Subscribe to Our Newsletter

We know you love savings. Sign up for more!

Monopoly dan wang: Pengajaran kewangan peribadi daripada permainan kegemaran keluarga

BY Team Loanstreet

Updated 19 Oct 2018




Hampir sekurun lamanya, permainan perdagangan hartanah Monopoly sudah menjadi kegemaran keluarga semenjak ia mula diperkenalkan di dunia pada tahun 1935. Dari generasi ke generasi, ia masih lagi mengekalkan kualitinya yang unik dalam menyatukan semua orang dalam satu pusingan, dan memecahkan mereka dalam pusingan lain – kita semua pun dah kena!

Versinya yang pelbagai telah meninggalkan pelbagai memori dalam keluarga-keluarga di seluruh dunia, dan walaupun ia tampak hanyalah sekeping permainan, ia pada mulanya dicipta sewaktu “The Great Depression” sebagai alat daripada pihak berhaluan kiri untuk menunjukkan ketidaksamarataan ekonomi. Peraturannya masih sama sehingga kini, namun terdapat beberapa pelajaran kewangan yang tidak ternilai yang boleh kita ambil daripada permainan terkenal ini.

Apa yang di 'cover' dalam artikel ni?


1) Sentiasa sediakan wang tunai di tangan anda

Sepanjang permainan ini, adalah penting untuk anda mempunyai wang yang cukup sekiranya buah anda sampai di petak yang mengandungi hartanah orang lain yang anda anda perlu sewa, atau sekiranya anda perlu membayar caj yang dikenakan oleh Bank. Sudah tentunya pemain yang mempunyai paling banyak duit akan menang. Jika dana anda tidak cukup anda mungkin terpaksa menggadaikan hartanah anda sendiri dan jika anda tidak bernasib baik, anda mungkin bankrap.

Samalah dengan masalah di dunia sebenar. Kekurangan wang memaksa seseorang untuk memotong perbelanjaan mereka, dan sekiranya terdesak, menjual aset-aset mereka pada harga yang lebih murah. Sebab itulah anda perlu sentiasa mempunyai wang tunai dengan membuat simpanan di dalam dana kecemasan. Kejatuhan pasaran saham, bil kesihatan yang tidak dijangka, kos pembaikan kereta, atau mungkin kehilangan kerja tidaklah terlalu menakutkan jika anda sudah sedia dengan kemungkinan yang paling buruk.

2) Pelbagaikan pelaburan anda

Anda tidak akan pergi jauh dalam permainan Monopoly hanya dengan melaburkan wang anda ke atas satu hartanah sahaja dan mengisinya dengan hotel. Sebaliknya, jika anda memiliki banyak hartanah di sepanjang papan, itulah yang akan membawa kemungkinan untuk menang, kerana ia meningkatkan peluang buat pemain lain tiba di petak anda dan perlu membayar sewa.

Sama juga dengan pelaburan di dunia sebenar, elakkan meletakkan kesemua pelaburan anda pada satu tempat dan sebaliknya cuba mencari pelbagai sumber pendapatan yang lain. Satu contoh adalah Real Estate Investment Trust, atau REITs. Dalam melabur, adalah penting untuk anda membina portfolio yang menunjukkan kepelbagaian kelas aset. Ianya mungkin tidak menjamin keuntungan yang besar atau menjamin tiadanya kerugian, namun ia akan membantu anda mencapai matlamat kewangan jangka panjang sambil merendahkan risiko.

3) Jaga aset anda dengan baik

Sebaik sahaja anda telah memilki jenis-jenis hartanah yang berbeza, menyeimbangkan aset-aset anda adalah kunci kejayaan dalam Monopoly. Setiap langkah yang anda ambil melibatkan risiko yang menggunakan wang, kerana anda perlu merancang pembelian anda serta membangunkannya bersesuaian dengan aliran kewangan anda.

Di alam realiti pula, anda juga hanya boleh memperbaiki penyata imbangan anda jika anda boleh menguruskan aset-aset dan mengembangkan ia sebaik boleh. Monopoly juga mengajar anda untuk mengambil risiko secara bijak apabila situasi tersebut melibatkan sejumlah wang yang besar, dan jangan mengambil risiko yang lebih besar daripada apa yang anda mampu untuk rugi.

4) Berbelanja secara bijak

Nasihat ini mungkin kedengaran seperti perkara yang sangat ketara, namun godaan untuk berbelanja besar memang sangat besar sewaktu bermain, memiliki terlalu banyak hartanah mungkin boleh meletakkan anda dalam situasi yang merbahaya, kerana anda tidak cukup wang tunai untuk membayar sewa orang lain. Ini mungkin akan memaksa anda untuk menggadaikan beberapa hartanah anda untuk mengumpul kembali wang tunai, lantas hilanglah peluang anda untuk mendapatkan duit sewa daripada pemain Monopoly yang lain.

