Subscribe to Our Newsletter

We know you love savings. Sign up for more!

Macam Mana Nak Tahu 'Diskaun' Oleh Peniaga Online Betul Atau Tipu?

BY MK Zainal

Updated 19 Oct 2018




Rakyat Malaysia ni memang hantu diskaun. Sebab tu lah bila ada sale tudung Fareeda ke apa, berkerumun orang panjat pagar, macam zombie apocalypse pun ada.

Tapi itu kedai fizikal yang tradisional. Sekarang ni shopping secara online dah makin popular. Dan selalunya korang mesti nampak harga yang dipaparkan adalah selepas diskaun yang hebat. Pernah tak korang terfikir sama ada barang tersebut betul-betul dapat diskaun, atau auta semata-mata? 

Jadi kami buat ujian satu ujian ringkas...

Apa yang di 'cover' dalam artikel ni?


Kami bandingkan harga barang runcit di laman web berbeza

Kami dapatkan perbezaan bagi Milo 2KG (tanpa tin) dari laman web Lazada, Shopee, dan 11Street.

Kat Lazada cakap ada diskaun 19%, tapi kat Shopee takde diskaun walaupun harga hampir sama. Kat 11Street pulak, harga melambung terus! Perlu diingat, harga bagi barang runcit macam ni memang berbeza-beza mengikut kedai. Kalau korang tengok kat Tesco, Giant, dan AEON pun sah harga lain-lain.

Jadi untuk mendapatkan satu lagi kepastian, kami rujuk aplikasi Hargapedia:

Menurut Hargapedia, Milo 2kg ni pernah dijual daripada RM28.90 hinggalah ke RM41.00 sepanjang 6 bulan yang lepas. Jadi boleh kata semua harga yang dipaparkan oleh Lazada, Shopee, 11Street adalah benar. Diskaun yang dipaparkan oleh Lazada pun boleh dikatakan sah.

Kami bandingkan harga barang elektronik di laman web berbeza

Untuk ujian yang seterusnya, kami bandingkan harga Xiaomi Mi Band 2 di Lazada, Shopee, dan 11Street:

Yang ni lagi pelik, harga asal di setiap laman web semuanya lain-lain! Tapi berbeza daripada barang runcit macam Milo, harga barang elektronik kadang-kadnag dikawal oleh jenama masing-masing.

Oleh kerana laman web Xiaomi tak tulis harga rasmi bagi Mi Band 2, kami call terus kedai Xiaomi cawangan KLCC, mereka kata harga promosi adalah RM88 manakala harga asal adalah RM119. Jadi dalam kes ni, Lazada  memaparkan harga yang tepat.

Perlu kami nyatakan bahawa di Lazada, bahagian yang kami tengok adalah peniaga Xiaomi yang rasmi. Ada je peniaga lain kat Lazada yang jual Mi Band 2 dengan harga dan diskaun yang berbeza. Serupa kalau korang pergi Plaza LowYat jugaklah, ada pelbagai kedai yang menawarkan harga masing-masing, mungkin ada yang kurangkan untung untuk menarik pelanggan.

Adakah salah di sisi undang-undang untuk menipu diskaun?

Di Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK) ada garis panduan bagi sebarang peniaga yang ingin membuat jualan murah. Garis panduan ni dipanggil sebagai Notis Jualan, dan ia mengandungi syarat-syarat ketat termasuklah:

  • Peniaga kena rekodkan harga barangan bagi tempoh 6 bulan yang terdahulu
  • Barang yang dikenakan diskaun kena sekurang-kurangnya 50% daripada jumlah semua barang dalam kedai
  • Diskaun minimum yang boleh dikenakan adalah 10%

Banyak lagi peraturan yang ada, sampai tanda harga pun kena patuhi saiz minimum! Bila dah kesemua syarat-syarat dipenuhi, peniaga kena hantar permohonan daripada KPDNKK untuk mendapatkan kelulusan.

Cumanya... peraturan ni hanya terpakai kepada peniaga yang ada kedai fizikal je. Setakat ni tiada garis panduan yang sama terhadap peniaga online. Sebab itulah sesetengah peniaga yang ada kedai fizikal pun selalu buat jualan secara online sebab mereka boleh terlepas daripada proses mendapatkan permit ni semua.

Macam mana nak elak dari terpedaya dengan "harga diskaun" ni?

Lepas ni kalau korang nampak diskaun berganda-ganda, jangan terus tergoda. Korang cuma perlu survey sikit je untuk pastikan sama ada diskaun tersebut ikhlas ke tak. Kat sini kami ulang kat mana korang boleh buat perbandingan harga:

  • Untuk barang runcit, korang boleh guna app macma Hargapedia. Tak pun semak dengan laman web Tesco (sebab sekurang-kurangnya Tesco terikat dengan harga kat kedai fizikal mereka). 
  • Untuk barang-barang elektronik, korang boleh semak daripada laman web rasmi jenama yang berkaitan. Kalau takde, Google terus untuk dapatkan nombor telefon kedai yang berkaitan, contohnya "Xiaomi KLCC", kemudian tanya harga yang ditawarkan.

Selagi korang jenis sabar dan tak terburu-buru dalam membuat pembelian, korang boleh dapat banyak manfaat daripada pembelian secara online sebenarnya. Korang boleh bandingkan harga untuk dapatkan nilai yang terbaik, tak payah kena pressure dengan promoter. Kalau barang tak elok pun boleh pulangkan balik.

Itu semua kalau beli daripada laman web besar macam Lazada. Tapi kalau korang beli daripada individu contohnya melalui Facebook, korang kena ambil langkah lain untuk berjaga-jaga supaya tak kena scam, yang korang boleh baca di sini.

Teruskan Pembacaan...

Tentang Penulis