihak polis patut merampas motorsikal mat-mat rempit dan lucutkan kelayakan mereka untuk mana-mana lesen memandu untuk 10 tahun atau sepanjang hayat. Amboi garang betul Kak Fauziah ni.
Pendapat lain pulak mengatakan yang masalah mat rempit ni boleh ditangani dengan cara yang lebih lembut bagi mendorong mereka untuk berubah ke aktiviti-aktiviti yang lebih selamat dan ilmiah. Contohnya, macam initiatif aktiviti komuniti dan program kerjasama untuk para mat rempit yang dianjurkan oleh kerajaan Terengganu. Memang bagus sokmo!
Apa pun, perkara yang paling penting dan perlu korang ingat ialah - jalan raya tu bukan tempat untuk berlumba atau berwheelie ye kawan-kawan. Keselamatan atas jalan raya adalah tanggungjawap semua orang, dan jangan lupa juga untuk lindungi diri sendiri dengan insurans motorsikal. Nak bayar duit hospital dan repair motorsikal sendiri/kereta orang tu mahal, karang melayang pulak duit simpanan untuk hantaran kahwin si cantik manis tu.
Kalau korang tak pasti insurans motorsikal yang mana paling sesuai untuk bajet masing-masing, meh kami tolong. Pergi ke halaman insurans motorsikal kami kat sini dan korang boleh beli atau renew insurans (dan road tax) secara online. Amek masa dalam lebih kurang 5 minit je. Cuba lah!
Lagi satu nak pesan - tunggang cermat, jiwa selamat.