Dalam senario wang tunai yang sebenar, adalah sangat penting untuk anda menjaga perbelanjaan anda dan merancang pembelian dan pinjaman yang sepatutnya. Permainan ini membantu anda untuk menjadi lebih berhati-hati dengan hal kewangan peribadi anda dan sentiasa memerhatikan aliran kewangan anda, terutamanya apabila membuat pelaburan besar.

5) Ketahui strategi pemasaran dan ROI anda

Membeli pelbagai hartanah di atas papan mungkin boleh mengembalikan keuntungan, namun pemain perlu sentiasa sedar akan kos yang terlibat. Jika anda membeli setiap petak yang anda tiba tanpa mengambil kira akan manfaat dan peluangnya untuk berkembang apabila permainan berterusan, ia boleh membuatkan anda keluar dari awal lagi.

Berkaitan dengan poin #4, elakkan membeli hartanah secara buta-buta tanpa sedar yang pelaburan anda boleh memberi kesan kepada dana anda di masa hadapan. Belajar bagaimana pulangan atas pelaburan (ROI)  berfungsi untuk membolehkan anda untuk mengira kemungkinan melihat pulangan dan pertumbuhan modal, supaya anda boleh membelanjakan sejumlah wang yang besar dengan ringan hati.

6) Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit

Ada dua situasi di dalam permainan yang sangat relevan dengan peribahasa di atas ini: 1. Memperoleh pendapatan yang tinggi dengan hartanah termurah dan mengisinya dengan rumah dan hotel, dan 2. Dapat dadu kedua yang memberikan anda satu lagi giliran, namun akhirnya tiba di penjara.

Apa yang hendak ditunjukkan di sini adalah tiada jalan singkat untuk berjaya dalam Monopoly mahupun di alam nyata. Ianya mungkin tampak menarik, namun sikap tamak tidak pernah memberikan hasil yang memuaskan, dan hanya langkah-langkah kecil yang akhirnya akan membawa anda kepada kestabilan kewangan, membernarkan anda untuk mencapai matlamat.

7) Sentiasa maju ke hadapan

Dalam Monopoly, setiap kali pemain melepasi petak “GO”, mereka akan menerima $200 dari Bank. Ini dibayar secara ekslusif setiap kali di sekeliling papan. Selain itu, anda juga cuma mendapat peluang untuk membeli hartanah yang berbeza dan meningkatkan kekayaan anda selagi mana anda bermain.

Perkara ini pun boleh dipraktikkan di alam nyata, di mana anda hanya boleh membina kekayaan jika anda sentiasa maju ke arah matlamat anda, sama ada ianya destinasi percutian, naik pangkat, malah slip gaji yang seterusnya sekalipun. Sudah tentunya banyak halangan yang anda akan hadapi untuk mencapai matlamat kewangan anda, namun seperti apa yang pemain bola keranjang Amerika dan ahli politik Bill Bradley pernah berkata, “Cita-cita adalah jalan menuju kejayaan. Kegigihan adalah kenderaan yang anda pandu ke arahnya.”

Kesimpulan

Meskipun usianya yang sangat lama serta pelbagai permainan video di luar sana, Monopoly sudah tentunya telah menjadi satu jenama yang dikenali di setiap rumah, dengan sekitar 300 variasi permainan ini di dalam 103 buah negara dan 37 bahasa yang diterbitkan sepanjang beberapa dekad. Tidak kisahlah edisi mana yang anda main, sudah tentunya ada pengajaran ekonomi yang berharga boleh anda ambil.

Namun begitu, seperti mana-mana permainan yang lain, ia tidak perlulah diambil secara terlalu serius atau dijadikan sebagai kitab dan panduan kewangan yang perlu diikuti. Lagipun, perkara yang paling seronok tentang permainan ini adalah untuk membuatkan semua orang bankrap!

OK, sekarang siapa nak main Monopoly?

Teruskan Pembacaan...

Tentang Penulis

Team Loanstreet



LIHAT SEMUA ARTIKEL

Artikel Disarankan Untuk Anda

beli-rumah-atau-kereta

Rumah atau kereta? Mana satu korang patut beli dulu?

6 Langkah Penting Sebelum Korang Buka Bisnes

6 Langkah Penting Sebelum Korang Buka Bisnes

 9 Tips Pinjaman Kenderaan Yang Korang Perlu Tahu Sebelum Membeli Kereta

9 Tips Pinjaman Kenderaan Yang Korang Perlu Tahu Sebelum Membeli Kereta